Ahad lalu, Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, 25, yang mendendangkan lagu Ku Tak Akan Bersuara nyanyian asal Nike Ardila terpaksa dikejarkan ke Hospital Shah Alam apabila secara tiba-tiba rebah usai membuat persembahan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Disangka sekadar gimik, namun penyanyi itu dilihat terbaring tidak bergerak hingga suasana menjadi kecoh, terutamanya apabila petugas penerbitan bergegas mengangkatnya ke belakang pentas. Bagaimanapun, Baby Shima kini dilaporkan kembali stabil dan berjanji akan meneruskan perjuangan dalam program berkenaan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal, pasukan produksi dimaklumkan bahawa Baby Shima kepenatan kerana terpaksa berulang-alik dari Indonesia ke Malaysia atas jemputan persembahan.

“Baby Shima berada dalam keadaan stabil dan kami sedar dia kepenatan sehingga waktu latihan penuh, dia masih berada di Indonesia,” kata Emarina.

Ditanya kemungkinan untuk menyingkirkan peserta tersebut andai keadaan terus berulang, Emarina berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak pengurusan Baby Shima berkenaan hal tersebut.

“Komitmen dia untuk pertandingan ini memang tinggi, bagaimanapun kami akan tunggu laporan doktor yang merawatnya. Kalau dinasihatkan berehat daripada bertanding, kami akan mengambil langkah yang sewajarnya,” jelasnya.

 

Tidak adil

Ketepikan kisah Baby Shima, juri tetap profesional, Faizal Tahir ada isu berlainan. Faizal sebenarnya sedikit kecewa berhubung graf persembahan peserta yang disifatkan ada kaitan dengan ketidakadilan pasukan penerbitan.

Merujuk situasi Fara Hazel, Faizal bersimpati dengan persembahan kakak penyanyi Aiman Tino itu yang agak tunggang-langgang dari segi susunan muzik dan sokongan moral daripada pihak penerbitan.

“Kita tahu dia antara peserta yang paling lemah. Namun, itu bukan alasan untuk tidak memberi fokus atau bersifat sambil lewa dengan persembahannya. Dalam pertandingan perlukan kerjasama daripada semua orang dan kita bekerja sebagai sebuah keluarga.

“Saya bukan ingin menuding jadi kepada sesiapa, namun untuk terus mengembangkan graf persembahan setiap peserta, budaya ini harus ditukar. Misalnya, sebelum Fara memulakan persembahan, seperti tiada galakan daripada pengurus pentas untuk memeriahkan suasana berbanding para peserta lain,” getus Faizal.

Pelantun lagu Mahakarya Cinta itu mengharapkan graf persembahan semua peserta akan terus meningkat untuk minggu akan datang. Katanya, para peserta perlu lebih berkeyakinan ketika persembahan.

“Setiap juri ada piawaian masing-masing. Dari segi vokal, saya serahkan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk memberi komen lanjut kerana beliau lebih arif tentang hal itu.

“Saya boleh ulas tentang persembahan. Misalnya, Sissy Iman mempunyai potensi besar kerana dia mahir bermain piano dan itu sesuatu yang segar dalam industri.

“Untuk minggu mendatang, setiap peserta perlu menunjukkan keyakinan ketika beraksi. Seperti yang saya katakan, perlukan kerjasama daripada semua pihak terutamanya pasukan penerbitan, barulah dapat melahirkan bintang yang hebat,” kongsi Faizal.

Untuk minggu kedua, para peserta seperti Ariff Bahran, Wani Kayrie dan Fara Hezel tersenarai pada tangga tiga terbawah, namun rezeki ternyata tidak berpihak kepada Fara Hezel apabila menjadi peserta pertama yang disingkir keluar daripada program tersebut.