Jika sebelum ini penyanyi berusia 28 tahun itu memfokuskan terhadap penghasilan lagu duet, kini tumpuannya terarah mengembangkan kerjaya solo.

Kilafairy atau nama lengkapnya, Syakila Nisa Jahangir Khan menjelaskan, penghasilan lagu solo secara tidak langsung membolehkan dirinya untuk membuat persembahan tanpa gandingan duet.

Mengakui bakal menghasilkan sebuah single dalam tempoh masa terdekat, Kilafairy bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai lagu tersebut melainkan ia mendapat sentuhan Brian B yang merupakan seorang komposer berasal dari Papua New Guinea, lelaki sama yang terlibat dalam menghasilkan lagu Put The Word In.

KOSMO!: Selepas single Put The Word In, adakah Kilafairy akan menghasilkan lagu baharu dalam tempoh terdekat?

KILAFAIRY: Buat masa sekarang, saya sedang sibuk menghasilkan sebuah lagu baharu. Jika sebelum ini saya menghasilkan single duet tetapi sekarang tumpuannya lebih ke arah lagu solo.

Mengapakah anda mengambil keputusan sebegitu?

Saya perlu memiliki sebuah lagu solo agar mudah untuk membuat persembahan. Tambahan, single Put The Word In menyaksikan kerjasama dengan penyanyi antarabangsa. Jadi, ia agak sukar untuk memanggil mereka menyanyi bersama sekiranya ada undangan nyanyian.

Sebentar tadi anda mengatakan sedang dalam proses menghasilkan lagu baharu. Bolehkah kongsikan mengenai perkara tersebut?

Saya mohon maaf kerana buat masa sekarang lagu tersebut masih belum dapat dikongsikan kepada khalayak.

Tetapi, saya tetap kekal menggunakan khidmat komposer Brian B yang sebelum ini menghasilkan lagu Put The Word In. Namun, lagu kali ini akan dihasilkan dalam versi bahasa Melayu berbanding Put The Word In (bahasa Inggeris).

Selepas menghasilkan single solo ini, saya kemudian mungkin akan fokus untuk menghasilkan lagu duet dengan bintang antarabangsa lagi. Tetapi ia segalanya masih dalam peringkat perbincangan.

Adakah anda masih mengekalkan konsep lagu yang sama dengan sebelum ini?

Kalian hanya perlu tunggu dan lihat sahaja nanti.

Jika menerusi klip video lagu Put The Word In anda telah menerima banyak kecaman kerana dikatakan tampil dengan penampilan seksi. Adakah anda bersedia untuk perkara sebegitu berulang lagi?

Tujuan saya menghasilkan lagu tersebut bukan untuk meminta kecaman atau dikecam. Saya faham, setiap daripada kita mempunyai penerimaan dan perspektif berbeza.

Justeru, tidak perlu terlalu fokus terhadap benda-benda yang sangat negatif. Jadi, saya ingin fokus tentang benda positif termasuk usaha keras terhadap kerja masa hadapan.

Meskipun mereka memberi kritikan, tetapi ia tidak mematahkan semangat untuk terus memberikan yang terbaik. Tambahan, ibu, Rohana Jalil, banyak menasihati agar perlu kuat semangat untuk terus berada dalam industri.

Bagi saya, kritikan adalah sesuatu yang perlu dibiasakan sekiranya memilih haluan sebagai selebriti. Meskipun imej sopan, lemah lembut tetap akan individu yang ingin mengkritik.

Beralih ke arah soalan peribadi, adakah anda sedang menjalin hubungan istimewa dengan seseorang ketika ini, apakah status anda sekarang?

Buat masa sekarang saya tidak mahu memikirkan soal cinta atau peribadi. Tidak dinafikan ada yang cuba memikat tetapi mungkin disebabkan saya tidak serius untuk menamatkan zaman bujang dalam tempoh masa terdekat.Sejujurnya saya sekarang berstatus solo dan tidak memiliki kekasih. Pada saya, sekarang ini masa untuk fokus pada kerjaya berbanding kisah peribadi.