Begitulah juga kisahnya dengan naskhah terbaharu terbitan Dhananwoodd Films Sdn. Bhd. yang tampil dengan karya berjudul Makrifat Cinta. Diadaptasi daripada kisah benar yang terjadi dalam orang sekeliling, pengarah Kamal G mengolah jalan cerita yang dilihat punya nilai tersendiri untuk diangkat ke layar perak.

“Apabila saya mendengar kisahnya, saya berasa tersentuh hati. Selepas itu saya menyuarakan hasrat untuk menjadikan ia sebagai sebuah karya. Apabila dimaklumkan mengenainya, individu itu memberitahu dia tidak berdepan sebarang masalah dengan syarat identiti asal tidak didedahkan,” kata Kamal G yang juga merangkap penerbit bagi filem itu.

Justeru, kisah itu semua diterjemahkan oleh bakat-bakat besar yang mewarnai industri filem tempatan seperti Syamsul Yusof, Nabila Huda, Nora Danish dan pelakon cilik, Putri Balqis.

Semangat kerja

Selaku Individu yang duduk di kerusi pengarah, Kamal G memberitahu, dia cukup kagum dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh barisan pelakon dalam menjayakan satu-satu babak itu.

“Ada insiden yang tidak diingini berlaku apabila Syamsul mengalami kecederaan ketika penggambaran. Biarpun hanya selepas beberapa hari diberikan waktu berehat, Syamsul tetap mahu meneruskan kerja di set penggambaran dengan tangannya masih lagi berbalut.

“Apa yang ditunjukkannya itu menyuntik semangat kepada kami semua barisan produksi dan pelakon lain untuk bekerja lebih keras dan memberikan yang terbaik. Kesungguhan mereka semua dalam menjayakan setiap babak itu cukup buat saya berasa terharu,” katanya.

Jelas Kamal G, proses penggambaran juga berjalan dengan lancar. Dia berasa bertuah kerana berpeluang bekerja dengan barisan pelakon yang cukup berpengalaman. Mana tidaknya, sebagai rekod, Syamsul, Nabila dan Putri Balqis masing-masing pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

“Tidak susah kerana mereka memang sudah tahu apa yang perlu dilakukan apabila berada di set. Jadi, masing-masing tahu peranan tersendiri. Secara tidak langsung ia memudahkan lagi proses penggambaran filem ini,” katanya yang memberitahu kos pembikinan mencecah lebih RM3 juta.

Lebih menarik, filem bergenre drama itu turut menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) dalam proses pembikinannya. Katanya, teknik tersebut diguna pakai bagi memberikan sentuhan paparan berbeza dalam babak-babak tertentu.

“Kami hanya menggunakan lebih kurang 10 hingga 20 peratus sahaja teknik CGI. Saya memang cukup teliti dalam setiap pembikinan babak. Sebolehnya, tidak mahu terlalu banyak. Cukuplah sekadar mahu bereksperimen dalam beberapa babak sahaja.

“Ini kerana, adakalanya kita terpaksa gunakannya untuk memberikan gambaran yang kita mahukan kepada penonton mengikut jalan cerita,” kongsinya.

Bakal menemui penonton pada Februari depan, filem Makrifat Cinta itu turut menggunakan khidmat pakar teknikal dari India.

“Kita memang ada menggunakan khidmat suntingan dari India. Ia merupakan usaha kami untuk memberikan yang terbaik kepada penonton. Kepakaran yang mereka miliki itu kita cuba suntik dalam Makrifat Cinta.

“Bukan sahaja khidmat tersebut, kami juga ada menggunakan lensa berteknologi tinggi bagi penghasilan imej yang terbaik. Semua itu nanti dapat dilihat dalam tayangan filem ini nanti,” katanya.

Nilai kehidupan

Bukan hanya berkisar cinta, Makrifat Cinta mengupas banyak isu-isu berkaitan nilai kehidupan dalam sebuah keluarga. Semestinya ia bakal menjadi sebuah naskhah yang lebih dekat di hati penonton.

Bagi Putri Balqis sendiri, katanya, filem tersebut memberikannya satu pengalaman baharu apabila diberi peluang bergandingan dengan Syamsul dan Nabila buat pertama kali.

Katanya, semestinya setiap watak yang diberikan mempunyai cabaran yang tersendiri. Memegang watak sebagai Aisha, katanya, watak tersebut memerlukan dia banyak bermain dengan emosi.

“Watak Aisha itu merupakan anak kepada Mahathir (Syamsul) dan Zara (Nabila). Ia menceritakan konflik keluarga mengenai seorang bapa yang terpaksa memenuhi kehendak ibu saya dalam meneruskan kehidupan mewah.

“Sehinggalah berlaku perebutan anak. Di situlah saya bukan sahaja perlu bermain dengan emosi tetapi juga banyak berdepan dengan adegan yang agak lasak,” ceritanya.

Bagi Syamsul sendiri pula, dia memberitahu bahawa filem tersebut banyak mengupas isu-isu kekeluargaan yang sering terjadi. Barangkali ia sudah cukup klise, tetapi itulah hakikat yang perlu diterima umum mengenai apa yang terjadi dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini.

Apa yang pasti, bukan sekadar berlakon dalam Makrifat Cinta, Syamsul juga difahamkan menjadi antara individu penting apabila dikatakan menjadi penasihat kepada pengarah filem tersebut.

“Apabila saya menerima skrip tersebut, memang ada beberapa perubahan yang saya rasakan perlu. Saya melihat ada beberapa watak yang perlu dikembangkan untuk menjadikan keseluruhan filem itu menjadi lebih menarik,” kongsinya yang memberitahu penggambaran filem itu mengambil masa selama 35 hari di sekitar Lembah Klang.

Makrifat Cinta menceritakan mengenai Mahathir lakonan Syamsul yang berusaha keras untuk memenuhi segala kemahuan isterinya (Nabila) dan anak perempuan mereka, Aisha (Puteri Balqis).

Pada masa yang sama, Mahathir berdepan dengan masalah yang dihadapi abang iparnya, Rizal yang juga penagih dadah tegar sehingga membuatkan rumah tangganya bermasalah.

Tersepit antara masalah yang dihadapi, Mahathir kemudian cuba mencari jalan keluar daripada situasi yang menimpa dirinya sehinggalah dia bertemu dengan seorang wanita bernama Sofea (Nora Danish).