Di sebalik kemeriahan yang terlihat, ada segelintir peminat terlupa tentang realiti AME 2019, bahawa acara berkenaan merupakan majlis anugerah yang 100 peratus bersandarkan kuasa undian. Justeru, kemenangan penyanyi Khai Bahar dan Siti Nordiana dalam kategori utama iaitu Top Top MeleTOP adalah hasil usaha peminat yang telah bertungkus-lumus memastikan kemenangan menjadi milik artis kesayangan mereka.

Bukan sahaja membawa pulang trofi utama, Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin diangkat sebagai Penyanyi MeleTOP, sekali gus menewaskan penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Dapat kalahkan beliau bukan bermakna saya hebat. Ini semua adalah hasil undian peminat dan permainan antara mereka.

“Kalau dengan kemenangan ini saya lebih bagus atau hebat daripada Siti Nurhaliza, itu tidak benar sama sekali kerana perjalanan seni saya masih jauh,” kata pelantun lagu Luluh itu.

Layak

Dua tahun berturut-turut merangkul trofi Top Top MeleTOP Lelaki, Khai menyifatkan pencapaian tersebut sebagai tanggungjawab yang diamanahkan peminat untuk terus memberikan yang terbaik dalam segala perkara yang dilakukan.

“Sebenarnya, saya tidak menjangka menang malam. Bagi saya, apa diraih ini disebabkan oleh peminat. Mereka yang mempunyai kuasa untuk memberi kemenangan kepada saya.

“Kalau menerima pencalonan pun saya sudah bersyukur apatah lagi merangkul kemenangan. Kalau menang, saya sifatkan sebagai bonus dalam kerjaya seni.

“Kepercayaan yang diberikan peminat semestinya memberi rangsangan dan semangat untuk saya terus memperbaiki diri dan melahirkan produk seni yang lebih berkualiti selepas ini,” ujarnya.

Selain Khai, pemilik nama sebenar, Siti Nordiana Alias turut menerima tempias kontroversi apabila menang trofi Hos MeleTOP menewaskan calon-calon lain yang lebih berpengalaman seperti Alif Satar, Jihan Muse, Sherry dan Zizan Razak.

“Memang rasa terlalu kerdil untuk saya menerima trofi Hos MeleTOP kerana yang lain lebih luas pengalaman mengacara. Bukan itu sahaja, kebanyakan daripada mereka mempunyai program pengacaraan sendiri.

“Bagaimanapun, berbalik pada akar anugerah AME, kuasa peminat yang menentukan siapa yang menang atau sebaliknya. Untuk Nana, kemenangan ini bukan hanya membuatkan saya berpeluk tubuh. Saya harus terus membuktikan saya layak dan akan terus memberikan kualiti kerja yang bagus selepas ini,” terangnya.

Rezeki

Pertama kali mengungguli kategori Top Top MeleTOP Wanita, Nana terharu walaupun sudah 20 tahun dalam industri, dia masih menerima sokongan padu daripada peminat.

“Anugerah ini sangat bermakna kerana saya tidak sangka peminat masih setia menyokong walaupun saya sudah ‘senja’.

“Sudah 20 tahun dalam industri, saya sangat terharu kerana masih menerima sokongan dan duduk sebaris dengan artis-artis muda yang sememangnya popular dalam kalangan peminat,” kata pengacara Gema Gegar Vaganza itu.

Di sebalik dominasi Khai dan Nana, pelakon Syafiq Kyle turut mencuri tumpuan apabila pulang bergaya dengan tiga kategori trofi iaitu Fesyen MeleTOP, Pelakon TV MeleTOP dan Bintang Filem MeleTOP.

Bagi pemilik nama penuh, Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak itu, kemenangannya untuk ketiga-tiga kategori tersebut diterjemahkan sebagai penghargaan besar daripada peminat.

“Anugerah ini milik peminat yang tidak henti-henti mengundi saya. Tanpa mereka, saya tidak akan menang semua ini.

“Menang anugerah bermakna peminat percaya terhadap bakat kita. Mereka ingin melihat kita terus mara ke hadapan dan melahirkan kualiti kerja yang lebih bagus dari semasa ke semasa,” ujar Syafiq yang popular menerusi watak Ustaz Adam dalam drama Nur 2.

Dalam kegembiraan mendakap trofi idaman banyak pelakon, Syafiq tidak pernah lupa dia juga pernah berdepan dugaan yang sedikit sebanyak mencalarkan reputasinya dalam industri.

Katanya: “Ya, saya pernah diuji dengan banyak dugaan sebagai selebriti namun Tuhan itu maha adil. Dia beri saya dugaan sebesar kapal namun nikmatnya seluas lautan.”

Disuakan pertanyaan tentang tahun ini sebagai ‘tahun Syafiq Kyle’, dia melemparkan senyuman seraya berkata: “Kalau boleh saya mahu setiap tahun jadi milik saya. Rezeki sudah ditetapkan namun saya perlu terus memberikan yang terbaik.

“Ini jalan hidup yang saya pilih iaitu sebagai selebriti. Segala dugaan, kontroversi dan nikmat perlu saya jalani dengan sebaik-baiknya.”