Dalam konsert yang mengumpulkan kira-kira 3,000 peminat dengan hampir 20 buah lagu disajikan tersebut, Awie pada usia separuh abad masih mampu menggegarkan pentas sepanjang dua jam persembahan.

Tampil dengan busana bak pahlawan Melayu, persembahan pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman bersama kumpulannya Wings itu nyata membuatkan peminat histeria.

Bersandarkan muafakat bawah payung Sayap-Sayap Wings, persembahan pada malam itu bukan sahaja membuktikan kerelevanan Wings sebagai kumpulan legenda rock tempatan malah keutuhan mereka sepanjang tiga dekad dalam industri.

Usai membuka panggung dengan lagu Inspirasi Taming Sari, Awie telah meletakkan penanda aras terhadap momentum persembahannya.

Pada usia 51 tahun, dia bertahan melontarkan vokal nada tinggi dan laungannya bersahut jeritan peminat.

“Saya sangat ralat dengan keadaan kesihatan pada malam ini. Saya yakin jika keadaan fizikal tidak terbatas, saya boleh memberikan lebih baik berbanding persembahan sebentar tadi.

“Apa-apapun, saya bersyukur dengan kuasa Allah, konsert pada malam ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Peluang bertemu empat mata bersama Awie sejurus tamat konsert mendedahkan betapa beliau bertahan dengan seluruh kudrat yang ada untuk tampil gagah selama dua jam menghiburkan peminat.

Terkesima melihat beliau bertongkat sepanjang berjalan di belakang pentas, sedangkan sewaktu beraksi sedikit pun riak kesakitan terpampang pada wajahnya, hati berdetik bahawa lelaki itu cukup komited terhadap setiap perkara yang diusahakan.

“Semangat peminat saya lain macam pada malam ini. Mereka yang menyalurkan semangat hinggakan saya lupa berada dalam keadaan tidak sihat.

“Oleh kerana semangat yang diberikan sangat kuat, saya ingin memberi persembahan yang lebih baik sebagai penghargaan terhadap sokongan mereka,” luahnya.

Berkongsi pentas

Bersadur semangat kemelayuan dan rock & roll, semua yang hadir boleh dikatakan terpukau dengan persembahan bertenaga daripada Awie dan Wings.

Masing-masing larut dalam emosi hinggakan acap kali simbolik tangan sayap-sayap Wings menguasai segenap dewan.

Pengalaman lebih tiga dekad sebagai penghibur, Awie juga tidak kekok untuk berinteraksi dan berseloroh di atas pentas.

Tidak ketinggalan menyampaikan hit sepanjang 35 tahun dalam industri, Sejati antara lagu yang dinantikan peminat pada malam tersebut.

“Kalau ikutkan hati, saya ingin menyanyi lebih banyak lagu. Opera Hidup antara lagu tambahan yang saya nyanyikan. Saya mahu tambah lagi, tetapi para pemuzik meminta saya berhenti,” kongsinya.

Konsert Laksamana Wings X Bunkface bukan sahaja medan pesta meraikan 35 tahun kewujudan Wings, malah pentas itu juga menjadi bukti kesediaan Wings berkongsi momen manis berkenaan bersama kumpulan muzik generasi baharu.

Bunkface yang terlebih dahulu menguasai pentas dengan 10 buah lagu turut memberi penghormatan terhadap Wings dengan menyampaikan lagu bertajuk Bernafas Dalam Lumpur dan Ingatkan Dia dengan susunan muzik serba baharu.

Dikhabarkan, Bunkface merupakan kumpulan muzik generasi baharu pertama yang diberi peluang berkongsi pentas yang sama dengan Wings.

“Sebelum ini ada khalayak mempertikaikan gabungan kami bersama Bunkface. Kononnya muzik kami berbeza kerana Wings membawa genre metal rock manakala Bunkface lebih kepada punk rock.

“Secara peribadi, saya terkejut dengan persembahan mereka. Susunan muzik yang sangat bagus,” ujar Awie.

Mengulas mengenai penyampaian Bunkface menerusi lagu Bernafas Dalam Lumpur dan Ingatkan Dia, Awie pantas memberikan respons positif.

“Pada malam ini kami berkongsi pentas atas nama seni. Lihat mereka menyanyikan lagu Ingatkan Dia, saya perlu memberi pujian kerana telah menyuntik nafas baharu dalam lagu berkenaan,” tuturnya.

Penampilan Bunkface yang terdiri daripada Sam, Youk dan Paan pada malam konsert juga tidak mengecewakan.

Berpengalaman mengadakan pelbagai persembahan pentas pada peringkat tempatan adan antarabangsa, vokalisnya, Sam menzahirkan penghormatan terhadap Wings.

Menyifatkan peluang berkongsi pentas dengan kumpulan legenda rock negara itu merupakan peluang seumur hidup, mereka akui gementar untuk meneruskan persembahan.

“Sebenarnya, kami gementar untuk berada di atas pentas yang sama dengan Wings. Alhamdulillah, kami akhirnya mendapat peluang seumpama ini.

“Malam ini, saya Laksamana Sam, mari kita berjoget” laungnya sebelum menghangatkan pentas menerusi lagu Wings, Bernafas Dalam Lumpur.

Penampilan Bunkface dalam segmen pertama konsert menyaksikan mereka menyampaikan deretan lagu popular seperti Rentak Laguku, Malam Ini Kita Punya, Darah Muda dan Ekstravaganza.

Menutup tirai segmen pertama, Bunkface menyampaikan lagu Revolusi sebelum menyerahkan pentas kepada Wings.

Di pentas yang sama, kedua-dua kumpulan sempat bergabung tenaga menerusi Peronda Jaket Biru.

Biarpun dianjurkan sewaktu dua hari sebelum umat Islam menyambut kehadiran Ramadan, Konsert Laksamana Metal Wings X Bunkface masih sebuah apresiasi muzik yang tidak tersasar. Konsep Bangsawan yang dibentangkan ternyata memberi terjemahan bahawa rock masih menyatu bersama budaya Melayu yang menjadi akar bangsa pemujanya.

Bagai meminjam aura daripada lirik Inspirasi Taming Sari, lambang satria seorang laksamana Melaka, Wings tampil bergaya dengan semangat rock & roll yang masih relevan.