Perkara sedemikian juga yang menjadi pegangan lelaki berwajah garang, Datuk Awie.

Awie ata nama sebenarnya, Azhar Othman bagaimanapun juga cukup sedar, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah tersendiri.

Dia reda dengan setiap yang berlaku dan memandangnya dari sudut positif untuk terus cekal berjuang demi karier dan masa depan.

Bermula dengan kisah percintaan pada awal kemunculannya dalam filem Sembilu dan Maria Mariana, Awie sentiasa di label sering berganti-ganti pasangan seiring dengan heroin yang bergandingan dengannya dalam layar perak.

Bagi penyanyi lagu Senja Nan Merah tersebut, dirinya sudah sinonim dengan kisah sensasi dan fitnah sering dilemparkan terhadapnya.

Percaya Diri

Bercerita tentang kisah lampau pastinya mengundang pelbagai emosi, namun figura rock itu tenang.

Tiada keluhan mahupun sesalan yang terbit dari bibirnya, apatah lagi saat berkongsi suka duka sewaktu memulakan karier muzik bersama Wings, bergerak solo atau kembali semula bersama kumpulan yang dianggap kekuatan hidupnya itu.

Seperti yang diketahui umum, penyanyi berumur 50 tahun itu juga pernah terpalit isu pergaduhan sesama rakan dalam industri. Dalam nada sedikit muram, akui Awie dia pernah didatangi perasaan kesal kerana persahabatan yang bermula atas dasar percaya berakhir dengan kisah sebaliknya.

Mengakui bahawa dirinya mudah percaya kepada orang lain, Awie sendiri berasa takut memandangkan sifat sebegitu mudah membuka ruang kepada pihak lain untuk kesempatan atas kebaikan yang dihulurkan.

“Saya kena percaya pada diri. Saya tidak aniaya hidup orang lain, tidak ambil duit orang dan sentiasa jujur. Jika semua itu jadi amalan, pasti akan ada jalan bagi setiap masalah yang berlaku kepada sesiapa pun.

“Saya anggap setiap manusia ada sisi baik dan buruk, tetapi saya mahu pandang yang baik sahaja. Jika ada yang berniat tidak baik kepada saya, itu semua saya tidak mahu hiraukan sebab selagi Allah bagi peluang untuk saya bekerja, saya akan teruskan selagi boleh,” jelas Awie menyelak halaman kisahnya.

Masalah Kesihatan

Sejak awal tahun, vokalis yang dianggap salah seorang legenda rock tanah air itu sering diberitakan tentang tahap kesihatan tidak stabil dan kerap keluar masuk ke hospital berikutan sakit di bahagian kaki yang menyukarkannya bergerak dan membuat persembahan.

Melihat pada fizikal luaran, sesiapa pun sukar percaya bahawa ada ketikanya Awie berjuang melawan sakit kronik.

Pernah disyaki menghidap kanser tahap awal, keadaan kesihatannya yang menurun dan tiada hujung pangkal turut mencetuskan kerisauan buat peminat serta ahli keluarganya.

Persoalan sakit misteri yang dialaminya membuatkan penyanyi tersebut mendapatkan rawatan perubatan alternatif setelah mencuba beberapa kali di hospital swasta tempatan mahupun di luar negara.

“Selepas saya mengerjakan umrah pada tahun lepas, saya sakit dan doktor telah memberitahu saya mempunyai kanser tahap awal. Saya juga tidak boleh duduk mahupun berbaring, jadi doktor syak saya menghidapi masalah cakera tergelincir (slip disc).

“Ada juga saya mendapatkan rawatan alternatif di Indonesia, Sarawak dan Pulau Pinang untuk mengubati sakit. Selepas menjalani rawatan di Indonesia saya pulih tetapi sejurus pulang ke tanah air sakit saya kembali menyerang,” katanya lagi

Awie juga pernah mendapatkan rawatan memasukkan kamera kecil ke dalam perut melalui mulut atau kaedah endoscopy, dan doktor menghantar hasil pemeriksaan ke makmal sebuah hospital di Melbourne, Australia setelah menjumpai tanda awal kanser.

Bagaimanapun, hanya kesyukuran kepada Tuhan yang mampu Awie panjatkan apabila keputusan yang diperoleh tidak menunjukkan kanser, sebaliknya kakinya terdapat banyak kesan retak berkemungkinan disebabkan aktiviti terdahulu. Kini, kesihatannya kian pulih selepas mendapatkan rawatan susulan di hospital dan perubatan alternatif.

Konsert solo

Menjadikan pelbagai kesulitan sebagai ujian yang bara semangat yang tidak mudah padam, bapa kepada lima cahaya mata itu mampu tersenyum, apabila perancangannya untuk menjayakan sebuah konsert solo pada Febuari tahun hadapan semakin menampakkan jalan.

Didedikasikan khas bagi meraikan ulang tahun ke-25 perjalanan seninya sebagai artis solo, penyanyi yang terkenal dengan watak Husin dalam filem Hantu Kak Limah itu merangka sebuah konsert istimewa berskala mega bertemakan cinta berjudul Konsert Awie Romantika.

Biarpun bermula vokalis utama Wings dan masih bersama kumpulan tersebut sehingga kini, kekuatan Awie sebagai artis solo tidak perlu dinafikan.

Konsert yang mendapat tajaan bersama Atirox Ltd. dan IK Global Berhad tersebut akan berlangsung selama satu jam empat puluh lima minit di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor

“Konsert ini diadakan atas dasar meraikan ulang tahun jubli perak saya dalam dunia nyanyian solo. Untuk konsert ini saya cuba tampilkan persembahan konsert muzikal yang mengangkat tema romantika,” kataya usai sidang akhbar Konsert Awie Romantika di ibu negara baru-baru ini.

Selain kemunculan solo, konsert berkenaan turut mengundang nama-nama besar seperti Erra Fazira, Ella sebagai penyanyi jemputan.

“Istimewanya konsert bertema romantika yang dibawakan secara muzikal itu membawa penonton mengimbau kembali zaman muda. Zaman ketika mereka baru mengenal erti cinta, ketika mereka baru merasa sakitnya patah hati, kisah cinta sebelum dan selepas ikatan perkahwinan,” jelas Awie yang sememangnya hidup dalam sensasi cinta, wanita, keluarga dan karier dari dahulu hingga sekarang.

Tidak berniat untuk membuka pekung di dada atau menyebarkan aib, legenda rock Awie berkongsi kesakitan yang terpaksa ditanggung selama ini semakin terbalas dengan rezeki, apatah lagi terbuka pintu rezeki untuk merealisasikan konsert solo pada tahun hadapan.