Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak, 36, memberitahu setelah sekian lama tidak melibatkan diri dalam naskhah drama berepisod, drama tersebut menjadi perhatian. Ramai memuji lakonannya serta gandingan bersama pelakon baharu, Intan Najuwa yang melakonkan watak sebagai Hanan Khaira.

“Sejujurnya, memang tidak menjangkakan langsung kejayaan besar daripada drama ini. Lama saya tidak berlakon drama berepisod kerana pada satu ketika hanya ingin berlakon naskhah yang saya mahu sahaja sehingga terlupa saya juga sepatutnya memenuhi kehendak peminat.

“Bagi saya, perlu ada perkongsian produk yang mempunyai isi kepada penonton. Audiens di Malaysia bukan tidak mahu layan cerita yang tidak bagus, mereka senang untuk memberi perhatian terhadap karya yang santai pendekatannya.

“Contohnya, sebelum ini tidak ramai orang suka menonton teater. Waktu drama Nur Kasih meletup dahulu, saya optimis untuk berlakon teater walaupun pada ketika itu kesedaran orang ramai terhadap kepentingan seni teater masih rendah. Hasilnya, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mereka dan sekarang saya sedar, saya perlu memberikan apa yang penonton mahu kerana itu adalah tanggungjawab saya,” kata Remy ketika ditemui pada majlis pelancaran pakej percutian Kowamas Holidays bersama kelab peminat ke Sepanyol di D’Tunjong, Kota Damansara, baru-baru ini.

Ditanya persoalan kerjasamanya dengan pelakon baharu, Intan yang dikritik segelintir penonton sebagai ‘kayu’, Remy tampil mempertahankan heroinnya itu dengan mengatakan bukan semua pelakon terus pandai berlakon pada permulaan kerjaya mereka.

“Saya mengambil pendekatan positif kerana saya juga pernah baharu suatu ketika dahulu. Saya faham dengan situasi mereka (yang baharu) kerana mereka memerlukan latihan dan proses yang banyak lagi untuk memantapkan lakonan. Saya pun dahulu bukan ada asas lakonan yang kukuh jadi belajar perlahan-lahan tiada masalah.

“Kita pun tidak boleh dengan mudah mengharapkan mereka terus hebat di set penggambaran. Seperti bayi yang baru keluar daripada perut ibu bagaimana boleh terus berlari. Mereka akan merangkak terlebih dulu, bertatih dan kemudian baru boleh berjalan dengan stabil,” ujar Remy melemparkan pandangan.

Intan sendiri dalam satu wawancara sebelum ini mengatakan dia berasa gugup berlakon dengan Remy. Bagaimanapun buat Remy sendiri, perkara itu satu kebiasaan kerana dia pernah menghadapi perasaan yang sama.

Ujar Remy: “Saya pun dahulu pernah ditolak produksi sewaktu uji bakat filem Cun yang akhirnya menggandingkan saya dengan Maya Karin. Maya Karin pula memang satu nama yang besar. Saya gugup ketika itu.

“Hari demi hari, saya belajar dan terus memperbaiki segala kelemahan diri. Saya tidak kata diri ini seorang pelakon yang hebat namun banyak belajar daripada kesilapan lampau. Kalau ditanya tentang ilmu lakonan di set, saya akan berkongsi namun ingin melihat hasil yang terbaik pada akhirnya.”

Poligami, pedofilia

Kekasih Paksa Rela yang ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 juga mengundang kritikan pedas daripada netizen. Ada yang mengatakan drama tersebut mempromosi poligami dari aspek yang mengelirukan. Tidak kurang, ada yang dengan mudahnya mengklasifikasikan watak Abang Am sebagai pedofilia (kecelaruan psikiatri dengan nafsu terhadap kanak-kanak).

Menjawab pertanyaan itu, Remy mempunyai pandangan tersendiri yang ingin dikongsikan.

“Saya sedar dengan isu tersebut (poligami dan pedofilia). Buat saya sendiri sebagai pelakon, apa yang ditonjolkan dalam drama tersebut hanyalah hiburan. Sebenarnya, ada banyak isu yang ingin diketengahkan dan bukan hanya semata-mata ingin mengangkat isu poligami.

“Secara sedar atau tidak, banyak kes penceraian yang berlaku di Malaysia namun bukan hanya disebabkan suami kahwin lebih daripada seorang wanita. Ingin juga ditonjolkan dalam drama ini, menjadi isteri kedua itu bukan bermakna dia adalah sumber utama yang merosakkan kebahagiaan orang,” tutur Remy.

Diajak melontarkan buah fikiran tentang kesediaan dirinya terus ‘mendidik’ pelakon baharu dalam projek akan datang, Remy mempunyai pegangan dan falsafah yang tersendiri.

“Usia saya semakin bertambah. Saya akui, kadang-kadang penat bekerja dengan orang baharu namun bagi saya, it takes two to tango (kedua-dua pihak perlu terlibat).

“Saya ingin terus bekerjasama dengan orang-orang yang berpengalaman dan memperbaiki segala kelemahan yang ada. Misi saya sekarang sentiasa ingin mencuba karakter yang berlainan iaitu sesuatu yang belum pernah saya mainkan sebelum ini,” kata Remy yang bakal muncul dengan beberapa projek baharu lain seperti Pulang dan filem, The Legend Of Pontianak.

Remy turut memberitahu, dia akan melancong bersama peminat ke Sepanyol yang dianjurkan oleh syarikat agensi pelancongan, Kowamas Holidays tidak lama lagi.

“Selama lebih sedekad berada dalam industri hiburan, saya begitu sibuk bekerja dan tidak pernah sempat meluangkan masa bersama peminat saya. Jadi apabila menerima tawaran daripada pihak Kowamas Holidays saya tidak teragak-agak kerana rasa sudah tiba masanya saya berikan peluang untuk para peminat untuk mengenali saya dengan lebih dekat.

“Insya-Allah kami akan bawa sekitar 30 orang ahli kelab peminat saya namun kalau ada yang ingin ikut selepas itu kita akan cuba sediakan lebih tempat,” katanya.

Kahwin

Mengulas sedikit tentang soal peribadi, Remy tenang menjawab persoalan status pertunangannya dengan wanita yang juga merupakan seorang ahli perniagaan bernama Roszaliza Yusof.

Mengikat tali pertunangan pada Mei tahun lalu, Remy berkata, dia belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan tunangnya kerana masih memerlukan masa untuk memikirkan tanggungjawab besar sebagai seorang suami.

“Saya sedang bekerja keras untuk mengumpul duit. Untuk menjadi seorang suami tanggungjawab amat besar bukan hanya untuk menyatukan silaturahim.

“Saya perlu memastikan masa depan kami terjamin. Saya seorang lelaki yang mahu masa depan berjalan dengan lancar. Jadi saya merancang semoga semuanya berjalan dengan baik. Saya juga mempunyai tanggungjawab kepada keluarga,” katanya.

Diasak tentang soalan berkenaan status pertunangan, ini jawapan Remy: “Biasalah proses pertunangan banyak naik dan turunnya. Insya-Allah, kalau sudah bersedia untuk berkahwin saya akan umumkan dan menjemput orang ramai. Saya tidak akan mengadakan majlis tertutup.”

Alasan Remy untuk masih belum memberi tarikh rasmi perkahwinan kerana tidak mahu bersikap terburu-buru. Katanya, dia pernah mempunyai sejarah yang kurang menyenangkan tentang perkahwinan ketika membesar.

“Saya dibesarkan dalam suasana keluarga yang berpecah-belah (ibu dan bapa saya bercerai). Saya tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada saya. Kalau boleh, saya mahu perkahwinan kekal sampai bila-bila. Insya-Allah,” ungkap Remy menutup perbualan.

Nama Remy Ishak kembali menjadi 
sebutan selepas drama Kekasih Paksa Rela mendapat tempat dalam kalangan penonton meskipun dikritik netizen yang menyifatkan drama itu sebagai mempromosi poligami dan jenayah pedofilia. Berkenaan hal peribadi, lelaki itu mengatakan dia memerlukan masa untuk bernikah dengan tunangnya, Roszaliza Yusof.