Membariskan bintang terkenal seperti Remy Ishak, Puteri Aishah, Azrel Ismail, Erwin Dawson dan Alvin Wong sebagai tonggak utama, Pulang berkisarkan kelana seorang pelaut bernama Othman, yang belayar mengelilingi dunia demi mengubah kehidupan menjadi lebih baik buat isterinya, Cik Thom.

Dibikin oleh pengarah tersohor Kabir Bhatia, Pulang secara keseluruhan menelan belanja RM6 juta ringgit dan menggunakan teknik janaan komputer (CGI) bagi hampir 80 peratus daripada keseluruhan filem.

Kata Kabir, Pulang boleh disifatkan sebagai karya kemunculan semula buat dirinya yang sudah lama tidak mengarahkan filem genre cinta seperti Sepi dan Cinta.

“Saya bersetuju untuk mengarahkan Pulang kerana ia bukan kisah cinta biasa, sebaliknya penantian seorang wanita selama 61 tahun untuk bertemu semula dengan suaminya.

“Lagipun selepas kejayaan Bisik Pada Langit tahun lalu, saya sedar bahawa kekuatan saya sememangnya pada genre-genre seperti ini.

“Saya juga beruntung kerana berpeluang bekerja dengan kru produksi yang hebat serta memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang 60 hari penggambaran di Pantai Penarik, Terengganu dan Setapak, Kuala Lumpur dua tahun lalu,” jelasnya lagi.

Cabaran

Menyentuh tentang pemilihan Remy dan Puteri Aishah sebagai tonggak utama, Kabir memberitahu, kedua-dua pelakon tersebut menjalani sesi uji bakat sama seperti orang lain serta tidak ditawarkan watak berdasarkan populariti sahaja.

Sementara itu, bagi Remy yang memegang watak Othman, memandangkan CGI adalah komponen utama dalam filem ini, dia terpaksa membiasakan diri menggunakan banyak imaginasi sewaktu menjalani penggambaran babak layar hijau.

Memandangkan wataknya bermula sebagai seorang nelayan, maka Remy juga perlu menjalani latihan mendayung sampan kira-kira seminggu sebelum tarikh penggambaran sebenar bermula.

“Imaginasi adalah perkara paling penting bagi saya untuk menghayati watak Othman kerana kebanyakan kejadian yang berlaku semuanya menggunakan teknik CGI, jadi ia mengambil masa dan beberapa kali rakaman.

“Saya bernasib baik kerana bukan seorang yang mabuk laut, jadi kebanyakan babak di atas sampan berjalan dengan lancar dan tidak mengganggu fokus lakonan saya,” jelasnya lagi.

Bagi Puteri Aishah yang menjayakan watak Cik Thom, dia berasa gementar untuk mendengar reaksi daripada penonton Pulang memandangkan ini adalah filem pertama lakonannya.

“Saya telah memberikan yang terbaik dan berharap peminat dapat menerima lakonan pertama saya di layar perak. Namun begitu sebagai orang baharu, saya sentiasa terbuka untuk sebarang kritikan membina untuk kebaikan kerjaya saya di masa hadapan,” jelasnya.