Konsert tersebut menampilkan barisan penyanyi yang memiliki vokal hebat seperti Aishah, Liza Hanim, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo Trio.

Aishah yang ditemui pada majlis sidang akhbar acara berkenaan baru-baru ini berkongsi keterujaan untuk kembali beraksi di pentas berprestij tersebut. Kali pertama Aishah melakukan persembahan bersama MPO adalah pada tahun 2009 menerusi Konsert Irama Warisan.

“Saya cukup teruja dan berbesar hati atas tawaran yang diberikan MPO. Biarpun mempunyai pengalaman menyanyi bersama MPO, perasaan gentar tetap ada.

“Melihat terhadap barisan penyanyi, saya yakin MPO telah memilih yang terbaik. Justeru, saya berharap peminat hadir memberikan sokongan terhadap konsert ini,” kata Aishah yang akan mendendangkan beberapa buah lagu antaranya Setangkai Kembang Melati.

Sementara itu, penyanyi Liza Hanim tidak dapat menyembunyikan perasaan seronok kerana impiannya untuk membuat persembahan bersama MPO akhirnya dimakbulkan.

Meskipun tawaran tersebut hadir selepas 21 tahun penyanyi Gelisah Mimpi itu berkecimpung dalam industri muzik, Liza tetap bersikap positif.

“Saya berehat daripada dunia seni selama lapan tahun dan hanya kembali aktif pada tahun lalu. Biarpun peluang untuk saya beraksi bersama MPO agak lewat berbanding penyanyi muda lain, saya tetap bersyukur.

“Bukan calang-calang penyanyi boleh melakukan persembahan bersama pemuzik hebat. Oleh itu, saya amat berterima kasih kerana pihak MPO menghargai bakat nyanyian saya,” kongsi Liza.

Liza turut mengharapkan konsert berdurasi dua jam tersebut turut mendapat sokongan golongan muda. Hal ini kerana kebanyakan lagu yang didendangkan merupakan irama klasik dan jarang diperdengarkan dalam mana-mana persembahan.

“Buat peminat muzik terutamanya golongan muda, inilah masanya untuk menikmati muzik klasik termasuk dari zaman P. Ramlee. Kebanyakan lagu yang dinyanyikan jarang didengar pada masa kini. Sebab itu konsert ini cukup ‘mahal’ buat saya,” ujar Liza.

Konsert Semalam di Malaya akan berlangsung pada 15 dan 16 September ini di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur. Tiket-tiket konsert berharga RM141 hingga RM358 telah mula dijual sejak Jun lalu.