Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaannya. Apatah lagi untuk menyusun kata berbicara mengenai pengalaman yang dilaluinya di sana.

Demi memendekkan cerita, Fouziah ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini berkata, apa yang dilaluinya sepanjang 12 hari berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah lebih daripada sekadar skeptikal kisah yang sering diceritakan banyak orang.

Terlalu banyak peristiwa yang dilihat di depan mata, membuatkannya semakin menunduk dan muhasabah diri betapa kerdilnya diri sendiri di atas bumi Tuhan.

“Sukar saya mahu ceritakan secara ringkas. Sebab perjalanan di sana terlalu berwarna-warni. Ada bermacam kejadian, dugaan dan rasa yang timbul setiap kali melihat perkara yang berlaku di sekeliling.

“Cukup kalau saya katakan, diberi rezeki mengerjakan ibadah haji ini pun sudah menjadi perkara paling manis bagi saya. Kenikmatannya hanya Allah yang tahu betapa sukarnya perasaan saya untuk diterjemah. Ia ibarat satu pencapaian bermakna selepas kita berpenat lelah mengerjakan ibadah,” ujarnya bernada ceria bersulam teruja.

Antara pengalaman yang sempat dikongsikannya adalah pengalaman tidur di atas tanah di Muzdalifah bersama lautan manusia dari seluruh dunia. Kongsi Fouziah, pada waktu itu barulah dia berasa benarnya perumpamaan orang tentang situasi itu yang digambarkan seperti Padang Mahsyar.

“Di sana sudah seperti lautan manusia. Macam-macam ragam manusia saya jumpa dan lihat. Ada yang terjerit-jerit mencari kaum keluarga dan itulah gambarannya bagaimana di Padang Mahsyar nanti,” katanya.

Tanpa siapa tahu, sehari sebelum Fouziah dan suami, Zhafran Yusof, 35, berangkat ke tanah suci, dia sebenarnya tersepit antara tanggungjawab kepada keluarga dan ibadah kepada Allah.

Anak keduanya, Zaheen Yusuf yang baru berusia sembilan bulan masih belum sedarkan diri selepas selesai menjalani pembedahan akibat usus tersangkut.

Hatinya berbelah bahagi. Selepas bermuhasabah diri, dia menyerahkan segala tanggungjawab itu di tangan Tuhan. Pada waktu itu jugalah, dia sedar bahawa kedudukannya sebagai manusia yang perlu mendahulukan Yang Maha Pencipta berbanding perkara lain.

“Waktu itu saya reda. Doa saya kepada Allah, ini adalah panggilan-Mu. Jadi saya perlu yakin untuk menyerahkan anak ini di bawah jagaan-Nya. Saya tahu ini adalah ujian, tetapi yakin di sebaliknya ada sesuatu yang Tuhan mahu tunjukkan. Sebelum berangkat, saya minta maaf pada anak. Saya perlu dahulukan Tuhan berbanding dia.

“Buktinya, sepanjang di sana, saya menjadi seorang yang sangat reda dan tenang. Walaupun tetap berasa cabaran, tetapi saya tidak rasa susah langsung. Hati sangat tenang kerana Allah bagi saya kekuatan yang besar selepas membuat satu pengorbanan,” ujarnya penuh makna.

Penampilan

Sejak pulang dari menunaikan haji, penampilan Fouziah yang manis bertudung mendapat pelbagai komen positif daripada peminat yang rata-ratanya suka melihat pelakon itu dalam penampilan sopan.

Apabila ditebak dengan perkara tersebut, pelakon drama Trilogi Cinta itu memberikan jawapan selamat agar tidak mahu menjeratkan diri sendiri pada kemudian hari.

Dia sebolehnya enggan berbicara lebih dalam tentang hijab. Kerana baginya, penghijrahan seseorang manusia ke arah yang lebih baik bukan bersandar kepada penampilan semata-mata, melainkan tiada yang lebih utama iaitu sifat dalaman.

“Perubahan bukan terletak pada hijab sahaja, tetapi hati, cara, nawaitu dan sikap itulah yang perlu dititikberatkan juga.

“Biarlah saya lalui segala perkara ini dengan cara sendiri. Saya cuba buat dan jadi yang terbaik untuk berubah ke arah yang lebih baik. Saya masih belajar dan akan terus belajar untuk mengisi segala kelompongan dalam diri dengan ilmu. Inilah perubahan yang saya mahu lakukan, Insya-Allah,” katanya sambil mengharap doa daripada semua.

Selain bercerita tentang pengalaman hajinya, perbualan pada hari itu berlanjutan kepada perkembangan terkini kariernya sementelah sudah lama tidak melihat Fouziah tidak muncul di kaca televisyen.

Terangnya, bukan menghilang sebaliknya dia tetap ada muncul dalam mana-mana acara walaupun sebenarnya sebahagian besar komitmennya kini teralih ke bidang perniagaan sarang burung walet.

“Tawaran berlakon tetap ada, cuma masa itu tidak ada untuk dibahagikan. Sebab perniagaan ini memerlukan saya menghabiskan banyak masa di pejabat untuk kertas kerja.

“Kalau ada masa terluang pula, saya pilih untuk habiskan bersama anak-anak pula. Jadi keutamaan saya kini memang terarah kepada bisnes,” katanya yang tetap menyelitkan masa untuk menerima beberapa tawaran seperti siri Tanah Kubur dan rancangan Nona.