Hal ini kerana, pihaknya terpanggil untuk memperjuangkan nasib dan masa depan penggiat seni termasuk pelakon, kru produksi dan jurusolek yang kadangkala terpaksa bekerja hingga lewat malam.

Dalam perkembangan sama, Hans menjelaskan, beliau tidak akan terlibat dengan sebarang aktiviti lakonan mahupun penerbitan drama atau filem sepanjang duduk di kerusi Pengerusi Finas.

Beliau mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas-tugas membangunkan industri seni menerusi jawatan yang dipegang dalam Finas.

Terdahulu, Hans, 48, dilantik selaku Pengerusi Finas berkuat kuasa 8 April lalu seperti diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Ikuti temu bual bersama pelakon filem Cuci itu ketika ditemui pada majlis sidang akhbar rasmi pertamanya selaku Pengerusi Finas di Finas, Hulu Kelang baru-baru ini.

KOSMO!: Selepas dilantik selaku Pengerusi Finas, mungkin anda ada sebarang kata-kata untuk disampaikan kepada penggiat seni tempatan?

HANS ISAAC: Saya tiada niat untuk memandang semula apa yang telah terjadi pada masa lalu, sebaliknya meneruskan misi untuk terus maju ke depan dan membangunkan Finas.

Apa yang saya mahu tekankan di sini adalah, kami (Finas) tidak mahu cakap banyak. Biar kami tunjukkan hasil kerja sahaja. Cukuplah sebelum ini industri dijanjikan dengan perkataan ‘kami akan, kami akan’. Cukup. Perkataan sebegitu tidak akan keluar daripada mulut kami. Beri masa dan tunggu sahaja keputusan daripada hasil kerja.

Apakah perkara pertama yang ingin anda lakukan selepas dilantik sebagai Pengerusi Finas?

Apa yang mahu diperjuangkan sangat sentimental sebab selama ini saya sudah melihat banyak kejadian berlaku terhadap pemain industri. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan kebajikan.

Contohnya isu seperti caruman skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Jadi, inilah isu yang menjadi keutamaan kami. Kami mahu setiap orang yang bekerja dalam industri tidak kira pelakon, jurusolek atau kru produksi perlu ada akaun skim ini.

Sudah tiba masanya golongan ini diiktiraf sebagai pekerja profesional. Finas sudah ada kertas kerja dan perbincangan untuk pelaksanaan caruman akan dibuat bersama dengan badan terlibat. Ini adalah salah satu daripada 15 manifesto yang direncanakan.

Bagaimana dengan 14 manifesto lain?

Saya tidak akan mendedahkan buat masa ini kerana tidak mahu hanya berjanji. Biar sesuatu pelan itu dijayakan dahulu kemudian selepas mendapat keputusan, barulah saya akan umumkannya.

Baki manifesto yang lain akan diumumkan dalam satu sidang akhbar tidak lama lagi.

Dalam beberapa laporan sebelum ini anda menyatakan sukar untuk menerima jawatan sebagai Pengerusi Finas. Boleh jelaskan?

Saya mengambil masa berfikir selama beberapa bulan sebelum menerima jawatan ini sebab dalam kehidupan terlalu banyak perkara peribadi ingin dilakukan. Selaku individu, ada banyak sasaran mahu dicapai,, tetapi demi industri saya perlu ketepikan kesemuanya.

Nasib rakan-rakan seperjuangan lain terutama golongan artis senior yang hidup melarat dan tidak diendah kebajikan mereka seperti Allahyarham Yusni Jaafar dan Datuk Aziz Sattar menjadi faktor mengapa saya menerima jawatan ini.

Jadi bagaimana dengan penglibatan anda dalam dunia seni selepas ini?

Pada awalnya saya hanya mahu bekerja setahun sahaja, tetapi pihak menteri meminta saya memegang jawatan ini selama dua tahun.

Oleh sebab itu, saya perlu lepaskan apa sahaja kerja melibatkan industri kerana saya mahu bersih dan bersikap neutral. Saya perlu telus. Adalah tidak adil sekiranya saya masih berlakon, tetapi pada masa sama memegang jawatan dalam Finas.