Menurut pemilik dan pengarah Les Copaque Production, Burhanuddin Md. Radzi, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mengambil masa selama lima tahun untuk dibangunkan kerana perlu melalui pelbagai proses penyelidikan dan teknikal terkini.

“Naskhah ini mengambil masa agak panjang iaitu selama lima tahun untuk dikeluarkan kerana ia dipengaruhi dengan beberapa faktor bagi meningkatkan tahap kemahiran teknikal dalam kalangan pekerja.

“Dahulu, kami cuma ada 30 orang pekerja. Namun selepas pelbagai penambahbaikan dilakukan dari segi teknologi, jumlah keseluruhan staf yang bekerja untuk penghasilan naskhah filem melibatkan seramai 140 orang,” ujarnya ketika ditemui pada pelancaran poster dan trailer filem berkenaan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Burhanuddin, biarpun mendapat suntikan teknologi luar negara iaitu dari Hong Kong, Thailand dan Amerika Syarikat, namun naskhah berkenaan tetap dikendalikan sepenuhnya oleh anak-anak tempatan dari segi olahan penceritaan dan muzik.

Malah, Keris Siamang Tunggal mendapat sentuhan daripada tiga orang pengarah muda berbakat besar iaitu Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim.

Ketiga-tiganya mempunyai pengalaman luas dalam penghasilan siri popular terbitan Les’ Copaque iaitu animasi Upin & Ipin, Pada Zaman Dahulu dan Puteri yang ditayangkan menerusi kaca televisyen.

Kekal

Untuk naskhah terbaharu, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal menampilkan kisah-kisah rakyat yang begitu dekat dengan masyarakat seperti Mat Jenin, Bawang Merah Bawang Putih dan Pak Belalang.

Secara ringkasnya filem berkenaan mengisahkan pengembaraan pasangan kembar Upin dan Ipin bersama rakan-rakan mereka ke sebuah kerajaan dongeng bernama Inderaloka selepas menemui sebilah keris di dalam bilik stor.

Sepanjang pengembaraan, mereka berdepan pelbagai cabaran menyeronokkan dan mencabar selain bertemu dengan banyak watak dalam dongeng rakyat.

“Sejak dahulu, Les’ Copaque cuba mengekalkan tradisi mengangkat kisah rakyat dalam jalur cerita. Lebih-lebih lagi dengan memasukkan elemen kisah legenda yang sangat dekat dalam kehidupan masyarakat kita.

“Penonton akan berpeluang mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak menerusi watak yang dianimasikan dalam bentuk yang baharu dan segar,” ujarnya.

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal merupakan edaran GSC Movies dan mendapat geran sokongan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebanyak RM3 juta.

Selain ditayangkan di Malaysia, naskhah yang dijangka mengulangi fenomena Geng: Pengembaraan Bermula juga bakal memasuki pawagam luar negara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.