Namun, kepuasan pemuda bernama Eross dan Adam itu bukanlah pada populariti sebaliknya bagaimana mereka menggerakkan SO7 menjadi sebuah band luar biasa dan kekal bertahan selama 22 tahun lamanya.

Daripada bernaung di bawah rekod label Sony Music sejak album pertama pada tahun 1999 hingga mereka bergerak secara indie, namun profesionalisme yang tercipta dan idea bernas di benak fikiran mampu menjadikan setiap lagu dimainkan mereka cukup menyenangkan.

Maka, terhasil sebuah lagu baharu yang diberi judul Film Favorit hasil sentuhan komposer yang sama menggarap hampir semua karya SO7 selama ini iaitu Eross. Ia bakal diperdengarkan kepada peminat mereka yang dikenali sebagai SheilaGank pada tahun ini.

Selain lagu baharu itu, Eross dan Adam juga berbicara tentang konsert Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur 2018 pada 10 Februari nanti di StarXpo Centre KWC Fashion Mall.

Mereka juga ditanya tentang rahsia bertahan selain mengaku pernah terfikir untuk kembali mewarnai muzik dengan barisan asal SO7.

Sensasi Bintang: Kali terakhir kalian mengadakan konsert di Malaysia pada Mac 2016, apakah kelainan yang cuba ditampilkan Sheila On 7 dalam konsert kali ini?

ERROS: Pada Januari ini kalau tiada halangan lagi, kami akan keluarkan single baharu iaitu Film Favorit. Maka, lagu baharu itu nanti akan kami nyanyikan di konsert 10 Februari ini. Selain itu, ketika mengadakan konsert di Malaysia pada tahun 2016, ada beberapa lagu hit kami yang tidak dimainkan. Ada peminat yang kecewa. Lantas untuk konsert kali ini, kami akan mainkan lagu-lagu hit yang tercicir itu. Banyak sekali lagu kami sejak 1999, jadi ada yang tertinggal (ketawa).

ADAM: Kami juga ada ahli baharu untuk konsert berkenaan. Dia akan bermain muzik secara akustik selain merupakan pengarah muzik yang membuat susunan semula beberapa buah lagu SO7 di konsert nanti. Jadi, ahli baharu bernama Tomo Widayat itu akan memberi warna baharu pada lagu-lagu SO7. Apa yang pasti dia juga merupakan teman lama SO7.

Adakah susunan semula lagu-lagu SO7 untuk konsert kali ini bakal menggembirakan hati peminat yang digelar SheilaGank?

EROSS: Ada beberapa lagu yang tetap menggunakan format klasiknya tetapi ada lagu yang akan diremajakan. Selama ini kami pernah melakukan hal yang sama (susunan semula) dan responsnya bagus.

ADAM: Lagu-lagu itu nanti akan dipilih oleh Eross tetapi selepas itu kami akan berbincang lagu mana yang perlu dinyanyikan dan dibuat susunan semula. Tomo akan bertindak membuat penyusunan semula lagu-lagu yang terpilih agar ia terdengar lebih enak.

Berapa lama durasi untuk konsert itu nanti dan berapa buah lagu yang akan kalian dendangkan?

EROSS: Jangka konsert dalam dua jam setengah termasuk pembukaan konsert oleh artis-artis jemputan. Sekitar 20 lagu kami akan nyanyikan dalam masa sejam setengah.

ADAM: Durasi lagu selama sejam setengah itu harus mewakili perjalanan karier SO7 selama 22 tahun.

Apakah yang akan kalian janjikan untuk konsert berkenaan?

EROSS: Semangat mungkin bertambah untuk konsert itu nanti, tetapi tenaganya perlu disesuaikan mengikut umur kami sekarang (ketawa).

ADAM: Tengok berapa banyak roti canai yang dimakan sebelum konsert itu nanti (ketawa). Ya, datang ke Malaysia kalau tidak makan roti canai tidak lengkap.

Bagaimanakah penerimaan generasi baharu pada lagu kalian?

EROSS: Kalau di Indonesia ketika konsert, kami lihat penonton yang datang muda-muda sahaja. Kami sahaja yang sudah tua (ketawa). Makanya, kami harus menjaganya sahaja agar terus diminati. Ketakutan bikin karya yang mana anak muda tidak suka itu juga tidak pernah kami fikirkan kerana sejak dari dahulu lagi kami menghasilkan muzik bukan untuk ia menjadi hit. Kami cuma lakukan apa yang kami suka. Begitu juga pada hari ini.

ADAM: SO7 membuktikan mampu lintas generasi. Semoga ada lintas generasi lagi untuk akan datang. Itu pun kalau kami masih kuat main muzik (ketawa).

Dipercayai single Film Favorit merupakan single pertama kalian selepas bergerak secara indie, jadi bakal ada single seterusnya atau album baharu SO7? Bukan apa, SO7 kali terakhir muncul dengan album Musim Yang Baik ada 2014?

EROSS: Selepas Film Favorit, memang kami merancang untuk menghasilkan dua lagi single pada tahun ini.

ADAM: Memang ada rencana untuk mengeluarkan album ke-10 SO7. Harap semuanya berjalan lancar.

Apakah rahsia kalian kekal bertahan sebagai sebuah band unggul hingga kini?

EROSS: Kami tidak bisa bagi nanti semua band seperti kami (ketawa). Sejujurnya tidak ada rahsia. Cuma, kami bersyukur diberi Allah umur yang panjang. Bagaimanapun, dalam ramai yang cakap kumpulan kami baik-baik saja, sebenarnya tidak. Setiap kumpulan dan pekerjaan yang melibatkan pasukan pasti ada masalah. Kami juga begitu. Namun, alhamdulillah, kami juga selesaikan ia secara baik.

ADAM: Sebenarnya, kami pernah kehilangan dua ahli iaitu Anton pada tahun 2004 dan juga Sakti pada 2006. Pernah juga dalam fikiran kami untuk membuat persembahan dengan ahli yang asal. Cuma, Sakti sahaja yang sering berhubungan dengan kami. Anton sudah lama tidak berhubungan.