Wanita berusia 30 tahun itu turut membawa pulang tiga trofi lain iaitu Lagu Country Terbaik, Persembahan Solo Country Terbaik dan Album Country Terbaik.

Sementara itu, bagi kategori Lagu Terbaik dan Rakaman Lagu Terbaik, lagu berunsur politik, This Is America nyanyian penyanyi rap, Childish Gambino muncul sebagai pemenang, sekali gus menundukkan calon pilihan ramai iaitu Shallow dendangan penyanyi pop, Lady Gaga dan Bradley Cooper.

Gaga bagaimanapun berpuas hati apabila tetap membolot tiga trofi iaitu Persembahan Solo Pop Terbaik melalui lagu Joanne, Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik dan Lagu Ditulis untuk Media Visual bagi karya ‘berhantunya’, Shallow.

Shallow menang bergaya

“Saya berharap Cooper berada di sini sekarang. Saya tahu dia mahu berada di sini. Cooper, saya bertuah menyanyikan lagu ini bersama anda,” kata Gaga saat menerima trofi Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik pada acara Grammy Awards

Cooper tidak dapat bersama Gaga kerana mewakilinya pada hari yang sama pada keraian berlainan iaitu British Academy Film Awards (BAFTA) Ke-72 di United Kingdom. Pada acara tersebut, Shallow menang sebagai Muzik Original Terbaik menerusi filem A Star Is Born. 
Dalam ucapannya, Gaga atau nama sebenarnya, Stefani Joanne Angelina Germanotta turut berkongsi rasa bangga terlibat dalam naskhah yang bercerita tentang masalah ketagihan alkohol dan penyakit mental.

“Saya berbangga kerana menjadi sebahagian dalam filem yang memaparkan tentang isu penyakit mental. Ramai dalam kalangan selebriti berdepan dengan penyakit mental. Disebabkan itu, kita perlu melindungi antara satu sama lain.

“Kalau anda berdepan dengan mana-mana orang yang sedang menderita dalam kesakitan, jangan biarkan mereka bersendirian,” ujar pemenang sembilan kali Grammy Awards penuh makna.

Biarpun tewas dalam dua kategori utama lain, Gaga menjadi perhatian ramai dalam acara gilang-gemilang tersebut terutama apabila menghadirkan persembahan perdana Shallow untuk siaran televisyen. Tanpa Bradley Cooper, Gaga membuatkan penonton terpegun dengan versi solo Shallow yang diberi nafas rock bersulam petikan gitar teman baiknya, Mark Ronson.

Perlu diingatkan, Gaga bertarung di pentas Grammy tahun ini hanya menerusi lagu Shallow memandangkan album A Star Is Born tidak layak bertanding kerana tarikh album berkenaan dilancarkan ‘tersasar’ dari jangka waktu pencalonan edisi ke-61 ini. Bermakna, album tersebut masih berpeluang untuk dicalonkan pada edisi tahun hadapan.

Kontroversi

Dalam kelancaran dan kerancakan majlis, Grammy tahun ini masih tidak terlepas daripada polemik dan kontroversi. Antara yang menjadi perhatian, timbul desas-desus kononnya keputusan Grammy kali ini bocor beberapa minggu sebelum acara berlangsung. Bagaimanapun, perkara tersebut dinafikan pihak Grammy.

Taylor Swift pula dikatakan ‘merajuk’ kerana hanya menerima satu pencalonan walaupun album Reputation mendapat sambutan menggalakkan pendengar seluruh dunia. Lebih menghampakan, peminat Swift pulang kehampaan apabila penyanyi pujaan mereka tidak juga menang pada malam tersebut.

Barangkali sebagai tanda protes, Swift terlebih dulu memilih untuk menghadiri BAFTA Awards bersama kekasihnya, Joe Alwyn.

Dalam kategori menyaksikan Swift menerima pencalonan iaitu Album Vokal Pop Terbaik, Ariana Grande meleburkan harapannya apabila penyanyi bertubuh genit itu dinobatkan sebagai pemenang menerusi album Sweetener.

Grande pula tidak berpuas hati dengan penerbit Grammy, Ken Ehrlich apabila menarik diri saat akhir daripada mengadakan persembahan hanya kerana tidak diberikan slot atau menyampaikan lagu yang diingininya pada acara yang berlangsung di Staples Center, Los Angeles, Amerika Syarikat itu.

Tidak menghadirkan diri ke acara berkenaan, Grande mencetuskan api kontroversi apabila berkongsi untaian foto menggayakan gaun yang sepatutnya dipakai ke acara tersebut di laman sosial miliknya. Tindakan Grande mendapat reaksi bercampur-campur dalam kalangan peminat. Ada yang bersimpati dan malah tidak kurang melabelnya sebagai tidak matang.

Bagaimanapun, Grande meluahkan rasa syukur kerana berjaya menggondol trofi Grammy buat kali pertama dengan menulis di Twitter: “Saya tahu yang saya tiada di sana (percayalah saya mencuba yang terbaik agar majlis berjalan seperti dirancang).

“Saya juga tahu saya mencuba untuk tidak beri perhatian namun kemenangan ini saya cukup indah. Terima kasih.”

Penafian

Turut menjadi tumpuan apabila Cardi B dinobatkan sebagai pemenang Album Rap Terbaik sedangkan ramai menjangka kemenangan tersebut sepatutnya menjadi milik mendiang Mac Miller.

Hal ini kerana, pihak Grammy menerbangkan ibu bapa Miller ke acara tersebut namun kemenangan berpihak kepada Carbi B menerusi album Invation of Privacy.

Hal tersebut menjadi kritikan dalam kalangan peminat di media sosial. Ramai menyifatkan pihak Grammy sengaja mempermainkan perasaan ahli keluarga Miller yang hadir pada malam berkenaan.

Bagaimanapun, Carbi B seperti berjaya menenangkan situasi tegang dengan melimpahkan ucapan bersahaja namun penuh bermakna.

“Saya ingin berkongsi trofi ini dengan Mac Miller. Saya ada terbaca artikel kalau dia tidak menang, ibu bapanya mahu saya menang.

“Ketika saya merakamkan album ini, saya telah hamil namun saya nekad perlu menyiapkan karya ini sebelum perut saya ‘nampak’,” katanya.

Dalam pada itu, Drake menang Lagu Rap Terbaik menerusi lagu God’s Plan. Dalam ucapannya, artis kelahiran Kanada itu berkata: “Bagi saya, kalau orang menyanyi lagu anda, itu kemenangan buat anda dan anda tidak memerlukan anugerah ini.”

Dikendalikan oleh pemenang 15 kali trofi Grammy, Alicia Keys yang bertindak sebagai pengacara, acara Grammy Awards Ke-61 diserikan dengan persembahan daripada ramai artis ternama termasuk Diana Ross, Dolly Parton, Miley Cyrus, Post Malone dan Katy Perry.

Lady Gaga menambah koleksi kilauan Grammy apabila meraih tiga kemenangan pada Grammy Awards Ke-61. Di sebalik kemeriahan dan kehangatan yang disaksikan pencinta muzik seluruh dunia, wujud kontroversi yang sedikit mencalar integriti acara berprestij tersebut.