Bagi dua penyanyi muda, Sufian Suhaimi dan Haqiem Rusli, perjalanan sepanjang tahun 2018 boleh dikategorikan sebagai tahun penuh dugaan terutama dari sudut kejiwaan buat mereka.

Mungkin bagi kebanyakan orang, hal putus tunang seperti Sufian dan isu depresi atau tekanan perasaan yang dialami Haqiem sepatutnya boleh ditangani secara tenang dan tertutup tanpa menarik perhatian khalayak.

Status selebriti yang disandang bagaimanapun mengubah atmosfera yang harus didepani. Setitik sensasi jatuh ke pengetahuan umum, seluruh alam ibarat spekulasi menghujan turun. Kesannya, peristiwa tersebut harus ditangani secara terbuka serta mahu diperhatikan masyarakat sedekat mungkin.

Bagaimanapun, Sufian dan Haqiem tidak cepat melatah. Enggan terus hanyut dibuai kesedihan dan kekecewaan, mereka mengalihkan perhatian sepenuhnya terhadap kerjaya dan akhirnya membuahkan hasil.

Pengumuman minggu terakhir sesi Separuh Akhir Muzik Muzik 33 (SFMM33) yang menyaksikan single Di Matamu milik Sufian, 26, dan Jatuh Bangun oleh Haqiem, 20, terpilih sebagai finalis Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) yang akan berlangsung pada tahun depan, mengiakan ada bonus di sebalik dugaan yang menimpa.

Kepada Sufian, kejayaan Di Matamu menyelit sebagai antara finalis bersama 11 buah lagu lain dianggap hikmah yang terbayar selepas melalui fasa air pada awal Februari lalu.

Meskipun berkali-kali menafikan lirik lagu tersebut ditulis berdasarkan luka cinta dan jodoh yang tidak kesampaian, graduan Sarjana Komunikasi Media Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu tidak menolak bahawa tanpa insiden tersebut, singlenya mungkin hanya sebuah lagu patah hati yang biasa-biasa sahaja.

Hikmah putus tunang

“Mungkin kalau saya tidak putus tunang, Di Matamu tidak akan ‘hidup’ dan menyentuh hati semua seperti yang berlaku sekarang. Tidak semua penyanyi mendapat peluang mengaitkan apa yang pernah berlaku dalam kehidupan sebenar dengan lagu yang dinyanyikan. Jadi, saya melihat situasi ini sebagai rezeki terpijak dan menerimanya secara terbuka.

“Sebenarnya sudah berkali-kali saya nyatakan bahawa Di Matamu bukan mengenai saya kerana ia siap sebelum hal putus tunang berlaku. Namun secara tidak langsung, liriknya memberi sedikit sebanyak bayangan tentang perasaan saya berkenaan apa yang telah terjadi,” jelasnya panjang lebar.

Menganggap kemaraan lagu berkenaan ke pentas AJL33 sebagai berkat kesabaran saat melawan rempuhan jiwa, Sufian berjanji tidak akan mensia-siakan peluang yang ada.

Ketika keputusan lagu ke AJL diumumkan, dia sudah berasa agak kaget saat slot ke pentas akhir hanya tinggal dua kekosongan. Saat tersebut, dia hanya mampu berdoa namanya disebut biarpun sudah hampir berserah andai tidak terpilih.

Haqiem reda

“Saya lega sebaik sahaja Di Matamu diumumkan sebagai finalis yang ke-11 kerana secara peribadi, saya memang mengharap dapat menyampaikan lagu ini di pentas yang lebih besar.

“Insya-Allah, pengalaman kali pertama dua tahun lalu akan dijadikan panduan dan saya akan berikan yang terbaik untuk persembahan kali ini,” tuturnya bersungguh-sungguh.

Haqiem yang dihambat kontroversi konon-kononnya menjadikan isu tekanan perasaan atau depresi sebagai hal main-main pula mengakui, sudah belajar daripada kesilapan. Dia kini meneruskan kehidupan seperti biasa.

Terbuka menyifatkan dirinya telah melakukan kesilapan kerana membuat kenyataan tanpa berfikir panjang, bekas naib juara Idola Kecil musim pertama itu juga akur, setiap apa yang berlaku pasti sudah tertulis buatnya.

“Saya buat silap dan saya terima padahnya namun pada masa sama, ia mengajar saya menjadi lebih matang dalam menghadapi cabaran hidup baik sebagai selebriti atau individu biasa,” luahnya sambil tersenyum nipis.

Biarpun hanya layak dengan sebuah lagu iaitu Jatuh Bangun duet bersama Aman Ra, Haqiem tetap bersyukur kerana masih dikurniakan rezeki untuk terus bertanding di pentas berprestij seperti AJL.

Memenangi tempat ketiga pada AJL32 dengan Tergantung Sepi, tahun ini menyaksikan single balada yang dilancarkan Haqiem saat isu depresi hangat diperdebatkan iaitu Selamat Tinggal Sayang gagal menempatkan diri untuk AJL33.

“Saya tidaklah kecewa namun masih terasa sedikit sedih kerana seperti mana-mana penyanyi lain pasti mengharapkan semua lagu mereka layak ke AJL. Kali ini saya tiada rezeki solo namun ia beralih ke persembahan duet.

“Apa yang penting, saya masih berpeluang membuktikan kemampuan pada AJL dan mungkin perlahan-lahan memberikan persepsi baharu tentang siapa saya menjelang tahun 2019 nanti kepada peminat,” ungkapnya menggulung kata.

Episod hitam yang berlaku dalam hidup dua jejaka, Sufian Suhaimi dan Haqiem Rusli ternyata membawa tuah apabila lagu nyanyian mereka iaitu Di Matamu serta Jatuh Bangun berjaya mara ke malam Anugerah Juara Lagu Ke-33 tahun depan.