Ironi, walaupun kemunculannya sebagai pelakon tambahan, pemilik nama sebenar Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 19, sering menantikan kelibat dirinya dalam televisyen.

Kata jejaka berkulit kuning langsat itu, biarpun wataknya hanya muncul sesaat di televisyen ia masih cukup bermakna kerana setiap langkah yang kecil akan membawa kepada perubahan yang besar.

Ternyata, berkat kesabaran hampir dua tahun menjayakan watak tambahan, jenama Atiq Azman sebagai hero drama tempatan meledak setelah terbabit dalam drama rantaian Islamik, Nur dan Nur 2.

Cemerlang menjayakan watak Amirul di sisi nama besar seperti Syafiq Kyle, Amyra Rosli dan Azhan Rani, Atiq pantas mendaki populariti memperkukuhkan portfolionya sebagai pendatang baharu industri.

Akuinya, impak drama Nur arahan Shahrulezad Mohameddin amat bermakna sepanjang bergelar anak seni kerana mengangkat namanya sebagai pelakon.

“Watak Amirul amat bermakna sepanjang kerjaya saya. Apatah lagi nama itu kini melekat sebagai nama panggilan dalam kalangan peminat ke mana sahaja saya pergi.

“Saya perlu berterima kasih kepada abang Ijat (Shahrulezad) kerana mewujudkan watak ini,” tuturnya memulakan bicara.

Hampir sebulan Nur 2 melabuhkan tirai, Atiq berkata demam drama berkenaan belum kebah, terutama dalam kalangan pengikut tegar Nur.

Bukan sahaja peminat selesa memanggil dirinya sebagai Amirul, malah Atiq sering ditebak soalan sambungan kepada drama berkenaan.

“Ke mana sahaja saya pergi, mereka akan bertanya mengenai sambungan Nur atau Nur 3. Saya bukan pengarah tetapi saya sendiri merasakan produksi berdepan cabaran sekiranya Nur 3 diterbitkan,” katanya.

Pendirian

Kembali berkongsi mengenai rencana kerjayanya, anak kelahiran Bachok, Kelantan itu berkata, dia bersedia untuk bereksperimentasi dengan pelbagai watak.

Tidak mahu klise menjayakan watak-watak protagonis, Atiq juga mendambakan naskhah yang mencabar keupayaan lakonannya.

Menurut Atiq, lumrah bergelar pelakon, keinginan menjayakan pelbagai watak sentiasa menebal demi kelangsungan karier dalam industri seni.

“Saya tidak kisah untuk membawakan apa sahaja watak asalkan secara peribadi, mampu menjayakan tanggungjawab tersebut. Saya pernah menerima tawaran untuk berlakon sebagai pemuda cacat.

“Tawaran itu datang ketika saya masih baharu. Jadi saya terpaksa tolak kerana tidak bersedia. Kini setelah dua tahun, saya bersedia untuk membawa watak yang sukar,” luahnya yang bakal menjalani penggambaran bersama pelakon Eyka Farhana untuk naskhah berjudul Cinta Bukan Fairytale.

Mengajak jejaka itu bercakap tentang cabaran pelakon yang sering terdedah dengan anasir negatif, Atiq cukup sedar dan nekad selalu mengingatkan dirinya sebagai bekas pelajar tahfiz. Dek latar belakang agama yang dimiliki, Atiq seboleh-bolehnya mahu menjaga nama baik keluarga dan institusi pengajian yang pernah diduduki, antaranya Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman, Terengganu.

Enggan terjerumus dalam stigma umum yang mengaitkan dunia hiburan tempatan dengan kontroversi tidak senonoh, Atiq tekad meletakkan syarat untuk tidak menjayakan babak bersentuhan dengan wanita bukan muhrim.

“Sewaktu awal pembabitan dahulu, saya pernah menjayakan adegan memegang wanita bukan muhrim. Teguran ibu bagaimanapun membuatkan saya berasa amat bersalah.

“Sejak daripada itu, saya akan memberitahu syarat berkenaan kepada produksi. Alhamdulillah, produksi amat bertoleransi dan memahami pendirian itu,” dedahnya.

Tambah pelakon telemovie Restu Ayah itu, dia tidak merasakan syarat berkenaan bakal menyekat rezekinya kerana yakin dengan ketentuan Tuhan.

“Dalam hidup saya percaya untuk dengan dua perkara. Pertama, restu daripada ibu dan kedua setiap rezeki adalah ketentuan Allah,” tuturnya.

Ramadan dan Syawal

Sempat berkongsi mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, Atiq memberitahu, dia lebih gemar menumpukan perhatian terhadap ibadah dan berada di sisi keluarga.

Namun begitu, dia masih hadir di majlis jemputan berbuka puasa dan melaksanakan beberapa sesi fotografi untuk terbitan bersempena Ramadan dan Syawal.

Seperti kebiasaan setiap kali Ramadan, Atiq akan turun padang membantu ibunya berniaga di tapak Bazar Ramadan Mahkota Cheras, Cheras

“Ramadan pada kali ini saya tidak terlalu aktif dengan kerja kecuali memenuhi jemputan untuk berbuka puasa. Saya lebih suka bersama keluarga terutama membantu ibu berniaga di bazar,” jelasnya.

Tutur Atiq lagi, bulan Ramadan juga merupakan waktu terbaik baginya untuk menelaah dan melancarkan bacaan al-Quran supaya ilmu di dada tidak terbiar begitu sahaja.

“Saya tidak pernah meninggalkan bacaan al-Quran setiap hari. Biarpun jadual kerja padat, saya berusaha mencari waktu untuk membaca al-Quran. Rasa tidak lengkap jika saya tidak membaca al-Quran,” kongsinya.

Bakal pulang beraya ke Kelantan, tahun ini Atiq berharap dapat membantu menyediakan kelengkapan raya untuk seisi keluarga.

Biarpun belum membuat sebarang persediaan, Atiq sempat berseloroh bahawa dirinya masih menuntut duit raya daripada ahli keluarga yang lebih dewasa.

“Rasanya saya masih pada peringkat usia menerima duit raya,” selorohnya mengakhiri bicara.

Meledak menerusi watak Amirul dalam drama bersiri islamik Nur dan Nur 2, pelakon Atiq Azman enggan selesa dengan populariti dan tekad memperbaiki mutu lakonannya.