Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong yang tidak menyatakan kos sebenar pembikinan klip video itu, bagaimanapun berkongsi kos tersebut adalah bersamaan pembuatan empat klip video.

Kenny berkata, kesediaan pihak rakaman melaburkan peruntukan yang tinggi terhadap pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin, 36, bertepatan dengan sasaran syarikat untuk melebarkan kerjaya Fazura di peringkat antarabangsa.

"Saya belum mendapatkan perangkaan rasmi kos pembikinan klip video Fazura. Apa yang boleh dikongsikan, klip video ini menelan perbelanjaan yang paling tinggi bersesuaian dengan status Fazura.

"Pihak Universal Music Video mempunyai pelbagai perancangan untuk Fazura. Ia termasuk membina nama Fazura bukan sahaja sebagai penyanyi, malah sebagai penulis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi tayangan klip video Can't Forget Me di Lightbox Sungai Buloh di sini hari ini.

Can't Forget Me merupakan lagu ciptaan sulung Fazura dengan kerjasama Willy Beaman dan Cameron Forbes berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Lagu yang disifatkan sebagai mencabar vokal itu direkodkan dalam tempoh kurang daripada 24 jam ketika lawatan Fazura ke Los Angeles dan boleh dimuat turun dari pelbagai platform digital bermula 18 Januari depan.

Sementara itu, Fazura turut menerima anugerah Platinum menerusi jualan album bertajuk Fazura yang turut membariskan lagu seperti Sayangi Dirimu. - K! ONLINE