Program bertajuk Anak Rembau Ke Australia itu akan disiarkan secara atas talian sebanyak lima episod menyaksikan Fazley atau nama sebenarnya, Ahmad Fadzli Yaakob, 39, bersiaran selama empat minit.

Katanya, negeri yang terlibat bagi menjayakan penggambaran rancangan yang dibawakan oleh institusi pengajian kulinari, Le Cordon Bleu (LCB), Perancis itu di Australia ialah Adelaide, Sydney dan Melbourne.

“LCB merasakan terdapat kekurangan cef yang memfokus masakan Asia Tenggara berbanding menu negara Cina, Thailand, Vietnam, Jepun dan Korea yang sudah lama popular di luar.

“Justeru, mereka menyakini bahawa saya boleh mula mempopularkan hidangan Melayu dengan resipi tempatan terlebih dulu kepada pelajar LCB serta masyarakat luar,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Program tersebut dibawakan secara eksklusif oleh LCB Paris dan Australia manakala minyak masak Mazola sebagai penaja selain Astra Holidays merangkap penaja bersama,

Peminat turut berpeluang mengikuti proses rakaman rancangan Anak Rembau Ke Australia menerusi episod satu yang dimuat naik ke YouTube sejak 15 Disember lalu. 

Bapa kepada empat cahaya mata itu mula serius menceburi bidang masakan sejak menjuarai program Masterchef Selebriti pada 2012 selain memiliki sebuah restoran SukaSucre Bistro, Cheras, Kuala Lumpur. - K! ONLINE