Salah satu yang sedang mengumpul penganut dengan banyak adalah platform digital Over-The-Top atau OTT yang dapat diakses secara percuma tanpa pautan kabel televisyen atau langganan khusus.

Secara tidak langsung, kehadiran platform OTT yang sedang mengambil alih platform hiburan konvensional dalam medium lebih strategik dari segi praktiknya juga telah menyediakan satu ruang baharu untuk karyawan tempatan berkarya dengan cara berbeza. Apatah lagi, saluran seperti iflix dan Viu kini semakin galak memancing undi khalayak dengan siri original tempatan.

Sebagai fokus, iflix yang buat pertama kali mengumpan penonton OTT dengan siri original sulung tempatan, KL Gangster Underworld ternyata telah menjadi rujukan terbaik. Kisah gengster remake daripada dua naskhah filem popular KL Gangster 1 dan KL Gangster 2 tersebut telah mencipta tanda aras besar buat karya anak seni tempatan untuk bersaing dengan ratusan lagi santapan hiburan dalam platform berkenaan.

Kedudukan tersebut menunjukkan kerja anak tempatan ada nilai di mata khalayak, sama dengan kejayaan jualan hiburan konvensional yang diraih oleh Munafik 2 dan Hantu Kak Limah yang ketika ini dengan garang menundukkan filem-filem lain di pawagam tanah air.

Berbalik kepada KL Gangster Underwold, karya yang dikerjakan kebanyakan pelakon bukan pemegang ‘trofi’ bintang paling popular itu juga memberi dimensi baharu dalam penghasilan karya drama Melayu untuk lebih bebas dan garang dengan penonjolan visual dan dialog.

Dari segi cerita, tidak banyak yang berubah, masih mengikut rentak dan bentuk filem gengster Melayu sedia ada cuma pengolahan dan garapannya lebih agresif, lebih sedap, seronok dan puas ditonton kerana faktor kelonggaran memandangkan ia disiarkan dalam platform digital.

Apatah lagi ia sebuah kisah gengster yang latar hidupnya tentang kerja haram serta didokong tokoh-tokoh atau watak manusia kelas bawahan seperti pelacur dan samseng, penceritaannya juga lebih meliar dan berani dengan perkara-perkara yang selama ini ditahan-tahan sekiranya untuk siaran televisyen, dari segi dialog ketaranya.

Bagaimanapun, persembahan lakonan meyakinkan bukan hanya untuk satu atau dua orang pemegang watak utama dan penceritaan kukuh masih menjadi asas sesebuah karya yang baik. KL Gangster Underworld hampir sempurna dalam perincian tersebut. Jika tidak, masakan ia telah ditonton oleh 9,000 penonton dalam jangka masa seminggu pertama siaran. Untuk sesebuah siri mini dengan enam episod, jumlah tontonan itu menjadikan karya berkenaan sebagai antara 10 judul terhangat di iflix ketika ini.

Keberanian pasukan penerbitan bersama tukang cerita Faisal Ishak di kerusi sutradara memilih dan menggunakan bahasa kasar, carutan serta makian dan pemilihan pelakon yang tepat malah layak dikatakan semuanya sangat cemerlang dalam penghayatan masing-masing antara menjadi kekuatan naskhah berkenaan.

Aspek yang paling menarik bagaimanapun masih terhadap keterbukaan dan keberanian dalam segi pengucapan dialog atau bahasa. Menarik untuk dikupas, dialog tepat disertai gerak tubuh, nada, emosi dan penekanan yang betul akan menikam jiwa penonton untuk terus larut dalam penceritaan. Tidak aspek tersebut, harus pesan dan nilai yang dibawakan pemain.

Bukanlah menghalalkan kata-kata kesat, carutan, makian atau sumpah seranah dengan ayat-ayat seperti babilah dan sial sebagai indikator kebebasan berkarya, tetapi penggunaan jalur sebegitu dalam KL Gangster Underworld masih menampakkan kerelevanan berdasarkan status sosial tokoh-tokohnya.

Sastera

Luar biasa juga apabila skrip kisah gengster turut memasukkan patah-patah puisi seperti judul Membunuh Mimpi (Sebuah Pesan Untuk Mayawati) karya Sasterawan Negara Usman Awang.

 

...Mimpi itu adalah keajaiban anugerah

Tapi dialah nanti menyebabkan kau gundah

Terasing di cermin kenyataan

Kehidupan yang ganas dan kejam

....Bunuhlah mimpi itu, anakku

Kau membunuh segala palsu

Lagu dan rindu

Yang selalu menipumu

(Usman Awang)

Cukup hanya dua rangkap, puisi biarpun agak jauh daripada dunia samseng ia memberi nilai tambah kepada dialog yang menjadi medium merupakan pengkisahan tokoh utama dalam cerita iaitu Shah lakonan Beto Kusyairy, pada bahagian prolog dan epilog, sekali gus merumuskan kehidupan dan konflik yang dihadapi serta bagaimana ia mahu diselesaikan.

Ia masih tidak canggung hasil momentum keperibadian yang diterjemah oleh karakter tersebut. Pemakaian karya sastera tersebut menunjukkan naskhah yang turut dipersoalkan sesetengah netizen kerana diberi lesen mencarut dalam karya tontonan umum biarpun dalam platform digital tersebut masih mahal nilai kritis dan daya kreatif si pembikin.

Menonton KL Gangster Underworld sebelum sebuah karya yang kini ke panggung, One Two Jaga turut menghadirkan sebuah perspektif tentang keberanian dan keterbukaan dalam sistem industri kreatif masa kini.

Bezanya, naskhah yang disiarkan dalam internet itu bebas melontarkan sumpah seranah namun dalam karya panggung yang dibikin Nam Ron masih ada sedikit sekatan apabila Lembaga Penapisan Filem memutuskan agar beberapa perkataan melampau menghina polis di‘beep’kan (dipadam bunyi) mungkin untuk keharmonian bersama.

Syarat tersebut bagaimanapun masih tidak mencacatkan idea pembikin malah memberi interpretasi berbeza kepada khalayak, ia masih sedap dan puas ditonton.

Kemaraan yang sedang ditunjukkan menerusi dua karya berbeza platform tersebut secara tidak langsung memberi isyarat bahawa gerakan yang selama ini diperjuangkan oleh karyawan, khususnya generasi alaf baharu sedang berada di landasan cantik.

Tinggal lagi bagaimana ia harus dicantikkan agar kebebasan sedikit yang diberikan boleh dimaksimumkan untuk kebaikan menyeluruh seluruh pemain industri. Semua pihak harus memainkan peranan, kena terus berani mencuba dengan cara terbaik dan tidak berada ditakuk lama. Itu sahaja.