MVM yang ditubuhkan tiga tahun lalu merupakan sebuah pertubuhan yang memfokuskan kepada pembangunan ekonomi penerima bantuan secara berkala. Setakat tahun ini, pertubuhan tersebut telah berjaya menganjurkan 55 program amal.

Pengerusi MVM, Muhammad Jantan berkata, sebagai sebuah organisasi kecil dan belum cukup dikenali, pihaknya mengharapkan dengan adanya ikon-ikon yang terpilih dapat menyebarkan lagi maklumat tentang pertubuhan tersebut terutama bagi generasi muda.

“Ikon MVM 2018 adalah pemilihan kali kedua selepas edisi lepas yang menyaksikan banyak mata masyarakat yang mula menyedari kewujudan kami dan berminat untuk menyumbang, malah turut serta dalam semua program amal yang dilaksanakan.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa MVM tidak memilih ikon-ikon ini sekadar untuk populariti tetapi telah menerangkan kepada mereka dengan terperinci tentang visi serta misi kami.

“Andai mereka faham dan terima, barulah kami menjalin kerjasama,” katanya pada sidang media pelantikan IKON MVM 2018 di Hotel De Palma, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Bagi tahun 2018, ikon yang terpilih ialah Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, Diana Amir, Alyah, Mila Jirin, Lah Ahmad, Azmi Saat (Caliph Buskers), Syamel dan Dila Mubarak.

Tambah Muhammad, pelantikan Ikon MVM 2018 yang mempunyai peminat tersendiri dalam bidang masing-masing diharapkan menarik minat generasi muda, terutamanya untuk terlibat dalam kerja-kerja amal yang mereka jalankan.

Antara program besar yang telah dijayakan oleh MVM ialah PureHeart, Jejak Mahabbah, Qurban MVM dan turut meluaskan kerja amal mereka untuk membantu saudara Islam di Rohingya, Syria dan Jordan menerusi sumbangan ikhlas rakyat Malaysia yang prihatin.

Usaha

Bagi pelakon dan pengacara, Diana, penglibatannya sebagai salah seorang ikon MVM dilihat sebagai antara usaha dan sumbangannya terhadap hal-hal kebajikan.

Mengakui kagum dengan kegigihan anak-anak muda yang menguruskan MVM, Diana berkata, mereka merupakan antara contoh terbaik generasi zaman kini kerana menunjukkan keprihatinan dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

Menurut Diana, Muhammad datang sendiri bertemu dengannya bagi menerangkan matlamat pertubuhan tersebut sebelum menandatangani sebarang persetujuan, sekali gus membuktikan ketelusan pihak MVM untuk melantiknya sebagai ikon.

“Jika tidak mampu membuat banyak kerja amal, sekurang-kurangnya kita boleh menolong dengan menyebarkan kepada mereka yang mungkin berminat menyertainya tetapi tidak tahu bagaimana.

“Saya akan cuba turun padang untuk sama-sama menggerakkan aktiviti yang dirancang oleh MVM jika mempunyai masa lapang dan tidak terikat dengan jadual kerja.

“Andai tidak sempat, ia akan diuar-uarkan menerusi laman sosial milik saya,” katanya lagi.