Di laman sosial, baik Facebook, Twitter mahupun Instagram, netizen kian bercakap tentang ‘hantu ibu’ yang menyeramkan.

Masakan tidak, merupakan filem bikin semula (remake) daripada naskhah dengan judul sama sekitar tahun 1980-an, siapa mampu melupakan wajah mengerikan ibu yang sudah mati namun setan atau iblis yang ‘tinggal’ dalam jasadnya menghantui keluarga yang masih hidup.

Lebih tiga dekad sejak filem asal arahan Sisworo Gautama Putra yang mencipta fenomena hebat tersebut direhatkan, Pengbadi Setan dijelmakan semula oleh  sutradara hebat masa kini, Joko Anwar. Masih membuatkan penonton merinding, versi kali ini lebih segar dengan kejutan dan seram yang bersifat organik lagi mendebarkan.

Bertemu Joko dan dua pelakon dalam filem tersebut, Tara Basro yang melakonkan watak Tini dan Dimas Aditya (Hendra) baru-baru ini, banyak misteri yang diungkapkan serta dikongsikan mereka kepada penonton di Malaysia.

Joko mendedahkan, filem asal Pengabdi Setan adalah filem seram kegemarannya sewaktu masih kecil.

“Pengabdi Setan adalah filem seram kegemaran saya. Apabila selesai menonton di pawagam, saya akan berdoa semoga hari esok tidak akan muncul. Namun yang kelakarnya, apabila hari esok muncul, saya akan menonton filem itu lagi.

“Sebenarnya untuk membikin semula filem ini, saya terpaksa ‘mengejar’ penerbit asal filem tersebut selama 10 tahun. Dalam perbincangan tentang tujuan mahu membuat filem ini, saya jawab, ia filem seram kegemaran saya ketika kecil,” ujar Joko yang mengambil masa selama empat bulan untuk mencari lokasi utama iaitu rumah usang yang terletak di Pangalengan, Bandung.

Mengulas tentang watak Bapak yang dipegang pelakon berkarisma tempatan Bront Palarae, Joko mengatakan dia amat senang bekerjasama dengan aktor Malaysia itu.

“Bront adalah kesayangan semua orang dalam penggambaran filem ini. Sebenarnya saya mohon kepadanya untuk mencari aktor Malaysia yang melakonkan watak Bapak namun tidak bertemu calon sesuai.

“Apabila itu berlaku, saya cakap kepadanya, dia sahajalah yang berlakon sebagai Bapak dalam filem ini. Mula-mula Bront sangsi juga, namun selepas dipujuk, dia bersetuju,” kata Joko yang cukup popular menerusi filem Janji Joni.

Hantu

Bercerita tentang pengalaman di lokasi, Tara mendedahkan, terdapat beberapa individu dalam filem tersebut ‘diganggu’ sewaktu menjalani proses penggambaran.

“Kalau anda benar-benar mengamati babak seram dalam filem ini, ada bahagian yang menunjukkan beberapa babak unsur seram atau hantunya bersifat semula jadi.

“Ada juga kru produksi ‘tersalah mengira’ pelakon tambahan yang terlibat. Misalnya, cuma beberapa orang tetapi apabila dikira semula, ia terlebih seorang,” jelas Tara.   

Buat pelakon yang melakonkan watak Ibu, Ayu Lakshmi melalui portal hiburan Kapan.Lagi mengatakan, dirinya bukanlah pengabdi setan namun seorang pengabdi seni.

“Saya seorang pengabdi seni dan memberi penghormatan terhadap sesama alam semesta milik Tuhan yang dimuliakan semua umat.

“Saya juga percaya dunia ini dihuni oleh perkara-perkara yang boleh dan tidak mampu dilihat dengan mata,” katanya.

Mendadak popular, Ayu sebenarnya bukan bintang filem. Wanita berusia 49 tahun itu hakikatnya seorang penyanyi. Namun, menerusi lakonannya sebagai Ibu, setan yang hidup dalam tubuh Mawarni dan mayat hidup, Ayu yang hanya muncul dalam beberapa babak menerusi naskhah berkenaan merupakan penyumbang terbesar untuk Pengabdi Setan meninggalkan kesan tersendiri.

Pelaku seni kelahiran Bali itu mengaku, tiga karakter yang dibawa nampak mudah. Tiada dialog, tetapi cabaran yang dihadapi adalah bagaimana menimbulkan keseraman dengan hanya memek muka.

Dalam satu temu bual bersama Jawa Pos, Ayu memberitahu: “Saya belajar berlakon secara otodidak (belajar sendiri). Saya tidak mempunyai dialog, tetapi perlu mempamerkan kesan seram hanya dengan memek muka.

“Lantas, saya menjadi kanvas putih yang dilukis arahannya oleh sutradara. Memainkan tiga peranan adalah cabaran buat saya, namun ia menyenangkan apabila banyak orang mengiktirafnya.”

Sementara itu, sebagai satu-satunya ‘pendatang’ dalam naskhah ini, Bront, menyifatkan penglibatannya dalam sebuah filem seram yang bukan kegemarannya telah meledakkan ‘bom jangka’ tersendiri.

Watak Bapak lakonannya digilai peminat Indonesia. Santai menikmati ‘kerasukan’ tersebut, Bront dalam satu temu bual bersama Kosmo! beberapa bulan lalu menyifatkan Pengabdi Setan sebagai mempunyai unsur seram yang sangat organik dan santai.

“Itu satu benda yang saya tidak pernah rasa dalam skrip filem tempatan,” katanya yang mengaku menerima tawaran bermain dalam filem pecah panggung ini kerana Joko.