Meskipun bait-bait lirik yang dilafazkan dalam nada berbeza, namun ia tetap mengalir dalam taman hati pendengar.

Itu yang bakal dirasakan peminat kumpulan Hujan dan Kugiran Masdo apabila mereka bakal berkongsi pentas buat pertama kalinya untuk konsert yang dinamakan Hujan X Masdo pada 6 Oktober nanti di Pintu 2, Maeps Serdang, Selangor pukul 8.30 malam.

Semangat juang Hujan dalam bermain muzik sememangnya tidak pernah luntur, baik dalam jiwa mahupun pembuluh darah mereka yang bergelar anak seni.

Ironinya untuk Kugiran Masdo pula, ada yang memandang sinis pada usaha empat anak muda itu tatkala mengambil keputusan untuk mengetengahkan muzik 60-an.

Namun, lagu Bunga daripada kumpulan itu adalah magis yang berjaya menyihir jiwa pendengar.

Kopitiam minggu ini mendapatkan buah fikiran vokalis utama kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh dan Ali daripada Kugiran Masdo, mengenai kolaborasi pertama mereka serta persembahan berkonsepkan battle of the bands yang akan diketengahkan mereka pada konsert itu nanti.

Bagaimanakah wujudnya idea untuk mengadakan konsert bersama?

NOH HUJAN: Kami ada bertanya kepada Kugiran Masdo sama ada mereka mahu mengadakan konsert bersama Hujan. Ini kerana, Hujan sudah lama tidak mengadakan konsert. Pada masa sama, Hujan mahukan kelainan dalam konsert yang seterusnya. Maka, disebabkan itu kami mengajak Kugiran Masdo untuk berkolaborasi di konsert yang berskala besar. Kugiran Masdo juga sudah lama bermain muzik secara gig. Maka, sekurang-kurangnya konsert berskala besar ini dapat memberikan pendedahan dan pengalaman baharu kepada mereka.

ALI: Ia ibarat mimpi yang menjadi nyata apabila Kugiran Masdo mendapat peluang melakukan konsert berskala besar bersama kumpulan Hujan. Sudah tentu, kami akan memberikan persembahan yang terbaik kerana ini adalah peluang untuk membuktikan kemampuan kami.

Hujan sebuah kumpulan yang sudah lama dan kukuh di arena seni, jadi apakah perasaan kalian berkolaborasi bersama? Untuk Hujan, tidakkah kalian berasa canggung bertarung di atas pentas dengan kumpulan baharu?

NOH: Tidak sama sekali. Tiada tanggapan orang lama dan baharu, malah saya gembira dapat menjayakan konsert bersama Kugiran Masdo. Tambahan pula, Azham daripada kumpulan Hujan bermain dram untuk Kugiran Masdo. Pada masa sama, Hujan mahu melihat kemampuan sebenar kumpulan yang ditubuhkan pada 2015 itu. Kalau ada yang beranggapan mereka (Kugiran Masdo) sekadar kumpulan indie biasa, sila datang melihat kemampuan mereka nanti.

ALI: Sejujurnya, Hujan merupakan kumpulan idola saya dan ahli-ahli Kugiran Masdo yang lain. Pada asalnya, saya dan Asmawi merupakan Raingers (gelaran untuk peminat Hujan). Kami meminati Hujan sejak 2006 lagi. Ketika itu saya di tingkatan tiga dan lagu Ahmoi Chantek menjadi sebab bermulanya saya meminati kumpulan itu. Maka, diberi peluang untuk berkolaborasi pada konsert itu nanti adalah satu rezeki yang tidak harus ditolak.

Apakah konsep persembahan yang Hujan dan Kugiran Masdo akan tampilkan nanti?

NOH: Kami akan tampilkan persembahan yang lain daripada konsert kami sebelum ini. Bukan apa, peminat kadang-kadang sudah boleh menjangkakan kami akan mainkan lagu apa. Jadi, kali ini kami akan lakukan sesuatu yang barangkali mereka tidak dapat jangkakan. Selain itu, kami juga akan menyanyi lagu Kugiran Masdo.

ALI: Kedua-dua kumpulan akan membuat persembahan yang tidak akan dijangkakan peminat. Sedikit perkongsian, Kugiran Masdo dan Hujan akan bertarung bersama di atas pentas termasuk mendendangkan lagu-lagu yang didedikasikan kepada kumpulan-kumpulan Indie dalam satu segmen tribute khas.

Berapa banyak lagu yang kalian akan persembahkan?

NOH: Kami masih belum memberi kata putus untuk memilih lagu manakah untuk dinyanyikan nanti sebab lagu Hujan terlalu banyak. Konsert itu pula hanya berdurasi selama dua jam termasuk persembahan daripada Kugiran Masdo.

ALI: Kami akan menyanyikan semua lagu dalam album Selamat Tinggal Pujaan. Insya-Allah, Kugiran Masdo juga akan tampilkan single baharu pada konsert itu nanti.

Selain konsert, apakah projek seni lain yang akan diusahakan Hujan dan Kugiran Masdo?

NOH: Ada album baharu Hujan yang akan dilancarkan. Pada masa sama, pada September nanti, kami akan ke Bali, Indonesia untuk membuat persembahan di festival muzik terbesar di Indonesia iaitu Soundrenaline.

ALI: Kugiran Masdo akan muncul dengan single baharu. Masih belum mempunyai tajuk tapi ketika saya perdengarkan muziknya di laman sosial, alhamdulillah ramai yang memuji. Bukan apa, selepas lagu Bunga popular, risau juga single baharu nanti tidak dapat maklum balas yang baik seperti Bunga.