Penyanyi yang popular dengan lagu Bayang itu bagaimanapun turut berasa bimbang dengan jangkaan peminat yang terlalu berharap agar hubungannya bersama wanita yang popular dikenali sebagai Nana, sampai ke satu fasa menggembirakan.

Pada masa sama, lelaki berusia 25 menyifatkan gandingan dengan Nana sebenarnya membuka lebih banyak rezeki dan ruang untuknya dalam bidang seni.

Terbaharu, duo yang baru sahaja meluncurkan duet pertama berjudul Satukan Rasa itu akan muncul sebagai pasangan kekasih dalam sebuah drama terbitan Astro.

Ikuti penjelasan Khai yang turut berkongsi keterujaannya pertama kali bergelar pelakon drama.

KOSMO!: Difahamkan Khai kini menerima tawaran berlakon dalam sebuah drama bersama Siti Nordiana. Boleh jelaskan sebab penglibatan anda dalam dunia lakonan?

KHAI BAHAR: Sejujurnya, saya tidak minat berlakon tetapi saya terima tawaran drama itu kerana mahu mencuba perkara baharu. Semestinya dunia lakonan bukan bidang saya tetapi tidak salah untuk mencuba. Teringin juga untuk tahu kisah di sebalik dunia lakonan. Tetapi rasanya saya tidak akan jatuh suka dengan dunia itu. Sebab percubaan pertama saya dalam drama itu hanyalah sebagai satu eksperimen untuk mencuba cabang lain. Dalam drama itu, saya memegang watak hero dan kekasih kepada Nana.

Memegang watak hero dalam debut lakonan, mungkin anda ada melakukan sebarang persediaan?

Tidak sabar juga sebenarnya untuk turun ke lokasi penggambaran dan melalui sendiri pengalaman menjadi pelakon. Disebabkan saya tidak pernah berlakon, jadi memang perlu ambil kelas lakonan. Insya-Allah saya dan Nana sama-sama akan belajar demi memberikan yang terbaik kepada peminat dan penonton.

Apakah komen anda jika ada yang mengambil kesempatan terhadap hubungan kalian?

Saya tidak pernah terfikir tentang soal itu. Sebenarnya kami sama-sama memerlukan. Keakraban kami bermula dengan nyanyian. Kemudian, berterusan dengan kerjasama dalam lagu. Sekarang dapat tawaran untuk berlakon pula. Apa yang saya nampak, ini semua rezeki. Jalan karier kami sentiasa dipermudahkan sehingga banyak mendapat tawaran bersama. Saya tidak boleh menolak rezeki yang datang sekiranya itu sesuatu yang baik.

Apabila ada yang mendakwa gandingan kalian sebagai cara untuk mengekalkan populariti, boleh Khai jelaskan?

Itu tidak betul. Sejak awal penglibatan kami dalam apa projek bersama, semuanya tidak dirancang, sebaliknya terjadi secara sendiri. Selagi peminat suka melihat gandingan kami, saya dan Nana akan memberikan balasan dengan lebih berusaha demi memberi yang terbaik kepada semua.

Sejak akhir-akhirnya ini, anda kerap dikaitkan dengan Nana. Adakah anda pernah berasa rimas tentang perkara tersebut?

Langsung tidak. Saya okey sahaja. Tetapi saya takut sebab peminat terlalu letakkan harapan yang tinggi kepada kami. Saya bimbang mereka yang akan kecewa nanti, bukannya kami. Sebab soal jodoh bukan dalam tangan kita untuk menentukan.