Ditemui pada majlis pengumuman program raya Astro 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini, hampir sahaja wanita kelahiran Singapura itu gugup ketika dibangkitkan persoalan mengenai kehidupannya kini selepas melepasi fasa merawat diri.

Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd. Suhaime, 28, yang sepatutnya menyandang status sebagai isteri kepada Awi sepanjang menjalani ibadah puasa dan sambutan perayaan Aidilfitri pada tahun ini terpaksa akur dengan takdir Tuhan.

Sedikit pun tidak memburukkan nama bekas tunangnya, pelakon Lagenda Budak Hostel itu tetap yakin setiap ujian ada hikmah.

Ikuti kisah Atikah yang tenang bercerita selepas impian perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 15 Mac lalu berkecai.

KOSMO!: Bagaimanakah keadaan Atikah selepas dua bulan berkecainya hasrat membina mahligai dengan dan Awi Rafael?

ATIKAH: Alhamdulillah, kehidupan saya berjalan seperti biasa. Berkat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, saya dapat mengawal segala kesedihan terhadap pengakhiran hubungan terdahulu.

Saya lebih terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja dan selesa untuk mengisi masa lapang dengan pelbagai pekerjaan. Alhamdulillah, tawaran lakonan juga semakin banyak.

Adakah anda masih dalam proses merawat hati berikutan insiden terdahulu?

Ini adalah tempoh terbaik untuk saya menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti terutama melibatkan kerjaya seni. Memandangkan kini saya kembali aktif, saya mengelak daripada terlalu memikirkan apa yang pernah terjadi.

Jika saya tidak teruskan kehidupan dan sentiasa mengimbau kembali kenangan dahulu, saya mungkin akan terasa hati. Oleh kerana itu, lebih baik saya sibuk bekerja.

Bagaimanakah hubungan anda dengan bekas tunang?

Saya masih menjalinkan hubungan baik dengan Awi. Kami masih berhubungan antara satu sama lain. Saya kenal Awi lebih lama berbanding tempoh kami berdua mengikat tali pertunangan.

Awi seorang yang sangat baik. Saya tidak sanggup membuang sisi baik Awi yang saya kenali sejak tujuh tahun lalu hanya kerana kegagalan hubungan kami.

Adakah terdapat sebarang kelainan dalam sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini?

(Menghentikan seketika wawancara) Sambutan Ramadan dan Syawal pada tahun ini sepatutnya mempunyai kelainan. Tetapi saya terima ketentuan Allah.

Jadi, seperti sambutan Ramadan dan perayaan tahun lalu, saya akan pulang ke Singapura. Saya juga mempunyai perancangan untuk menyambut perayaan dengan berkumpul bersama peminat dari Singapura dan Malaysia.

Apakah projek terbaharu daripada anda?

Saya akan tampil dengan sebuah drama bersiri di TV1 bertajuk Memoir Karmila. Saya juga sedang menjalani penggambaran sebuah program berkonsepkan travelog fesyen.

Pada tahun ini, sasaran saya untuk menumpukan perhatian terhadap bidang pengacaraan. Saya ingin mencuba cabang baharu dunia seni.

Apakah nasihat anda kepada wanita lain yang mungkin sedang melalui fasa perpisahan seperti anda?

Perkara paling utama ialah sentiasa berada di samping keluarga. Sokongan ibu bapa amat penting sepanjang proses untuk mencari kekuatan diri.

Seterusnya, jangan sesekali menolak bantuan daripada rakan terdekat. Biarpun sukar, kita perlu kuat. Sentiasa berdoa kepada Allah dan yakin dengan keputusannya.