Konsert anjuran Union Works Asia itu akan berlangsung pada 30 Ogos bermula dari pukul 9 malam yang dijangka dibanjiri kira-kira 10,000 pengunjung. 

Zainal atau nama sebenarnya, Zainal Abidin Mohamad, 58, berkata, beliau berasa amat bersemangat untuk menjayakan konsert berkenaan bersama dengan barisan penyanyi lain yang terdiri daripada pelbagai bangsa. 

“Kita bakal menyambut kemerdekaan buat kali ke 61 tahun dan sebagai seorang anak seni, saya teruja untuk mengadakan persembahan untuk negara tercinta. 

“Walaupun tampuk pemerintahan sudah bertukar tangan, misi kita tetap sama iaitu untuk memajukan negara dan hidup dalam keadaan aman damai dengan masyarakat yang berbilang kaum,” jelas pelantun lagu Hijau itu ketika ditemui Kosmo! di sini pada sidang akhbar Konsert Sayangi Malaysiaku 2018 semalam. 

Selain Zainal, antara barisan penyanyi lain yang akan menghiburkan pengunjung pada malam ambang merdeka adalah Ella, Sakura Band, Resh dan ramai lagi. 

Penajaan dana masih diperlukan untuk membantu menyiapkan konsert dan untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook rasmi, Sayangi Malaysiaku 2018 serta Instagram, @SayangiMalaysiaku2018. - K! ONLINE