Sehinggalah ke tahun ini, barulah 7ujuh dapat menembusi pawagam dan ia mula menghantui penonton di pawagam bermula hari ini.

Naskhah 7ujuh dibintangi barisan pelakon hebat tanah air iaitu Johan A’sari, Pekin Ibrahim, Cristina Suzanne, Siti Saleha, Aeril Zafrel, Riz Amin, Faizal Hussein, Marsha Milan, Wan Hanafi Su dan Dee Dee Nash.

Filem yang meminjam latar masa 1970-an tersebut mengisahkan tujuh pelajar kolej yang mengambil keputusan meraikan hari terakhir pengajian dengan bercuti di sebuah rumah peranginan milik salah seorang daripada mereka, Sam (Johan A’sari).

Namun kegembiraan tujuh sekawan itu berpesta dengan arak dan dadah telah mengundang satu kejadian yang tidak diingini terhadap Suri (Marsha Milan) iaitu anak kepada Tok Batin (Wan Hanafi Su) yang ditugaskan menjaga rumah tersebut.

Susulan kejadian tersebut, ketujuh-tujuh mereka dihantui satu sumpah dendam sehingga membuatkan mereka sukar untuk keluar dari rumah tersebut. Lebih parah, sumpahan tersebut harus tuntas untuk meragut nyawa mereka seorang demi seorang.

Kematangan Johan

Berjaya menemui peminat tanah air, 7ujuh bagaimanapun tidak mendapat kebenaran untuk ditayangkan di Brunei kerana kerajaan negara berkenaan mendakwa naskhah tersebut mengandungi unsur tidak bermoral.

Sebagai teraju utama dan semestinya terlibat dalam babak penggunaan minuman keras serta pengambilan dadah, Johan A’sari tidak khuatir dengan penerimaan penonton terhadap filem itu yang dibimbangi mungkin akan membawa pengaruh tidak elok.

“Kita membesar dan dihidangkan dengan pelbagai genre filem di negara ini sejak dahulu. Ada bermacam peringkat cerita seram yang ada dan ia sangat berwarna-warni. Begitu juga dengan isi kandungan mana-mana filem seram yang meliputi banyak konsep penceritaan.

“Jadi secara terus-terang saya tidak takut dengan penerimaan penonton yang kita tidak tahu bagaimana. Sebab ini semua cuma lakonan dan kami sebagai pelaku seni hanya meluahkan watak mengikut lakaran skrip,” jelasnya.

Hakikatnya, 7ujuh merupakan filem pertama lakonan Johan. Selain teruja menantikan reaksi penonton terhadap naskhah itu, Johan menyifatkan sekarang adalah masanya untuk dia mencuba sesuatu yang baharu dalam karier.

Terkini, dia lebih banyak memfokuskan kerja terhadap tawaran filem. Buat masa ini, pelakon berusia 32 tahun itu sedang sibuk menjalani penggambaran filem Mat Kilau selain baru selesai menyudahkan penggambaran filem Banglo 99.

“Pada masa sama, saya sebenarnya sedang mengambil pendekatan untuk berehat seketika memandangkan lima tahun sebelum ini saya memang fokus terhadap drama sahaja.

“Seiring dengan peningkatan usia, saya perlu mematangkan diri dalam menyampaikan rasa sebagai seorang pelakon. Saya juga akui sekarang masanya untuk perlu mendewasakan diri lebih-lebih lagi terhadap diri sendiri,” katanya.

Marsha puas

Teruja dan puas. Itu perasaan yang dirasakan Marsha Milan tatkala menjayakan filem seram kerana menerusinya, dia telah memberikan 100 peratus komitmen meskipun sanggup menahan sejuk dalam cuaca dingin di lokasi penggambaran Cameron Highlands.

Kongsi Marsha, antara bahagian paling sukar dijayakannya adalah ketika Suri jatuh dari gaung kerana babak itu dilakukannya sendiri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.

Ia turut ditambah dengan cabaran lain apabila dia terpaksa melontarkan dialek bahasa Orang Asli.

“Mula-mula saya tidak tahu pun ada pelakon lagak ngeri dan pada awalnya memang kru mahu saya lakukannya sendiri supaya ia nampak nyata.

“Bayangkan saya perlu jayakan babak jatuh dari ketinggian 80 kaki atau 24 meter. Banyak kali juga babak itu diambil, ditambah lagi saya seorang yang gayat, ia memang memberi cabaran,” ceritanya.

Marsha terlebih dulu menjayakan filem 7ujuh sebelum dia muncul dalam filem Jwanita yang ditayangkan pada 2015. Meskipun tidak banyak filem dilakonkannya, namun naskhah seram seakan-akan sudah sebati dengan pelantun lagu Ku Tinggalkan Cinta itu.

Ditanya tentang tanggapan segelintir khalayak bahawa dia akan menjadi pengganti Maya Karin yang terkenal sebagai watak hantu, Marsha hanya ketawa kecil sebelum meluncurkan jawapan.

“Kalau peminat beranggapan begitu, saya cuma mampu cakap terima kasih sebab ia bagaikan satu penghormatan disamakan dengan Maya yang satu negara kenal cukup hebat kalau menjayakan filem seram,” katanya teruja.

Watak sensitif Saleha

Berbeza bagi Siti Saleha, dia mengakui watak Tina adalah sesuatu yang baharu bagi dirinya kerana menerusinya, dia perlu menjadi seorang lesbian.

Akur dengan isu sensitif itu lebih-lebih lagi pada saat negara sedang berdepan dengan isu yang menjadi perhatian sejagat ketika ini, Saleha memilih untuk tidak berbicaranya melangkaui lebih daripada ruang lakonan.

“Saya tidak mahu komen lebih mengenai watak itu kerana ia sangat sensitif. Saya hanya menjadikan ia sebagai tanggungjawab sebagai pelakon untuk melunaskannya.

“Cuma saya akui, selepas ini tiada lagi watak seperti itu. Tidak akan,” katanya.

Meskipun sedar penerimaan penonton mungkin ada yang tidak dapat menerima watak sebegitu, namun Saleha enggan ambil pusing.

Apa yang lebih penting adalah penerimaan suami sendiri. Namun Saleha bersyukur kerana suaminya dapat menerima watak tersebut dan memahami ruang lingkup kerjayanya.

“Pada mulanya, dia memang agak terkejut. Saya juga gementar ketika mahu memberitahunya. Namun, semuanya berbalik terhadap tuntutan kerja.

“Dia perlu faham kerja saya, lagi pun filem itu dibikin beberapa tahun lalu, iaitu sebelum kami berkahwin,” katanya yang ada membuat rujukan bagi mendalami watak itu menerusi tontonan beberapa buah filem luar.

Meskipun terperam lebih lima tahun, tiga pelakon filem seram terbaharu berjudul 7ujuh, Johan A’sari, Marsha Milan dan Siti Saleha tetap teruja berbicara tentang pengalaman menjayakan naskhah yang akhirnya mula menemui penonton bermula hari ini.