Memenuhi keinginan dan bersesuaian dengan piawai, pesona negara ini nyata berjaya mencuri tumpuan drama bersiri antarabangsa, Strike Back.

Memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran sepenuhnya siri keenam drama rantaian edaran HBO tersebut, ia membariskan artis antarabangsa seperti Daniel MacPherson, Warren Brown, Alin Sumarwata dan Yasemin Allen sebagai pelakon utama.

Dijadualkan menemui penonton pada tahun hadapan menerusi saluran Cinemax, naskhah berteraskan elemen aksi ketenteraan tersebut memilih Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor sebagai lokasi pilihan penggambaran.

Disebabkan penggambaran dilakukan sepenuhnya di Malaysia, juga, barisan pelakon berpeluang menggunakan sengkang waktu untuk menikmati panorama menarik terutama di sekitar utara tanah air jika tiada komitmen kerja.

Lokasi peranginan menarik

Peluang tersebut tidak mampu dilepaskan bintang filem A Wrinkle In Time iaitu MacPherson. Baginya, setelah penat bekerja setiap orang pasti menginginkan waktu untuk berehat.

Sekiranya tidak terlibat dengan penggambaran, MacPherson lebih senang membiarkan diri hanyut dengan emosi sendiri bercuti terutama di lokasi pilihannya, iaitu kawasan pesisir pantai.

Terkenal dengan legenda Mahsuri, Pulau Langkawi, Kedah merupakan antara lokasi menarik yang berjaya mencuri hati jejaka berusia 36 tahun itu.

“Pada pandangan saya, Malaysia adalah sebuah negara di Asia Tenggara yang lengkap dan mempunyai keunikan tersendiri. Terdapat kawasan urban, hutan dan pantai yang mampu memenuhi cita rasa penduduk tempatan.

“Bagi saya, Pulau Langkawi merupakan destinasi pelancongan yang mampu menawan hati. Bukan sahaja menawarkan pemandangan yang cantik tetapi juga kerana keramahan penduduk setempat,” tutur aktor yang membawakan watak sebagai Thomas Mac McAllister dalam siri Strike Back.

Turut berkongsi pandangan sama, aktor yang pernah membintangi filem The Dark Knight Rises, Brown yang mengakui keindahan alam Malaysia sebagai satu aset yang harus dibanggakan.

Beralih terhadap Strike Back yang kerap mempamerkan babak aksi di padang pasir pada musim terdahulu, musim terbaharu berusaha menjanjikan kelainan kepada penonton.

“Konsep padang pasir telah kerap kali dipertontonkan kepada khalayak. Jadi, kali ini kami berusaha untuk mencetuskan kelainan agar dapat mewujudkan sudut pandangan berbeza,” katanya.

Membawakan watak sebagai Samuel Wyatt, aktor berusia 40 tahun itu turut mengakui bahang cuaca panas Malaysia menjadi satu cabaran buatnya.

Nuansa perpaduan

Sekiranya dua gandingan pelakon MacPherson dan Brown tertarik dengan keindahan panorama Malaysia, aktres berdarah campuran Iran dan Indonesia, Alin Sumarwata pula terpukau dengan kepelbagaian bangsa warga tempatan.

Suasana yang dirasai di Malaysia, tampak berbeza berbanding negara lain. Bagi pelakon yang pernah menetap di Jakarta, Indonesia termasuk membintangi sinetron bertajuk Kenapa Ada Cinta sekitar tahun 2003 itu, Malaysia memiliki kekuatan yang dirasakan sukar untuk diperoleh iaitu perpaduan.

“Saya melihat negara ini mempunyai pelbagai bangsa dan budaya, latar belakang dan ‘rumah’ agama yang berbeza. Namun, kalian mampu hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu hati.

“Selain itu, keunikannya juga apabila kalian dapat saling meraikan perayaan antara satu sama lain tanpa bertelagah. Ia satu perkara yang sukar untuk diperoleh dan perlu dijaga untuk generasi akan datang,” terang Alin yang mendukung watak sebagai Gracie Novin.

Pandangan ibu kepada seorang anak itu turut diperakui pelakon Yasemin Allen yang memegang peranan sebagai Katrina Zarkova. Semangat perpaduan kaum yang dimiliki Malaysia menambat hatinya.

Pada masa sama, Yasemin turut senang berinteraksi dengan warga tempatan memandangkan kebanyakan mereka mempunyai kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris, sekali gus membantu untuk berkomunikasi terutama ketika bercuti.

“Saya bersama pelakon lain bagaikan sebuah keluarga terutama ketika kami pergi bercuti. Sewaktu berada di Johor, kami kerap berulang-alik ke Singapura kerana lokasinya yang agak dekat.

“Rakyat Malaysia ramai yang ramah dan mudah mesra selain menjadikan saya berasa selesa sepanjang berada di Malaysia,” jelasnya seraya tersenyum.

Selain Malaysia, siri Strike Back sebelum ini pernah menjalani penggambaran di beberapa negara lain, antaranya Hungary dan Jordan.