Sarah menyifatkan pembabitan dalam drama Hero 2 turut menuntutnya menjaga nama baik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Atas alasan tersebut, Sarah berasa sangat teruja apabila ditawarkan menjayakan watak Arissa, seorang pegawai bomba menerusi drama bersiri Hero 2 yang bakal ditayangkan hujung tahun ini. Secara tidak langsung, karakter tersebut mendedahkan sisi lain dirinya.

Enggan hanya dikenali sebagai pelakon stereotaip seperti karakter Nadine yang mengada-ngada menerusi drama Pujaan Hati Kanda yang menaikkan namanya awal tahun ini, Sarah mahu mempelbagaikan kemampuan bakatnya sebagai seorang anak seni.

Tambah pemilik nama Nur Sarah Marie Hildebrand itu lagi, pembabitannya dalam drama Hero 2 juga membangkitkan lagi rasa hormat kepada petugas awam seperti bomba yang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa orang ramai.

KOSMO!: Adakah Hero 2 menjadi drama pertama Sarah membawakan watak lasak?

SARAH: Ya, ini kali pertama dan saya berasa sangat gementar pada awalnya kerana takut tidak mampu menjayakan watak itu dengan baik. Namun, apabila saya sudah mula menjalani latihan dan melawat balai bomba, perasaan itu bertukar menjadi seronok dan tidak sabar untuk memulakan penggambaran.

Bagaimana keadaan anda sepanjang menjalani penggambaran?

Alhamdulillah, semua proses berjalan lancar dan saya juga berjaya mengikuti setiap latihan dengan baik tanpa sebarang kecederaan. Apa yang menarik, saya hilang berat badan sebanyak lima kilogram (kg) sepanjang tiga bulan penggambaran. Situasi itu menjadi bukti bukan senang untuk bergelar seorang anggota bomba.

Apakah cabaran terbesar anda dalam membawakan watak berkenaan?

Cabaran terbesar adalah untuk membawa nama badan beruniform negara, seorang pegawai bomba perempuan yang lasak tapi masih menyimpan santun sebagai wanita Melayu. Apabila bertugas, saya perlu belajar mengawal situasi seperti dalam operasi memadam kebakaran, tangkap ular dan masuk hutan mencari orang yang hilang.

Adakah lebih senang membawakan watak heroin klise berbanding karakter seperti Arissa?

Jika ditanya kepada saya, memang lebih mudah membawakan watak-watak klise kerana karakter seperti Arissa menuntut komitmen lebih besar. Saya juga perlu lebih peka dengan tugasan seorang pegawai bomba, disiplin dan peraturan serta nama baik jabatan bomba.

Sejujurnya, adakah anda seorang yang sukakan aktiviti lasak dalam kehidupan belakang tabir?

Ya, ramai yang menyangka saya hanya suka melakukan hal-hal wanita sahaja seperti bersolek dan membeli-belah, sedangkan saya aktif melakukan aktiviti luar seperti berkayak, memanjat tembok atau wall climbing dan berkhemah. Cuma sekarang saya agak sibuk dengan penggambaran jadi susah untuk meluangkan masa membuat aktiviti berkenaan.