Lapan tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, namun namanya mungkin masih asing bagi sesetengah khalayak.

Bagaimanapun, lembayung yang selalu tidak memihak kepadanya semakin pudar rona. Ia seperti memberi jalan atau nafas baharu buat pelakon berbakat besar itu selepas lakonan cemerlangnya dalam telefilem berjudul Aku Nazmi ditayangkan dalam slot Cerekarama TV3 beberapa bulan sudah.

Akui pemilik nama sebenar, Ahmad Iswazir Ismail itu, dia banyak menerima kata-kata positif selepas naskhah terbitan JS Pictures berkenaan ditayangkan. Bagaimanapun, bukan pujian melambung yang dikejarnya. Baginya, cukuplah watak Nazmi diterima baik oleh penonton. Itu sebuah perasaan lega yang sukar ditafsirkan.

“Alhamdulillah, saya menjayakan watak Nazmi untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai bahawa ada banyak sisi yang tidak didedahkan kepada masyarakat mengenai orang kelainan upaya (OKU).

“Pertama, watak Nazmi memang wujud dalam dunia sebenar. Dia seorang yang amat optimis dalam hidupnya dan sebelum penggambaran dimulakan, saya banyak menghabiskan masa dengannya untuk lebih menyelami perasaannya,” tutur Jay, 36, membuka bicara ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran filem Jodoh Syaitan di ibu negara baru-baru ini.

Menguatkan lagi cerita mengapa watak golongan OKU begitu dekat dan selesa dimainkan olehnya, Jay ada nostalgia. Ketika kecil, bapanya merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) di sebuah rumah kebajikan kanak-kanak cacat di Perak.

“Ya, ketika kecil saya berkawan dengan golongan OKU dan saya tiada masalah untuk bergaul dengan mereka kerana bapa saya AJK di rumah kebajikan kanak-kanak cacat.

“Pengalaman bertepuk tampar dengan golongan seperti itu membuatkan saya selesa untuk melakonkan watak golongan kurang bernasib baik. Disebabkan Aku Nazmi, ada juga yang sangka saya pun OKU. Itu membuatkan saya puas,” katanya yang sebelum ini pernah muncul dengan filem Kanang Anak Langkau dan Rempit Sampai Langit.

Terhad

Mengulas tentang peluangnya untuk menyerlah dalam dunia lakonan tempatan, Jay berkata, dia tidak pernah menuding jari terhadap mana-mana syarikat penerbitan kerana cenderung memilih pelakon lelaki yang lebih ‘beruntung’ dari segi fizikal.

“Bagi saya, apa yang penting adalah jalan cerita sesebuah karya, tidak kisahlah drama atau filem. Kalau kita pandang di Hollywood, mereka lebih mementingkan skrip berbanding pemilihan pelakon atau rupa paras.

“Saya percaya, kalau diberikan skrip yang bagus, saya akan diterjemahkan lagi ‘kacak’ di mata penonton.

“Namun saya akui bahawa penampilan itu juga penting untuk diterima masuk dalam industri tetapi itu bukan kunci utamanya.

“Sebagai contoh, sebelum ini pelakon Fizz Fairuz amat menyerlah dalam drama Nur Kasih disebabkan cerita yang amat bagus. Saya yakin, kalau diberikan jalan cerita yang tepat, saya boleh menjadi seperti dia,” terang Jay panjang lebar.

Dalam nada merendah diri, Jay mengakui, pernah suatu ketika dia seperti tiada arah tuju dalam dunia lakonan disebabkan ‘tuntutan fizikal’ yang terlalu menjadi dambaan para penerbit

Bagaimanapun, dia mendapat suntikan semangat daripada Datuk Rosyam Nor selepas selepas berjaya lolos ke Pentas Akhir Pilih Kasih musim kedua (2011).

Tutur Jay: “Saya masih ingat selepas tamat Pilih Kasih, Rosyam ‘basuh’ dengan menasihati saya agar menukar penampilan dan menurunkan berat badan kalau ingin menjadi artis.

“Ketika itu, Rosyam panggil saya dengan gelaran ‘parut’ dan sewaktu itu, memang saya sedikit berisi. Sejak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang. Terima kasih kepada beliau yang banyak memberi teguran keras sehingga saya masih bertahan dalam bidang ini.”

Parut

Dalam lancar melontarkan bicara, Jay sempat bercerita kisah parut yang kekal pada wajah dan betapa dia bangga dengan ‘hadiah’ atas kenakalannya ketika berusia lima tahun.

“Ibu saya, Laili Maznah kata barulah anak jantan kalau ada parut. Semuanya bermula ketika saya berusia lima tahun, saya ‘kemalangan’ dengan ketuhar kerana terlalu lapar.

“Mulut saya terkoyak akibat terkena pintu ketuhar yang jatuh. Waktu itu, saya ingat ada lauk kari atas ketuhar tetapi entahlah, sudah tertulis saya memiliki parut ini.

“Ada orang suruh buat pembedahan plastik namun saya rasa tidak mengapa. Saya selesa ada parut kerana senang orang nak kenal (ketawa),” ujar Jay berseloroh.

Hampir satu dasawarsa memegang status sebagai anak seni, seperti pelakon-pelakon lain, dia teringin untuk menggenggam trofi pelakon lelaki terbaik yang masih belum tercapai.

“Kalau ada rezeki, saya ingin lihat watak Nazmi dipertandingkan dalam Anugerah Skrin atau Anugerah Seri Angkasa.

“Mungkin kalau dipertandingkan atau menang, baru orang akan lebih buka mata terhadap bakat yang dijual dalam industri ini.

“Saya pun tidak kisah tidak diberi watak utama, namun saya cakna terhadap cerita yang memberi kesan kepada orang ramai,” ujarnya menutup perbualan.

Jay Iswazir percaya, jika diberikan skrip yang bagus, dia akan dipersembahkan dengan lebih 'kacak' pada mata penonton. Mendalam dan berisi, lelaki dengan kesan parut yang berbekas pada wajahnya itu bercerita tentang aspirasi seni dalam hidupnya.