Menjadi peserta tunggal Malaysia, tiga pelajar yang terdiri daripada Raja Mohamad Amin Raja Azhar, 25; Saidatul Nurlin Ahmad Hismanuri, 25, dan Edwin Tan Leng Phil, 26, itu turut berjaya mengaut kemenangan kedua menerusi filem pendek yang memaparkan keunikan masyarakat di perkampungan di Guiyang, China.

“Alhamdulillah, saya betul-betul tidak menyangka memenangi empat kategori anugerah iaitu Sinematografi Terbaik, Pengarah Terbaik, Anugerah Paling Popular dan Anugerah Khas Juri, sekali gus merangkul juara pada pertandingan berkenaan.

“Ini kerana, kami bersaing dengan peserta-peserta hebat daripada 29 buah universiti dari lapan negara,” ujar Raja Mohamad yang merupakan penuntut semester akhir Sarjana Filem, Digital dan Televisyen.

Mengulas mengenai kemenangan itu, katanya, juri yang menilai filem pendeknya tertarik dengan kisah anak autisme yang diangkat daripada sudut berlainan.

“Saya hasilkan kisah autisme daripada sudut positif yang mana mereka mampu jadi orang berjaya. Filem mengenai autisme ini, saya hasilkan di Malaysia.

“Sementara untuk filem pendek mengenai keunikan perkampungan di China pula, kami diberi masa selama 48 jam sahaja untuk menghasilkannya di sana (China) mengikut kreativiti sendiri. Saya sebagai ketua kumpulan mengambil tanggungjawab sebagai pengarah dan jurukamera, Saidatul Nurlin pula membantu sebagai pengurus produksi dan Edwin Tan sebagai penyunting untuk filem pendek kami,” ujarnya yang berada seminggu di China bagi menyertai pertandingan itu.

Selain menyertai pertandingan itu, tiga pelajar berkenaan juga didedahkan dengan pengetahuan budaya Guiyang dan dibawa ke beberapa tempat sekitar kawasan tersebut untuk membina idea unik masing masing.

Kemenangan tiga pelajar itu lebih berharga apabila mereka ditawarkan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di mana-mana universiti di Shanghai, China atau Melbourne, Australia.

Pertandingan anjuran Universiti Sains dan Teknologi Qingdao, China itu turut disertai universiti negara lain termasuk Korea Selatan, Perancis, Jerman, Tanzania, Amerika Syarikat dan China.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai perancangannya selepas tamat belajar kelak, Raja Mohamad Amin mengakui ingin melibatkan diri secara serius dalam bidang pengarahan.

“Insya-Allah, saya mahu menjadi pengarah dan menghasilkan karya-karya yang bagus, sekali gus menaikkan nama industri Malaysia di mata dunia.