Dia memiliki pasangan hidup iaitu aktres Blake Lively yang sangat memahami kerenah dan perjalanan kerjayanya, bahkan bahagia membesarkan dua orang puteri dan kerjaya lakonan yang stabil. Bagaimanapun, garis kesempurnaan tersebut, tersembunyi juga episod gelap yang tidak dapat dielakkan Ryan.

Menerusi akhbar The New York Times Ryan, Ryan atau nama sebenarnya, Ryan Rodney Reynolds mendedahkan, dia sebenarnya berdepan dengan penyakit mental atau lebih spesifik lagi, anxiety disorder (gangguan kebimbangan).

“Saya ada masalah gangguan kebimbangan. Saya memang selalu berdepan masalah ini.

“Saya selalu berasa cemas memikirkan masalah ini dan pernah berada pada fasa yang sangat gelap dalam hidup disebabkan penyakit ini. Sangat tidak menyeronokkan,” kata lelaki berusia 42 tahun itu.

Ujar bapa kepada Inez dan James itu lagi, dia juga pernah menjalani kehidupan yang sangat liar pada usia 20-an.

“Saya suka berparti dan mencuba untuk meranapkan kehidupan sendiri dengan beberapa cara yang tidak masuk akal,” tuturnya ringkas.

Kehidupannya hampir lumpuh disebabkan gangguan kebimbangan yang dihadapi dan pada waktu gelapnya, dia cuba untuk lari daripada segala masalah dengan mengambil dos ubat-ubatan tanpa pengetahuan doktor.

“Saya berhenti mengambil ubat-ubatan apabila menyedari ramai kenalan mati disebabkan pengambilan dos berlebihan. Saya sendiri pernah ketagih kerana terlalu bergantung terhadap ubat-ubatan.

“Gangguan kebimbangan terjadi apabila saya merasakan wujud jangkaan tinggi orang terhadap saya. Minda saya memproses hal itu sebagai sesuatu yang berbahaya,” kongsinya.

Pikachu

Bercakap tentang filem terbaharu, Pokemon Detective Pikachu, Ryan menggalas tanggungjawab sebagai pokemon spesis tikus elektrik berona kuning comel yang sangat popular dalam kalangan peminat siri animasi Pokemon.

Mendedahkan alasan persetujuannya terlibat dalam filem berbentuk nyata (live action) tersebut, Ryan berkata, dia terkejut tiada langsung pembikinan filem itu sebelum ini.

“Sejujurnya, saya bukan peminat tegar animasi Pokemon kerana ketika kartun itu menjadi fenomena pada lewat tahun 1997-an, saya sudah dewasa (ketawa).

“Tetapi, saya sangat terkejut kerana sebelum ini tiada langsung pembikinan filem live action Pokemon sedangkan fenomena animasi ini meluas satu dunia,” kata Ryan dalam satu wawancara kepada portal Comicbook.

Ditanya respons dirinya apabila terpilih menjalankan tugas pelakon suara Pikachu dalam filem arahan sutradara, Rob Letterman, jawab Ryan: “Saya berasa sangat teruja. Biarpun cuba mengawal rasa teruja itu, saya telah buat banyak kajian tentang pokemon kerana tidak mahu mengecewakan peminat animasi itu di seluruh dunia.

“Perkara pertama yang saya buat adalah menguji kesesuaian suara watak Pikachu dengan bantuan teknik janaan komputer (CGI).

“Pada mulanya, kedengaran agak pelik kerana saya menggunakan suara asal sedangkan dalam versi animasi memang kena guna suara ‘kartun’. Namun setelah beberapa perbincangan dengan pengarah dan perkembangan skrip berlaku, tugas sebagai Pikachu menjadi sangat menyeronokkan.”

Mengulas tentang klasifikasi tayangan filem berkenaan yang sepatutnya mendapat status PG13, namun ditolak menjadi R-rated (material dewasa) kerana keceluparan dan dialog ‘kotor’ daripada mulutnya, ulas Ryan: “Rasanya, penerbit atau pengarah mengambil saya untuk terlibat dalam filem ini kerana mereka mahu saya membentuk cara tersendiri. Saya sentiasa mahu buat apa yang ingin dilakukan.

“Saya mengambil masa yang agak lama untuk menterjemah Pikachu dengan cara sendiri. Pikachu versi live action oleh saya memang diakui agak kasar, namun masih terkawal.

“Justeru, filem ini boleh ditonton oleh sama ada golongan kanak-kanak atau orang dewasa. Tiada masalah.”

Anak ketiga

Baru-baru ini, pelakon yang cukup popular dengan francais Deadpool itu turut mendedahkan bahawa isterinya, Blake Lively sedang hamil anak ketiga.

Perkara tersebut didedahkan pasangan ideal itu ketika menghadiri tayangan perdana Pokemon Detective Pikachu di New York, Amerika Syarikat.

Dalam wawancara terdahulu, Ryan mengucapkan rasa penghargaan terhadap isterinya, Blake yang menjadikan banyak impiannya menjadi realiti.

“Blake adalah perkara terbaik pernah berlaku dalam hidup saya. Saya tidak menjangka kehidupan akan menjadi teramat bahagia seperti hari ini. Terima kasih kerana menjadikan saya seorang bapa yang saya sendiri tidak pernah terfikir sebelum ini.

“Saya fikir, saya hanya akan menjadi seorang bapa saudara kepada anak-anak buah, namun Blake memberikan kehidupan yang luar biasa kepada saya,” kongsi Ryan yang berkahwin dengan Blake pada tahun 2012.

Masih berteka-teki tentang usia kandungan isterinya, Ryan dan Blake sudah dikurniakan dua orang cahaya mata, James, 4, dan Inez, 2.

Dalam satu temu bual pada tahun 2016, Ryan dan Blake pernah mendedahkan mereka sememangnya mengimpikan keluarga yang besar.

“Saya mempunyai empat adik-beradik sementara Blake ada lima orang. Jadi, kami memang akan mempunyai keluarga yang besar dan Blake pun tiada masalah untuk mempunyai anak yang ramai,” kata Ryan yang bakal muncul dengan filem The Hitman’s Wife’s Bodyguard pada tahun 2020.

Memegang peranan sebagai Pikachu dalam filem Pokemon Detective Pikachu, Ryan Reynolds berbicara tentang masalah gangguan kebimbangan yang pernah dihidapinya suatu ketika dahulu serta keterujaannya apabila si isteri, Blake Lively kini hamil anak ketiga.