Untuk Faizal yang sudah lama kehilangan kedua-dua ibu bapa, Seniman Hussein Abu Hassan (ayah) dan Seniwati Mahyon Ismail (ibu), hari raya menjadi rutin bahagia bersama isteri, anak-anak dan adik-beradik serta keluarga terdekat.

Bukan tidak merindui atau melupakan nostalgia indah sewaktu seluruh ahli keluarga dapat berkumpul di hari mulia, namun ketentuan Tuhan telah tertulis. Kasih sayang seluas lautan terbentang sekalipun, jangka hayat yang dipinjamkan kepada setiap manusia ada tarikh luput, sampai waktu jemputan ke negeri abadi harus disahut.

Bagi Faizal yang beraya tanpa ibu sejak lapan tahun lalu dan bapa (tahun ke-11), hari raya kini adalah untuk keluarga kecilnya bersama isteri, Suhaila Sulaiman dan anak-anak, Fazryn dan Fazrick.

“Tahun ini, saya tidak bersama keluarga semasa balik Johor Bahru (rumah keluarga isteri), sebab kena buat promosi drama The Hantus di Astro terlebih dahulu malam 12 Jun, keesokan harinya barulah saya menyusul.

“Aidilfitri tahun ini juga berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana semua kelengkapan raya dibuat pada saat akhir. Biasa sebulan sebelum puasa semua sudah selesai, lagipun ini tahun pertama kami berpuasa tanpa anak sulung (Fazryn) sebab dia tinggal di asrama. Dua atau tiga tahun lagi, mungkin Fazrick pula menyusul, nanti tinggal saya dan isteri sahaja. Lain macam betul apabila anak-anak semakin besar,” jelas Faizal yang tetap merindukan masakan istimewa arwah ibunya, ayam masak klio (sejenis masakan Minang).

Azhan ceriakan ibu

Masuk tahun kedua beraya tanpa bapanya, Abd. Rani Sabri yang meninggal dunia pada 2016, kenangan suasana beraya sewaktu lelaki itu masih ada teryata basah dalam ingatan Azhan terutama buat ibunya, Salmah Budin, 72.

“Biasanya kami beraya di Kuala Kubu Bharu tetapi disebabkan ini baru tahun kedua arwah tiada, saya dan ibu mahu beraya di Sabak Bernam. Dia belum bersedia untuk beraya di rumah lama. Jadi, selepas solat raya di Masjid Kuala Kubu dan menziarahi pusara arwah bapa, kami akan terus bertolak ke Sabak Bernam.

“Dahulu di sana ada datuk dan nenek, sekarang semua sudah tiada. Jadi, kami beraya sambil bercuti di sebuah rumah inap desa di Kampung Air Tawar. Seronoknya, di situ ada ramai saudara-mara belah mak dan kenalan keluarga, jadi bolehlah menikmati suasana raya ala desa,” jelas anak keempat daripada lima beradik itu tenang.

Meninggalkan kisah raya yang pelbagai warna, jadual seorang anak seni sepenuh masa seperti Azhan tidak banyak yang boleh diluangkan untuk bersantai.

Sekadar bercuti selama empat hari meluangkan masa bersama keluarga, Azhan mula kembali ke set penggambaran filem Bikin Filem arahan Yeop Hitler sejak hari raya keempat lagi. Penggambaran dijadualkan tamat pada 23 Jun nanti.

“Alhamdulillah. Sepanjang puasa, saya juga sibuk dengan penggambaran Bikin Filem. Insya-Allah setelah tamat filem itu nanti, saya akan kembali bergandingan dengan Beto Kusyairy dalam sebuah projek drama bersiri bertajuk SEMBIL9N.

“Ia sebuah projek kerjasama dua negara menampilkan pengarah Razaisyam Rashid dari Malaysia dan seorang lagi pengarah Indonesia yang ditayangkan menerusi Astro.

“Sebenarnya, hari raya ketiga lagi sudah menjalani sesi percubaan kostum untuk SEMBIL9N,” jelasnya yang menempa banyak respons positif impak keberkesanan watak Ustaz Hamidi dalam drama bersiri Nur yang selesai siarannya hujung Ramadan baru-baru ini.

Rata-rata tahu, Azhan bukan pelakon popular tetapi tahun demi tahun membelah belantara seni dengan kasut kejujuran berkarya, namanya terpahat dalam jiwa ramai sebagai antara aktor handalan milik sinema Melayu.

Tiada jualan sensasi peribadi, namun tersenarai dalam hidangan hiburan mungkin yang hangat sepanjang Ramadan, Nur di TV3 secara drastik juga memanaskan nama Azhan telah awal-awal lagi meraikan ‘momen kemenangan’ buat Azhan, sekali gus mempopularkan dirinya di mata khalayak.

“Jujurnya, saya tidak pernah berasa popular, saya masih boleh pakai kain pelikat kalau mahu ke bazar Ramadan sampai kena tegur dengan rakan artis lain. Saya juga tidak perlu jadi pelakon 24 jam sehari. Perasaannya memang seronok dan sangat lega dengan penerimaan penonton.

“Sebenarnya watak Ustaz Hamadi ada dalam diri setiap orang, cuma antara kita sedar atau tidak sahaja.

“Dia bukan ustaz tetapi cuma seorang penunggang agama, sebenarnya juga watak antagonis sudah klise dengan saya, sebenarnya cerita itu telah digerakkan oleh sebuah pasukan yang bagus, bermula daripada skrip, pengarah serta semua pelakon, semuanya memberi,” jelas Azhan yang bakal muncul dengan sebuah filem aksi berjudul Kalla sekitar September nanti.

Kalla filem terbaik

Berganding dengan Faizal yang disifatkannya Hero Sepanjang Zaman, penglibatan dalam filem tersebut juga keluar daripada jangkaan normal kerana daripada segi penceritaannya sahaja ia sudah keluar daripada isu nasional.

“Ia sebenarnya cuba bercerita tentang misi pengganas dan antipengganas serta kenapa Malaysia ada dalam garis agenda mereka,” celah Faizal tentang filem yang meletakkan wataknya sebagai pakar sejarah bernama Dr. Ezahar.

Ketawa dan menyambung semula kisah Kalla, Azhan yang bertindak sebagai Inspektor Haris iaitu seorang Ketua Unit Antipengganas Asia Tenggara (PACSEA) dalam filem tersebut menyifatkan ia sebuah naskhah yang memenatkan kerana melibatkan lebih 70 peratus adegan berlari.

“Bukan saya yang kena berlari tetapi Faizal dan pasukan teknikal juga. Saya berlari dari mula berlakon sampailah habis kerana mengejar Faizal. Stamina kena kuat tetapi tidak boleh lawan stamina Faizal,” jelas Azhan.

Kalla secara umumnya ada mengaitkan kisah pencarian harta Kesultanan Melayu Melaka yang diketuai oleh sebuah kumpulan. Dari situlah munculnya watak-watak Dr. Ezahar, Inspektor Haris, Sherina (Vanida Imran), Ayanda (Sobri Anuat), Manok (Zaidi Omar), Perdana Menteri (Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim) dan Uyun (Farali Khan).

Dijayakan barisan pelakon bukan ‘stok trending’ dalam laman sosial, Faizal percaya filem yang menjual cerita dan kemantapan lakonan itu tetap mahal untuk dijual sebagai hiburan di pawagam.

“Bagi saya sendiri ia sebuah filem terbaik dan paling sukar pernah dijayakan selama ini. Bermula dengan keruntuhan sebuah bangunan, kematian isteri dicari pelbagai pihak termasuk kumpulan penjenayah serta sebuah kepercayaan bahawa isterinya masih hidup, semuanya membentuk sebuah karya yang bukan macam filem tempatan sedia ada.

“Saya suka dialog-dialognya yang kedengaran genius, ia bergerak dengan laju semacam dalam filem Inggeris.

“Filem ini juga nampak bijak dan dihasilkan oleh orang yang bijak juga. Subjek yang diketengahkan mengaitkan isu global,” jelas Faizal.

Menguatkan keyakinan bahawa karya yang baik sebenarnya boleh mengetepikan ‘bintang pelaris’, Azhan secara jujurnya menggelarkan Faizal Husseinlah sebagai pelaris Kalla.

“Saya setuju untuk berlakon Kalla pun sebab ada nama Faizal Hussein. Dia seorang sahaja cukup untuk mengkomersialkan sesebuah karya. Hero datang dan pergi, Faizal Hussein tetap di sini. Dia adalah hero sepanjang zaman,” puji Azhan berkali-kali.

Berkongsi pengalaman lakonan, aktor berusia 42 tahun itu meluahkan rasa lega kerana terlibat dalam sebuah karya filem sebenar.

“Jika letak diri sebagai pembeli tiket, saya pernah terlibat dalam sebuah filem yang saya tidak suka. Jadi, saya tidak akan ulang pengalaman tersebut. Alhamdulillah, Kalla tidak begitu. Cerita yang ada dalam Kalla tak akan selalu ditemui,” ujar Azhan.