Terbaharu di slot Akasia (TV3), drama Cinta Fatamorgana sedang memukau hati penonton sejak disiarkan pada 13 April lalu.

Biarpun lambakan drama cinta menghambat penonton, ironinya drama arahan Heykal Hanifah itu tampil sedikit berbeza.

Drama 28 episod yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam itu memaparkan kisah cinta tiga segi antara Rifqi, Huzair dan Wildad yang dilakonkan Aeril Zafrel, Syazuwan Hassan, Azar Azmi, Norman Hakim, Rusdi Ramli, Emelda Rosemila, Faezah Elai, Linda Rafar, Dayana Roza dan Shah Jaszle.

Membawa watak Rifqi, seorang jejaka yang sanggup mengorbankan cintanya, ia memberi satu pengalaman segar kepada Aeril apabila bergandingan dengan dua pelakon baharu iaitu Syazuwan dan Azar.

“Saya terbuka berlakon dengan sesiapa sahaja sama ada pelakon baharu atau lebih senior. Asalkan pelakon tersebut tahu tentang wataknya dan dapat bekerjasama dengan saya dalam memberikan yang terbaik,” ujar aktor berbakat itu.

Mengulas mengenai drama Cinta Fatamorgana, Aeril menyifatkan drama berkenaan memberikan mesej yang berguna kepada penonton.

Selain itu, kata Aeril, konflik percintaan dan juga pengorbanan yang turut dipaparkan dalam Cinta Fatamorgana menjadi rencah terbaik buat drama yang dibarisi pelakon popular itu.

“Pada saya, tarikan drama ini apabila ia memaparkan mesej bagus kepada penonton yang mana setiap daripada kita harus berkorban dan berkongsi rasa kebahagiaan dengan orang lain.

“Kiranya, dalam hidup ini kita jangan pentingkan diri sendiri,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Cinta Fatamorgana mengisahkan tentang persahabatan di antara Rifqi (Aeril), Huzair (Syazuwan) dan Wildad (Azar). Selepas kematian kedua-dua ibu bapa Rifqi, dia tinggal bersama keluarga Huzair. Rifqi dan Huzair jatuh cinta dengan gadis yang sama iaitu Wildad, namun wanita itu mencintai Rifqi.

Rifqi tersepit antara cinta dan budi keluarga Huzair. Akhirnya, lelaki itu mengambil keputusan mengorbankan cintanya. Biarpun hatinya pedih melihat hubungan Huzair dan Wildad yang semakin rapat, namun lelaki itu ingin menjaga persahabatannya dengan Huzair dan membalas budi keluarganya yang banyak membantu.