Konsert berkenaan akan berlangsung pada 31 Ogos depan bertempat di Shine Auditorium, Shaw Tower, Singapura. 

Menurut Alif, 27, dia teruja dengan penganjuran konsert berkenaan memandangkan dia senang bekerja bersama Siti Nordiana atau mesra disapa Nana menerusi banyak projek sebelum ini. 

“Salah satunya adalah disebabkan keserasian antara kami. Malah, sejak muncul dengan drama Dia Semanis Honey, permintaan daripada peminat untuk melihat kami menerusi projek lain sentiasa ada,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar konsert berkenaan di Timbre, Jalan Doraisamy, di sini sebentar tadi. 

Sementara itu kata Nana, 33, penganjuran konsert tersebut sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk menikmati gabungan dua genre berbeza dalam alur muzik dibawa mereka. 

“Saya dan Alif membawa genre yang berbeza dalam nyanyian, jadi saya yakin konsert ini nanti akan menjanjikan kelainan kepada peminat,” ujar Nana. 

Tiket dijual pada harga $148 Dolar Singapura (RM437), SD $78 Dolar Singapura (RM230) dan $48 Dolar Singapura (RM141). Ia boleh dibeli menerusi laman www.rosevalley.sg. 

Selain konsert tersebut, Alif dan Nana juga bakal muncul dengan sebuah drama baharu berjudul Pengantin Musim Salju yang akan ditayangkan di Astro Ria (saluran 104) pada pertengahan Mei depan. 

Drama 20 episod itu turut menyaksikan mereka tampil buat pertama kali dengan lagu duet berjudul Sebenarnya. 

Terdahulu, gandingan kedua-dua penyanyi menerusi drama Dia Semanis Honey mendapat respons luar biasa daripada peminat sehingga ia dilanjutkan penyiarannya selama lima episod bertajuk Dia Semanis Honeymoon, selain telemovie Dia Semanis Honey Raya dan pementasan Dia Semanis Honey The Muzikal di Istana Budaya. - K! ONLINE