Hal ini kerana, ia merupakan percubaan berani sebuah naskhah yang mengangkat perihal korupsi dunia kepolisan dan ketidakadilan tangga sosial.

One Two Jaga direalisasikan dengan begitu cemerlang bersama barisan pemain handalan seperti Zahiril Adzim, Amerul Affendi dan Bront Palarae sendiri yang turut bertindak sebagai penerbit. Turut merancakkan adrenalin penonton ialah beberapa nama hebat negara jiran, Ario Bayu dan Asmara Abigail dari Indonesia serta aktor kelahiran Filipina, Timothy Castillio.

Filem berkenaan barangkali tidak diperhebatkan dengan nilai komersial seperti dalam naskhah-naskhah tempatan yang telah atau sedang hangat di pawagam seperti Hantu Kak Limah mahupun Munafik 2.

Bagaimanapun, dari segi pengisian, ia sebenarnya mempunyai saham tinggi yang mampu membuatkan nama Malaysia terbang jauh pada peta perfileman.

Lihat sahaja kejayaan perdananya. Belum lagi ditayangkan secara rasmi di pawagam, filem terbitan produksi Pixel Play dengan kerjasama Jazzy Pictures dan Creative Pitching Center tersebut sudah terpilih sebagai salah sebuah daripada tujuh filem Asia yang bersaing bagi kategori Filem Cereka Terbaik pada Festival Filem Asia New York 2018 ke-17 Julai lalu.

Suka atau tidak, realitinya orang kita lebih akur dimomok-momokkan dengan naskhah yang menjual elemen hiburan mengekek-ngekek ataupun filem hantu yang mengecutkan perut.

Sedangkan, filem yang memaparkan realiti sebenar dalam kehidupan seharian seperti One Two Jaga dipandang enteng tanpa fokus yang serius.

Mengangkat karya yang membongkar rasuah dunia kepolisan? Itu tindakan berani yang juga buah tangan kedua Nam Ron di bangku pengarah arus perdana, diikat cermat bersama komitmen menyeluruh kru produksi serta pelakonnya.

Bukan ingin menuding jari terhadap institusi penguatkuasa undang-undang tersebut dalam karya, namun pengkisahan realiti harus didedahkan dengan penuh tanggungjawab, itu pegangan Nam Ron.

BERKESAN - Zahiril melakonkan watak anggota bernama Hussein yang

BERKESAN - Zahiril melakonkan watak anggota bernama Hussein yang cuba menjalankan tugas dengan telus namun berdepan dengan kekangan tertentu termasuk korupsi yang berlaku dalam kalangan orang atasan.

Imej polis

Pelakon yang secara khususnya tuan punya One Two Jaga, Bront menjelaskan pendedahan sisi gelap dunia kepolisan dalam gejala rasuah bukan bertujuan menjatuhkan imej badan beruniform tersebut.

Katanya, ia berkisar tentang apa yang dilalui dalam masyarakat dan boleh memberi kesedaran sosial.

“Kali pertama memang kertas cadangan filem ini ditolak tetapi apabila visi dan tujuannya dijelaskan, barulah ia diluluskan, itu pun selepas beberapa kali dirombak.

“Saya akui agak mencabar kerana penggambaran tertangguh disebabkan perlu menunggu skrip yang diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kisah rasuah yang berlaku dalam badan uniform itu bukan perkara baharu, bahkan diperangi mereka sehabis-habisan,” jelas pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin itu.

One Two Jaga disifatkan sebagai dark atau gelap. Ditanya tentang keyakinan untuk mengajak penonton ke panggung bagi meraikan filem yang kurang komersial berkenaan, Bront optimistik selepas melihat momentum yang dilantunkan dua filem tempatan, Hantu Kak Limah dan Munafik 2.

“Sekarang selera orang kita untuk menonton filem tempatan sedang membuak-buak. Terima kasih buat Hantu Kak Limah dan Munafik 2.

“Namun, saya tidak nafikan ramai yang menganggap filem yang sudah ke festival sebagai filem membosankan atau terlalu berat. Stigma sebegitu akan ada, namun saya harus bersifat optimistik untuk filem ini ‘pergi’ dari segi kutipan,” katanya lagi.

LUAR BIASA - Pelakon berbakat besar, Amerul Affendi menjayakan karakter antihero bernama Adi

LUAR BIASA - Pelakon berbakat besar, Amerul Affendi menjayakan karakter antihero bernama Adi dengan penghayatan emosi yang luar biasa.

Realiti

Sementara itu, pemegang watak Adi, pelakon berbakat besar, Amerul Affendi boleh diklasifikasikan sebagai antara terjemahan paling ‘menjadi’ dalam One Two Jaga.

Ujar Amerul ketika diwawancara Kosmo!, gejala korupsi atau rasuah adalah perkara yang harus diketengahkan dalam arus perdana untuk memberi pengetahuan atau kesedaran umum.

Banyak pihak dalam sesebuah organisasi sengaja membutakan mata dan mentulikan telinga hanya kerana ‘tersangkut’ dengan tuntutan kelangsungan hidup, sementelah tersepit untuk mengejar kemewahan demi orang yang disayangi.

“Ada sesetengah orang punya tanggungan besar untuk terus hidup. Polis pun sama macam kita. Mereka juga kadangkala tertekan untuk mencari wang demi keluarga. Apa yang kita tahu, menyumpah andai seseorang itu ditangkap rasuah.

“Dalam dunia ini, bukan semua polis baik, namun kita juga tidak boleh menafikan bukan semua polis bersih daripada rasuah. Bukan hanya profesion kepolisan, di mana-mana organisasi juga pasti akan ada ketidakadilan yang membenihkan gegala rasuah.

“Saya pun kasihan melihat warga asing datang ke negara kita untuk mencari rezeki demi keluarga, namun tersangkut dalam putaran kehidupan yang mencengkam dengan pelbagai perkara,” kata Amerul yang pernah menggondol trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-27 menerusi naskhah Pekak.

Mengulas tentang beberapa dialog ‘kasar’ yang diperdengarkan dalam One Two Jaga, Amerul atau nama lengkapnya, Mohd Amerul Affendi Mohd. Mawardi berharap pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) akan terus memberi ruang dan kelonggaran untuk anak tempatan berkarya, namun atas kesedaran tanggungjawab bersama.

“Walaupun kena ‘beep’ beberapa dialog, saya berasa sudah tiba waktunya kita diberikan sedikit kelonggaran untuk melontarkan dialog yang disifatkan kasar.

“Saya rasa penonton kita sudah berfikiran terbuka untuk menghadamkan dialog-dialog kasar. Perkara ini memerlukan kerjasama orang ramai kerana saya juga berpendapat audiens (orang dewasa) semua sudah besar panjang,” getus Amerul.

Buat pelakon dari seberang yang melakonkan karakter warga asing bernama Sumiati iaitu Asmara Abigil, dia sedar kewujudan senario menyedihkan rakyat Indonesia yang mencari rezeki di negara lain untuk mencari sesuap nasi.

Imigrasi

Asmara pernah bertemu dengan warga Indonesia dalam pesawat penerbangan yang berhasrat untuk bermastautin di negara jiran seperti Malaysia dan Singapura demi mencari peluang pekerjaan lebih lumayan.

“Isu imigrasi sangat sensitif, namun saya akui rakyat Indonesia ramai masuk ke Malaysia untuk bekerja. Ada yang dilayan okey, ada yang sebaliknya.

“Namun, isu ini kerap kali berlaku di seluruh dunia. Korupsi sudah menular seperti kanser atau wabak berbahaya dalam kalangan penduduk dunia.

“Apabila menaiki pesawat untuk melawat sesuatu negara saya sering terserempak dengan rakyat Indonesia yang ingin ‘lari’ dari kepompong kemiskinan dengan berhijrah ke negara lain,” dedah Asmara yang sebelum ini berlakon dalam filem Pengabdi Setan dan Sultan Agong.

Bekerja dengan produksi Malaysia buat kali pertama, Asmara amat bertuah kerana pengalaman yang diperoleh disifatkan sangat bermanfaat.

“Saya kenal Bront melalui filem Pengabdi Setan. Terlibat dalam filem ini memberikan saya pandangan baharu tentang perfileman. Semua yang berlakon dalam filem ini memberi kerjasama yang baik. Diharapkan selepas ini akan datang lebih banyak tawaran berlakon bersama produksi Malaysia,” kata Asmara tersenyum.

One Two Jaga mula ditayangkan di 57 buah pawagam seluruh negara bermula 6 September lalu.

Bukan ingin menidakkan adrenalin deras penonton terhadap dua filem tempatan yang sedang berlumba memecah rekod (anda tahu filem apa), cukuplah One Two Jaga diuar-uarkan keberkesanan penyampaiannya dalam kalangan kita seandainya pungutan tiket tidak setanding dua karya fenomena tersebut.