Menerusi akaun Instagram penyanyi terbabit, Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 38, turut bersedih akan kematian bapanya, Ishak Nengah, 65, yang meninggal dunia akibat barah pada pukul 12.45 tengah hari di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Isnin lalu.

Kata Joe, berita sedih itu membuatkan dia berada di dalam dilema sama ada ingin menjayakan acara konsert 16 Baris yang dijadualkan berlangsung esok atau tidak.

“Saya percaya kalian mengetahui beberapa hari sebelum ini saya dan keluarga diduga dengan khabar sedih iaitu kehilangan bapa, Ishak Nengah.

“Kejadian itu membuatkan saya berfikir sama ada ingin meneruskan persembahan di acara 16 Baris nanti atau pun tidak. Mohon agar kalian di luar sana dapat memberi kekuatan untuk agar saya dapat menjayakan acara tersebut dengan cemerlang,” ujarnya.

Pada masa sama, Joe turut berkongsikan pesanan bapanya agar sentiasa berpegang kepada janji dan bertanggungjawab dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Bapa saya adalah seorang pengacara yang hebat dan banyak mengendalikan pelbagai acara rasmi. Ayah banyak berpesan dan antaranya ialah sentiasa berpegang kepada janji,” kata penyanyi lagu Sampai Jadi itu.

Isnin lalu Allahyarham nafas terakhir di samping isteri, Aisyah Ali dan tiga orang anak termasuk Joe, Ashraf, 36, dan Iman, 28. - K! ONLINE