Tampil seorang diri dan tampak segak dengan sut rekaan Hatta Dolmat, Sufian berjaya menjentik kesedihan dalam jiwa penonton apabila menyampaikan lagu penuh kontroversi tersebut dengan begitu syahdu. Paling menarik perhatian sudah tentu hiasan pentas yang menggunakan candelier dan pelamin indah tajaan The Calla, bertepatan dengan konsep perkahwinan yang tidak kesampaian.

Belum pun menamatkan persembahan di pentas AJL33, Di Matamu telah sohor kini dalam laman sosial Twitter sehinggakan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak ketinggalan memuji persembahan Sufian.

Di sebalik pujian melambung yang diterima, satu kicau daripada bekas tunangnya, Elfira Loy berupa pesanan dan doa yang dititip jauh dari Tanah Suci Mekah untuk Sufian pantas meraih perhatian khalayak.

Sejurus tamat pentas AJL33, Kosmo! mendapatkan reaksi Sufian yang merupakan pemenang anugerah Persembahan Terbaik dalam AJL33.

Kosmo!: Tahniah Sufian kerana berjaya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik. Sepanjang persembahan penonton dan rakan artis seperti Wany Hasrita dan Ernie Zakri menumpahkan air mata. Adakah anda memang merancang supaya penonton menangis dengan konsep persembahan yang dirancang?

Sufian Suhaimi: Lagu Di Matamu sendiri merupakan sebuah lagu sedih. Saya hanya menyampaikan penceritaan lagu berkenaan bersesuaian dengan perasaan merintih dan sedih. Saya bersyukur penonton menyukai persembahan ini.

Sejujurnya, saya tidak mempunyai niat untuk membuatkan mereka (penonton) menangis. Pada pendapat saya, mereka menangis mungkin sebab lagu tersebut dikaitkan dengan kisah putus tunang saya pada masa lalu dan ditambah dengan hiasan pentas yang berjaya mengangkat mood diinginkan.

Ramai pengguna laman sosial melahirkan rasa simpati terhadap Sufian gara-gara konsep persembahan sebuah perkahwinan tidak kesampaian. Adakah anda dengan sengaja meletakkan diri sebagai mangsa keadaan sepanjang persembahan?

Tidak sama sekali. Idea pentas AJL33 melibatkan ramai pihak yang bekerja di belakang tabir. Pendengar dan peminat memang sering mengaitkan lagu tersebut dengan kisah putus tunang antara saya dan Elfira Loy.

Saya tidak boleh halang pendapat peminat walhal telah berulang kali saya jelaskan bahawa lagu tersebut dirakamkan sebelum kejadian putus tunang. Persembahan tersebut hanyalah konsep pentas untuk AJL33 dan tidak berniat untuk menyentuh kisah peribadi mana-mana pihak termasuk saya sendiri.

Persembahan anda telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen. Tidak ketinggalan Elfira Loy yang berada di Mekah turut mendoakan anda menang dan bahagia. Apakah reaksi anda?

Terima kasih kerana mendoakan saya untuk sentiasa berada dalam keadaan baik. Saya menerima banyak komen positif bukan sahaja daripada pengguna laman sosial, tetapi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Saya rasa mesej daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza itu lebih menarik untuk saya ingati sebelum masuk tidur.


Apakah komen anda apabila ada pihak terasa hati dan anda juga didakwa cuba meraih simpati kerana menggunakan konsep perkahwinan tidak kesampaian.

Seperti yang saya katakan, itu adalah konsep persembahan pentas bersesuaian dengan penyampaian lagu Di Matamu. Saya tidak mempunyai niat mahu membuatkan sesiapa terasa hati.

Keutamaan saya adalah penonton dan nampaknya mereka suka dengan konsep yang dibawakan. Jika ada pihak yang terguris dan terasa hati, saya memohon maaf. Sekiranya pihak berkenaan tidak suka dengan persembahan Di Matamu, ada banyak lagi persembahan dalam AJL33 yang boleh ditonton.

Selepas persembahan Di Matamu, ramai beranggapan anda layak berada dalam tangga tiga teratas AJL33. Malangnya, anda hanya merangkul trofi Persembahan Terbaik. Adakah anda berpuas hati dengan keputusan juri?

Sewaktu diumumkan sebagai antara finalis AJL33, saya langsung tidak memikirkan formula untuk menang. Perkara utama yang bermain dalam fikiran saya adalah memberi sebuah persembahan yang diingati semua. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana persembahan dalam AJL33 kali ini mendapat reaksi positif, dapat merangkul trofi Persembahan Terbaik sudah memadai.