Usah disentuh soal sinematografi yang sememangnya menjadi kepakaran Kabir, dari segi lakonan, naratif dan skor muzik, segera boleh disifatkan telah melakar kejayaan sebagai antara filem paling sempurna terjemahannya di layar perak tahun ini.

Diilhamkan daripada kisah benar merentasi tiga generasi keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Izham Omar, usai menghabiskan sekitar dua jam menonton, banyak perkara yang boleh diambil sebagai pengajaran dan teladan daripada naskhah ini.

Apa yang positif tentang filem ini, ia berjaya membuka minda dan keringat penonton tentang kepayahan dan penderitaan masyarakat sebelum mengecapi kemerdekaan dengan baik. Dari era kolonial British, Jepun, pra serta pascakemerdekaan sekarang.

Kabir bijak menggunakan magis sinematografinya dari pembukaan hingga penamat filem. Diisi dengan banyak pemandangan indah tepi pantai, suasana perkampungan nelayan dan latar masyarakat yang realistik, pastinya penonton akan mudah jatuh cinta andai elemen tersebut diambil kira.

Dari sudut jalan cerita, terlalu banyak pertukaran latar masa dan tempat membuatkan kadangkala penceritaan sedikit longgar namun itu tidak mengganggu pukulan cerita secara holistik. Barangkali kerana kisah ini adalah berkenaan cerita tiga generasi hal sedemikian sukar untuk dielakkan.

Satu babak yang paling membuatkan jantung berdegup kencang adalah ketika askar Jepun mengetahui Lum (Alvin Wong) orang Cina dan Othman (Remy Ishak) ‘membantu’ dirinya melarikan daripada kem penjajah. Diburu askar Jepun, Othman dan Lum terpaksa bersembunyi dengan mayat-mayat yang telah dibunuh kejam.

Serasi

Keserasian antara watak Othman dan Lum begitu menyerlah mengingatkan kita walaupun berbeza pegangan agama, kaum sekalipun, kita sudah tinggal di tanah yang sama sekian lama. Tiada alasan untuk kita bermusuh-musuhan.

Dua watak utama, Othman dan Che Thom (Puteri Aishah) juga menghadirkan keserasian yang cukup baik. Usah disangkal kehebatan lakonan Remy kerana dia sangat tepat menterjemahkan watak lelaki Melayu dari segi fizikal mahupun emosi. Puteri sebagai Che Thom mungkin kurang sedikit impaknya namun satu percubaan yang baik daripada pelakon itu.

Sekadar pandangan, gandingan Remy dan Alvin lebih memberi kesan buat penulis. Alvin begitu menonjol dalam filem ini dengan lontaran dialog yang lebih bersifat natural dan tidak kurang, komedi yang bersahaja.

Selain itu, terlalu banyak pertukaran ‘baton’ pelakon. Buat penulis, mengapa tidak watak Che Thom kekal dimainkan sahaja oleh Puteri Aishah dari muda hingga tua. Kata orang, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sudah 2018, kalau teknik solekan menjadi halangan, ia tidak realistik.

CGI

Filem ini memaparkan beberapa buah lokasi terkenal yang berbeza seperti di Melaka, Hong Kong, Okinawa, Kepulauan Jeju dan Liverpool. Apa yang menjadi polemik penulis, kesan penjanaan komputer (CGI) kurang memberi kesan.

Mungkin masalah bajet tetapi kalau ingin membikin filem epik, apabila latar belakang visual melibatkan CGI dikaburkan bagi mengelakkan kecacatan, ia sebenarnya lebih memburukkan keadaan.

Bagaimanapun, untuk tahap sebuah filem Malaysia yang bajetnya tidaklah sebesar karya Hollywood, penulis suka untuk mengingatkan bahawa Pulang juga memberi dimensi baharu terhadap layar perak tempatan, terutama sinematografi yang mengagumkan.

Hanya kesan CGI sedikit mengecewakan dan penulis harus cakna tentang hal itu.

Secara ringkasnya, Pulang adalah sebuah kisah duka seorang lelaki dari Serkam (sebuah perkampungan nelayan di Melaka), yang berlayar ke serata dunia dengan harapan untuk mengubah nasib keluarganya yang hidup dalam kesempitan.

Isteri dan anak yang ditinggalkan pula tidak pernah berputus asa menunggu kepulangan suami dan ayah tercinta.