Bukan sekadar berpeluang menyaksikan penyatuan kembali bekas anggota awal Dewa 19 seperti dua vokalis iaitu Ari Lasso dan Once Mekel serta dua pemain dram, Tyo Nugros dan Agung Yudha yang pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan itu beraksi di atas satu pentas yang sama, sebaliknya ada perkara yang lebih daripada semua itu berlegar dalam kepala penulis.

Perkara yang sebenar-benarnya menjentik emosi dan mencengkam hati penonton adalah momen menyaksikan kemunculan anak kepada pengasas Dewa 19, Ahmad Dhani iaitu Dul Jealani bagi menggantikan posisi bapanya selaku pemain keyboard.

Umum sedia maklum bahawa Ahmad Dhani terlepas peluang untuk beraksi dalam persembahan yang digelar sebagai buah tangan terakhir Dewa 19 di Malaysia. Dia dijatuhi hukuman penjara di Indonesia selama 18 bulan ekoran mencetuskan provokasi dan kebencian di laman sosialnya pada tahun 2017 hanya beberapa bulan sebelum konsert berlangsung.

Justeru, segala perancangan awal untuk menjadikan Reunion Dewa 19 Live In Malaysia 2019 selaku pentas bagi meraikan penonton dengan kemunculan terakhir mereka berdepan takdir yang tidak mampu dihalang.

Dedikasi

Seawal pukul 8.30 malam, pentas mula bergema dengan kemunculan kumpulan Andra & The Backbone selaku penyanyi undangan membuka persembahan dengan untaian lagu hit seperti Musnah, JBJ, Lagi dan Lagi, Dejavu, Main Hati, Hitamku dan sudah tentunya Sempurna yang menjadi siulan buat peminat di negara ini. Usai persembahan Andra & The Backbone, masa yang ditunggu-tunggu peminat akhirnya tiba bagi menyaksikan bintang sebenar pada malam itu beraksi di atas panggung Stadium Malawati dengan Ari Lasso membuka persembahan menerusi lagu Restoe Bumi, Manusia Biasa, Aku Di Sini, Satu Hati dan Cukup Siti.

Teruja dapat kembali ke bumi Malaysia, Ari Lasso yang berperanan selaku vokalis Dewa sejak 1991 hingga 1999 sempat menitipkan ucapan terharunya dengan sambutan yang diterima pada malam berkenaan.

“Terima kasih kerana menerima kami kembali beraksi di tanah ini. Saya kira ini adalah satu penghormatan dan kenangan terindah bersama tentera Baladewa di Malaysia. Tidak ada cinta yang lain selain Dewa 19,” ujarnya yang kemudian menyampaikan lagu Takkan Ada Cinta dan Persembahan Dari Surga.

Sedang penonton asyik terbuai dengan alunan suara Ari Lasso, suasana di dalam stadium yang dibanjiri lebih 7,000 penonton pada malam itu beralih emosi suram apabila sebuah video daripada Ahmad Dhani yang mengirimkan ucapan khas kepada peminatnya di negara ini ditayangkan.

“Mohon doa daripada semua Baladewa di Malaysia supaya saya terus kuat. Terima kasih,” tuturnya ringkas.

Sejurus video pendek itu ditayangkan, Ari menyambung persembahan dengan dua buah lagu iaitu Hadapi Dengan Senyum dan Cinta Kan Membawamu Kembali yang akhirnya menjadi saksi air mata Dul Jealani gugur di hadapan penonton kerana gagal menahan sebak mengenang nasib si bapa yang kini menjalani kehidupan di sebalik tirai besi.

Pemandangan yang sukar dilihat akibat kes yang jarang berlaku, emosi yang sepatutnya lebih ke arah meraikan penyatuan semula bekas anggota Dewa 19 bertukar menjadi sesuatu yang tidak dijangka.

Atas tiket penyatuan semula band itu, nama Dul yang pastinya sedikit sebanyak meniti di bibir peminat tanah air sekali gus memberi bayangan bahawa remaja itu kelak akan menjadi seperti ayahnya yang handal bermain muzik.

Kenangan

Buang seketika emosi lara yang menyebalkan. Slot kedua persembahan beralih tangan kepada Once Mekel yang mengambil posisi vokalis Dewa 19 sejurus pengunduran Ari pada tahun 1999. Once bergelar vokalis Dewa 19 sejak tahun 2000 sehingga 2011.

Kehadiran vokalis yang terkenal dengan tona suara memukau itu berjaya mengalih perhatian penonton, terutamanya Dul yang terdahulu berendam emosi untuk bangkit melawan perasaan sedih.

Lantunan suara pemilik nama sebenar Elfonda Mekel, 48, itu membawa peminat menelusuri zaman kegemilangannya bersama Dewa 19 menerusi untaian hit seperti Pangeran Cinta, Sayap Patah, Dua Sedjoli dan Kosong.

Sama seperti Ari, keterujaan jelas diluahkan Once kerana berpeluang menghadiahkan konsert besar khusus buat peminat di Malaysia.

“Malam ini dirasakan sangat istimewa kerana dapat bersama Dewa 19 yang lain. Hanya di Malaysia kami bisa seperti ini.

“Namun, saya cukup bersedih hati kerana tidak dapat beraksi bersama posisi yang paling saya hormati iaitu Ahmad Dhani. Karyanya sangat luar biasa. Terima kasih atas bantuannya, Jealani,” ujar Once yang kemudiannya berduet dengan Dul menerusi lagu Angin.

Adrenalin yang semakin memuncak usai lebih dua jam konsert berlangsung diteruskan dengan persembahan lagu hit Dewa 19 bersama Once yang begitu mesra di telinga peminat iaitu Dewi, Hidup Adalah Perjuangan, Cemburu, Risalah Hati, Perempuan, Pupus dan Arjuna.

Sebelum melabuhkan tirai persembahan dengan empat buah lagu bonus iaitu Roman Picisan, Kangen, Kamulah Satu-satunya dan Separuh Nafas, Once dan Ari sempat menitipkan harapan agar Dewa 19 dapat bersatu seperti sediakala dan kembali bersama Ahmad Dhani pada masa akan datang.

Musibah

Sehari sebelum konsert berlangsung, band yang berasal dari Surabaya itu mengadakan satu sesi temu bual bersama media tempatan dalam membicarakan soal penahanan Ahmad Dhani dan kelangsungan konsert.

Ari mengakui bahawa penahanan Ahmad Dhani adalah musibah yang sukar dielak dan tidak dijangka, namun mereka harus kuat supaya tidak mengecewakan peminat di negara ini.

“Pasti ada rasa kecewa susulan ketiadaan Ahmad Dhani. Dia adalah unsur terpenting dalam Dewa 19 tetapi tanpa dirinya sekali pun, konsert perlu diteruskan.

“Jika tiada aral dan permit untuk melawat sudah diluluskan, saya akan menjenguknya di Jakarta pada 5 Februari ini usai pulang dari Malaysia,” ujarnya yang berencana melawat Ahmad Dhani bersama vokalis Gigi, Armand Maulana.

Sementara itu, Dul ketika ditanya tentang pemilihannya selaku pengganti si bapa, pemuzik muda itu memikul tugas tersebut sebagai amanah yang perlu dilunaskan meskipun pada awalnya terkejut dengan tanggungjawab yang diberi.

“Awalnya terkejut tetapi positif kerana ini persembahan bersama Dewa 19. Jadi saya perlu pikul amanah ayah untuk meneruskan perjuangannya.

“Semoga ayah bisa kuat. Semoga mendapatkan pengajaran baik dan nanti ketika keluar akan jadi lebih baik. Semoga sabar,” ujar Dul.

Seikhlasnya, tiada sekelumit kelompongan dalam persembahan Dewa 19 yang bertaraf band legenda itu, namun apa yang mereka tinggalkan di Stadium Malawati pada 2 Februari 2019 akan menjadi memori yang sukar dilupakan.

Tanpa Ahmad Dhani, sudah tentulah acara konsert terasa tidak lengkap, namun kehadiran Dul Jealani berjaya menutup kekurangan tersebut dengan pesonanya serta magis daripada setiap ahli Dewa 19 baik daripada posisi vokalis, gitaris dan pemain dram. Semuanya cukup untuk menyalurkan segenap kemanisan sempurna dalam hati setiap Baladewa dan Baladewi di Malaysia.

Semoga bertamu kembali Dewa 19 dan pastinya besar harapan peminat suatu hari kelak untuk melihat gabungan bersama Ahmad Dhani bermain di atas pentas yang sama.

Persembahan Dewa 19 yang hadir ke negara ini menerusi Konsert Reunion Dewa 19 Live In Malaysia berjalan sempurna pada malam Sabtu lalu biarpun tanpa kehadiran sang pengasas kumpulan itu, Ahmad Dhani yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Indonesia.