Teruja untuk menghiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert Padi Reborn Exclusive Live In KL di KL Live, Jalan Sultan Ismail, di sini pada pukul 8 malam ini, Padi bakal mendendangkan sekitar 17 buah lagu daripada lima album studio mereka dalam persembahan selama dua jam.

"Berehat selama tujuh tahun pastinya semua peminat mahu mendengar kembali lagu-lagu hit terdahulu dalam susunan muzik asal. Jadi, kami tidak akan beri sentuhan baharu dalam susunan muzik.

"Kami mahu mengembalikan nostalgia dan lebih istimewa lagu yang menjadi kegilaan peminat Upin Ipin berjudul Sahabat Selamanya turut akan didendangkan," kata Fadly.

Turut memeriahkan konsert itu adalah kumpulan Pitahati yang akan membuat persembahan pembukaan. Sementara itu, penyanyi Aizat Amdan juga bakal berduet dengan Padi selain penampilan pemain dram remaja, Amira Syahira.

Pemain dram berusia 15 tahun itu akan bergandingan dengan pemain dram Padi Reborn, Yoyo Prasetyo yang juga antara pemain dram terbaik Nusantara.

Buat peminat yang ingin menyaksikan konsert Padi Reborn Live In KL di KL Live pada malam ini anda masih boleh mendapatkan tiket berharga RM169 di pintu masuk acara bermula pukul 4 petang. - K! ONLINE