Wakil kumpulan Kristal, Muhammad Rodi Baharuddin atau Rodi, 32, berkata, Kecik dipilih kerana mutu vokal dan keupayaannya untuk menyanyi pelbagai jenis lagu.

“Dari segi nyanyian, Kecik mempunyai kredibiliti yang luar biasa sebagai seorang penyanyi rock. Dia mempunyai jiwa sewaktu membawakan lagu-lagu Kristal.

“Jadi, kami berharap agar pemilihan Kecik ini dapat memberi nafas baharu kepada kumpulan kami,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan vokalis baharu Kristal yang diadakan di ibu kota di sini sebentar tadi.

Pada majlis yang sama, Kristal turut melancarkan single terbaharu mereka, Cintaku Kristal.

Dalam pada itu, Kecik berharap agar penyertaannya bersama Kristal dapat diterima khalayak, khususnya peminat tegar kumpulan tersebut.

“Saya berharap agar peminat dapat menerima saya seadaanya dan melihat saya sebagai vokalis Kristal, bukan penyanyi kumpulan lain.

“Menerusi penglibatan saya dengan Kristal, saya juga akan berjanji untuk memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, penyanyi asal Kristal, Lan, mengambil keputusan meninggalkan kumpulan tersebut selepas berlaku krisis dalaman sewaktu Lan menyertai Gegar Vaganza musim keempat November tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Kristal akan mengadakan persembahan istimewa di House, G Tower, Kuala Lumpur pada 24 November depan.

Tiket berharga RM60 boleh didapati pada hari dan lokasi persembahan. - K! ONLINE