Apa yang terbutir daripada bibir figura bernama Ella atau nama lengkapnya Nor Zila Aminuddin tidak terlalu banyak namun cukup untuk dinukilkan sebagai sebuah penceritaan. Berbekalkan pengalaman lebih tiga dasawarsa dalam bidang seni suara, kejujurannya dalam berkongsi pendapat memudahkan perkongsian kisah seperti dari hati ke hati.

Diajak berbicara tentang persiapan menjelang konsert Ella Unplugged in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 29 hingga 31 Mac 2019 di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pelantun lagu Sembilu itu segera mengangguk, beliau sudah bersedia dengan susunan acara berkenaan.

“Insya-Allah. Kebiasaannya, kalau kita sudah rancang sesebuah konsert bermakna kita sudah bersedia untuk menjayakannya.

“Tinggal lagi, perlu banyak bersedia dari segi stamina. Itu yang paling penting. Seperkara lagi, konsert kali ini merupakan konsert akustik atau unplugged, jadi banyak perkara yang perlu diambil berat.

“Dari segi muzik, saya amat mengutamakan pemilihan lagu yang tepat kerana ingin memuaskan hati penonton,” ujar Ella membuka bicara.

Mengulas kemungkinan ada kerisauan dalam kalangan peminat yang enggan dikecewakan berhubung pemilihan lagu tidak bertepatan dengan kehendak seperti konsert terdahulu, isteri kepada Azhar Husaini Ghazali menjawab penuh optimis.

“Itu yang selalu menjadi masalah kalau buat konsert. Saya akan cuba untuk memberikan yang terbaik.

“Kali ini konsert akustik, jadi mungkin saya boleh selitkan lagu yang mungkin jarang atau tidak pernah dipersembahkan dalam konsert sebelum ini seperti lagu Kabus dan Sirna. Mungkin ia akan diselitkan dalam salah satu segmen,” dedahnya.

Lagu irama asli

Membawa ke babak seterusnya dalam perbualan, Ella teruja untuk mendendangkan beberapa lagu asli dalam segmen khas menjelang konsert tersebut. Sudah lama beliau memasang impian untuk menyanyikan lagu asli dalam sebuah konsert.

“Keputusan untuk menyanyikan lagu irama asli membuatkan saya tidak boleh tidur malam. Sejujurnya, saya sendiri yang ingin mengadakan segmen itu.

“Buat masa sekarang, saya sedang memilih lagu irama asli mana yang akan dinyanyikan dalam ketiga-tiga malam persembahan kelak. Saya memang peminat lagu asli dan pada konsert nanti, salah sebuah lagu yang akan saya nyanyikan adalah dendangan asal Allahyarham Tan Sri S. M. Salim berjudul Tak Seindah Wajah,” terangnya panjang lebar.

Ditanya bagaimana idea tersebut tercetus, jawab Ella ringkas: “Seperti yang saya kata tadi, saya memang peminat lagu irama asli dan saya baru tahu yang zapin sebenarnya mempunyai 12 jenis.”

Melanjutkan bicara, wanita yang kini sudah mencecah usia 52 tahun itu bersikap terbuka andai ramai dalam kalangan peminat tidak bersetuju dengan intuisinya yang berkeinginan mengalunkan lagu berentak asli berbanding genre rock yang cukup sinonim dengannya.

“Saya juga selalu inginkan pembaharuan dalam setiap persembahan. Saya akan buat senarai lagu irama asli yang disukai dan ia akan dinyanyikan secara akustik mengikut cara tersendiri.

“Mungkin sekarang orang boleh persoalkan mengapa saya mahu menyanyikan lagu asli sedangkan terkenal dengan muzik rock. Apa yang boleh saya katakan, penonton akan dapat jawapan apabila menonton konsert itu nanti,” katanya yang turut mendedahkan akan menyanyikan lagu asli yang pernah dirakamkan, Jauh Di Mata pada malam konsert itu nanti.

Tidak risau sambutan

Tambah Ella, pada setiap malam persembahan selama satu jam 30 minit itu, Ella dijangka menyampaikan hampir 20 lagu popularnya.

Sementara itu, beliau membuang rasa bimbang jika konsertnya tidak mendapat sambutan memandangkan terdapat beberapa persembahan besar termasuk daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan mengadakan konsert pada bulan sama.

Ella sebaliknya menyifatkan perkara tersebut sebagai perkembangan baik apabila ramai penyanyi tempatan mula mengadakan konsert berskala besar pada tahun 2019.

“Lebih banyak lebih meriah! Ini bukti industri muzik tempatan telah kembali aktif dengan adanya artis-artis ternama lain mengadakan konsert.

“Tentang sambutan, saya tidak bimbang kerana genre kami berbeza. Jadi, peminat lebih banyak pilihan,” ujarnya.

Ditanya kebarangkalian konsert yang berlangsung nanti bakal menjadi konsert terakhirnya di pentas berskala besar disebabkan faktor usia dan komitmen sebagai isteri, Ella menafikan hal berkenaan.

“Saya tidak boleh janjikan itu (konsert terakhir). Banyak perkara yang masih ingin saya lakukan. Promosi album dan sebagainya. Bahkan klip video single kedua dalam album terbaharu saya akan dilancarkan tidak lama lagi. Insya-Allah,” getusnya.

Dalam perkembangan sama, Ella memberitahu pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Autism Malaysia yang mensyaratkan sebahagian hasil penjualan tiket akan didermakan kepada badan tersebut.

Tiket-tiket Ella Unplugged in Kuala Lumpur dijual pada harga RM179 hingga RM519 atau RM159 hingga RM489 (bidaan awal telah bermula pada 2 Januari lalu). Tempahan tiket boleh dibuat menerusi laman web www.proticket.com.my.

Ratu Rock negara, Ella bakal menjayakan konsert berjudul Ella Unplugged in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 29 hingga 31 Mac 2019 di Istana Budaya.