Melihat perkataan ‘gegar’ sahaja itu sudah cukup menjadi jenama besar buat Astro. Barangkali mahu meminjam kuasa perkataan tersebut, baru-baru ini saluran televisyen berbayar berkenaan memperkenalkan sebuah lagi program realiti terbaharu dengan nama Gegar Lawak (GL).

Merupakan program pencarian bakat lawak terbaharu, GL akan menemui penonton bermula 19 Januari ini pada setiap hari Jumaat, pukul 10 malam menerusi saluran Astro Warna (132).

Bagaimanapun, jangan terkeliru. GL bukanlah rancangan penjenamaan semula daripada program Raja Lawak yang popular sejak sedekad lalu.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd. Salleh, menjelaskan, penggunaan jenama GL adalah sinonim dengan maksudnya yang diharap dapat menggegarkan industri komedi Malaysia.

Gegar Vaganza berjaya menjadi satu jenama besar buat Astro. Jadi tidak salah jika dalam industri lawak untuk menggunakan perkataan ‘gegar’ yang diharap dapat menggegarkan industri lawak Malaysia pula.

“Bagaimanapun, GL bukanlah penjenamaan semula daripada rancangan Raja Lawak. Ia mempunyai keistimewaan tersendiri terutama dari segi pengisian,” ujar Norzeha.

Mengulas lanjut, antara kelainan ditampilkan dalam rancangan yang mengumpulkan seramai 14 orang peserta tersebut adalah pembahagian kategori peserta yang terdiri daripada solo, duo dan trio.

“Dari segi penjurian pula, kedudukan peserta akan dinilai sebanyak 70 peratus daripada juri tetap dan 30 peratus daripada undian penonton.

“Bukan itu sahaja, kelainan yang cuba ditampilkan dalam GL adalah dengan adanya rakan komedi iaitu pelawak Tauke, Dzawin, Ali Piteh dan Nizam Jentik-Jentik yang akan membimbing dan membantu membangunkan idea setiap peserta,” terangnya panjang lebar.

Bakal bersiaran selama sembilan minggu, GL juga menampilkan gandingan hebat pelakon Kamal Adli dan pelawak Fad Bocey yang akan bertindak sebagai pengacara program.

Selain itu, pelawak Douglas Lim pula dipilih menjadi juri tetap pertandingan berkenaan. Seorang lagi juri tetap akan diumumkan semasa minggu pertama berlangsung.

Tumpang populariti

Dalam pada itu, antara 14 peserta yang bakal berentap merebut gelaran juara dan bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 dan sebuah trofi ialah Hezry, Ayim, Rizal, kumpulan duo Testo serta trio Abata. Tidak ketinggalan, GL turut menyaksikan penglibatan daripada dua peserta wanita iaitu Tasya dan Eyya.

Menarik perhatian, Tasya merupakan adik kepada pelawak terkenal Achey dari kumpulan Bocey. Tidak mahu dikatakan menumpang populariti abangnya, pemilik nama sebenar Nornatasha Hamzah, 25, tahun itu optimis mahu berdiri atas bakat sendiri.

“Biarpun mempunyai abang yang sudah berpengalaman sebagai pelawak, saya tetap dilatih untuk berdikari ketika penghasilan idea untuk membuat persembahan. Awal-awal lagi abang sudah berpesan, mahu saya menggali idea sendiri selain tidak terlalu mencuba untuk membuat orang ketawa.

“Biarpun diakui melawak bukanlah kepakaran utama saya, namun peluang menyertai GL akan menuntut saya berfikir di luar kotak dan tidak mahu dilabel sebagai menumpang populariti abang,” katanya.