Malah kostum ‘orang gila’ yang cukup sinonim dalam setiap persembahan pentas tersebut mendapat ‘restu’ anggota band yang terdiri daripada Aidil Azali, 30 (dram), Johan Ariff, 30 (gitar), Shah Salleh, 34 (bass), Al-Hafiz Dolmat atau Fei, 29 (gitar).

Bercerita lanjut mengenai kostum berkenaan, Iqbal atau nama sebenarnya Muhammad Iqbal Othman, 30, mendedahkan ia terjadi secara tidak sengaja. Selain berpakaian seperti orang gila, Iqbal juga sering memakai kostum adiwira Spiderman.

“Sebelum ini saya suka menyanyi tanpa memakai baju dan agak lincah di atas pentas. Namun, ada penonton melabelkan aksi sebegitu seperti orang gila. Bermula daripada situ, timbul idea untuk memakai pakaian orang gila di atas pentas bagi menyuntik elemen berbeza.

“Sekarang, kostum ini sudah menjadi tarikan dan identiti band kami. Setiap kali persembahan, orang akan tertanya-tanya apakah kostum yang akan saya pakai,” kata Iqbal memulakan bicara.

Biarpun terlihat berbeza, Iqbal menjelaskan kostum tersebut bukanlah strategi untuk melariskan band tetapi lebih sebagai nilai atau hiburan tambahan di atas pentas.

“Sudah menjadi prinsip saya dan anggota band Iqbal M. persembahan pentas adalah tempat untuk kami menghiburkan orang. Mereka semua sudah memegang alat muzik, saya sahaja yang menyanyi dengan tangan kosong. Jadi apa salahnya untuk saya menghayati karakter kostum yang dipakai sebagai persembahan tambahan buat penonton,” tutur Iqbal.

Menyentuh tentang sejarah band, Iqbal M. merupakan nama pentas buat Iqbal yang pernah muncul sebagai penyanyi pada tahun 2010. Secara solo Iqbal sempat menghasilkan album mini berjudul Tembak Tepat. Status karier solonya bertukar menjadi band bermula pada tahun 2013 dan pernah muncul dengan album mini berjudul Dua Darjat.

Enggan bermula daripada ‘kosong’, mereka sebulat suara menggunakan nama Iqbal M. sebagai identiti band. Keputusan tersebut dibuat kerana jenama Iqbal M. sudah cukup kukuh di pentas indie dan mempunyai pengikut tersendiri.

“Bukanlah saya gila kuasa hendak pakai nama sendiri sebagai nama band. Namun, keputusan itu hasil persetujuan bersama dengan anggota yang lain. Jika menggunakan nama baharu, kami harus bermula dari bawah sedangkan nama Iqbal M. sudah dikenali ramai.

“Tidak mahu membuang masa untuk proses perkenalan yang memakan masa bertahun-tahun, lebih baik diteruskan sahaja dengan nama Iqbal M.

“Alhamdulillah, perjalanan karier Iqbal M. sejak tiga tahun kebelakangan cukup positif. Tawaran persembahan juga semakin banyak dan jadual kami sudah penuh sehingga Disember depan. Melihat orang ramai mula mengambil peduli tentang Iqbal M. sudah cukup menggembirakan kami,” ujar Iqbal.

 

‘Guru besar’ M. Nasir

Keaslian identiti Iqbal M. menjadi daya tarikan utama peminat muzik sehingga mereka ditawarkan untuk bernaung bawah payung Luncai Emas Sdn. Bhd milik komposer dan penyanyi terkenal Datuk M. Nasir.

Umum tahun, bukan sembarang penyanyi atau anak seni mampu menarik perhatian lelaki yang digelar ‘sifu’ dalam bidang muzik di Malaysia itu.

Meskipun bersama Luncai Emas mereka berlima diberi kebebasan berkarya dan menentukan sendiri hala tuju album sulung bersama M. Nasir. Itu satu peluang keemasan yang jarang-jarang diperoleh band baharu seperti mereka.

“Kami bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh Luncai Emas. Mulanya kami agak takut kerana tiada pengalaman membuat rakaman secara profesional dan tidak pernah bernaung bawah mana-mana label besar.

“Selepas membuat penilaian, kami menyambut baik tawaran tersebut pada November tahun lalu. Apa yang seronoknya, M. Nasir tidak menyekat kreativiti kami, dia hanya bertindak seperti guru besar yang datang memeriksa proses rakaman album supaya melepasi piawaian.

“Hal ini kerana pihak Luncai Emas mengambil kami disebabkan mereka suka dengan keaslian Iqbal M. dan tidak berhasrat mengubahnya,” kata Aidil.

Tambah Iqbal yang merupakan seorang guru muzik, kewangan merupakan masalah tersebar band itu.

Seandainya mereka menolak tawaran Luncai Emas, mungkin sehingga kini album sulung hanya tinggal angan-angan. Malah, pengalaman membuat rakaman bersama nama profesional merupakan pengalaman termahal buat mereka sebagai pemuzik.

“Jika kami mahu buat album sendiri harus tunggu sehingga cukup duit. Sebaliknya, Luncai Emas sebagai syarikat rakaman mempunyai wang dan kemudahan untuk rakaman album. Paling banyak beza adalah kami mempunyai lebih masa untuk bekerja.

“Sebelum ini kami menyelesaikan proses rakaman dalam keadaan tergesa-gesa kerana menyewa studio dengan bajet terhad. Pasukan juga lebih besar dengan adanya penerbit.

“Kami juga belajar menerima dan bertoleransi dengan idea orang lain. Semua ini pengalaman cukup berharga untuk kami,” kongsi Iqbal mengenai band yang mengusung genre indie rock dan alternatif rock itu.

 

Album

Bercakap tentang album sulung Iqbal M. berjudul Perasaan Sedih Jangan Kau Bimbang (PSJKB) proses rakamannya telah bermula sejak November tahun lalu. Ia dijangka dilancarkan pada Oktober tahun ini.

Menurut Iqbal, album PSJKB yang mengandungi lapan buah lagu iaitu Kota Memujuk, Kalau Tewas Nanti Parah, Kesatuan, Pra, Di Balik Bukit, Jangan Cakap Saja, PSJKB dan Seri Dewi Damak merupakan yang terbaik dalam katalog Iqbal M.

“Boleh dikatakan PSKJB merupakan karya terbaik daripada Iqbal M. setakat ini. Identiti kami tetap sama cuma kualitinya lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Dalam album ini buat pertama kalinya Johan turut memberi sumbangan menerusi lagu Kalau Tewas Nanti Parah. Peminat yang sudah biasa dengan lagu ciptaan saya akan nampak perbezaan berbanding lagu ciptaan Johan,” ujar Iqbal.

Sungguhpun Iqbal mempunyai perwatakan yang gila-gila, namun dia cukup serius apabila bercakap tentang hala tuju band Iqbal M.

Impiannya mahu muzik Iqbal M. mempunyai pendengar secara maksimum tidak kira muda atau tua.

“Tiada lain impian kami selain menghiburkan dan mempunyai pendengar yang maksimum. Jika diberi peluang mungkin mahu lolos ke luar negara. Kami mahu pelbagai golongan usia tidak kira lelaki atau perempuan termasuk nenek berusia 60 tahun boleh menikmati persembahan kami.

“Sebagai pemuzik, kami hanya mahu bermain muzik dan tidak meletakkan sebarang ikatan terhadap genre. Mungkin pada masa depan kami akan menambah perisa genre lain terhadap muzik kami tanpa meninggalkan identiti asal,” luah Iqbal.

Terbaharu band Iqbal M. akan menghiburkan peminat menjelang Cyberjaya Multimedia Festival di Centrus Mall, Cyberjaya hari ini bermula pukul 10 pagi. Tiket berharga RM30 (solo) dan RM25 (dua orang ke atas) dijual di pintu masuk festival.

“Buat peminat yang ingin menyaksikan persembahan kami jangan lupa hadir ke Cyberjaya Multimedia Festival. Dan buat mereka yang ingin mengenali muzik kami dengan lebih lanjut boleh layari laman web www.iqbalrasmi.com dan Instagram @iqbalmrasmi,” tutur Iqbal menutup bicara.

Iqbal M. bukanlah band popular dalam arena komersial, tetapi jenamanya cukup kukuh di pentas indie sehingga menarik minat komposer dan penyanyi terkenal Datuk M.Nasir untuk melamar mereka.