Biarpun menggalas predikat sebagai rakan duet, namun lagu yang dirakam oleh Alvin dan Dea untuk single perdana mereka tidak seperti lagu duet sedia ada di pasaran.

Menggunakan lagu asal masing-masing iaitu Mencintaimu dan Cinta 99%, Alvin dan Dea dilihat berani mengambil risiko dengan menggabungkan dua karya tersebut menjadi sebuah lagu baharu.

“Sebenarnya, idea untuk menghasilkan lagu mashed-up (gabungan) datang daripada pihak label kami iaitu Universal Music Malaysia dan Musica Studio.

“Menurut mereka, lagu kami mempunyai maksud yang sama dari segi garapan lirik. Jadi, mengapa tidak digabungkan sahaja menjadi sebuah karya yang baharu?,” ujar Alvin membuka bicara.

Mengintai portfolio muzik masing-masing, Alvin sejak dahulu dikenali sebagai penyanyi yang kerap menyanyikan lagu-lagu balada, manakala Dea pula lebih akrab dengan muzik pop elektronik.

Namun, untuk gandingan kali ini mereka memilih untuk mendasari genre muzik yang lebih matang iaitu bosanova.

“Kami memilih bosanova kerana mahukan sesuatu yang unik dan berbeza dengan apa yang kami pernah lakukan sebelum ini.

“Tambahan pula, ia kedengaran lebih santai dan segar. Maka, terbitlah Mencintaimu 99%,” ujar Alvin atau nama sebenarnya Alvin Chean Wah Chong.

 

Serasi

Dilancarkan sekitar bulan lalu, Dea menjelaskan bahawa kerjasama dengan Alvin bukan sekadar berlandaskan kehendak karier, sebaliknya turut melibatkan keserasian mereka sebagai sahabat.

“Ketika bersetuju untuk membikin muzik bersama, kami hanya berkenalan di alam maya. Baik saya mahupun Alvin, masing-masing cuba untuk mengenali personaliti diri hanya menerusi gambar-gambar di Instagram.

“Biarpun pada awalnya agak canggung, namun pertemuan kami di Jakarta, Indonesia beberapa bulan lalu untuk sesi rakaman berjalan dengan lancar.

“Saya merupakan individu yang kurang gemar bercakap, tetapi dengan Alvin, saya menjadi sangat selesa. Ternyata, secara peribadinya dia sangat lucu,” ujar Dea jujur.

Bersependapat dengan bekas anggota kumpulan Hivi! itu, Alvin, 27, menambah, dia selesa bersahabat dengan Dea, sehingga terbuka hati untuk berkongsi hal peribadi bersama.

“Selama ini, saya bukanlah jenis yang senang bercerita tentang hal peribadi tetapi dengan Dea, saya senang untuk meluahkan segala masalah.

“Sejujurnya, saya sendiri terkejut apabila terbuka dengan Dea,” ujar Alvin yang menganggap pemilik nama sebenar Dalila Azkadiputri itu sebagai rakan baiknya.

 

Lagu Mandarin

Ditanya pula mengenai impak paduan tersebut terhadap kerjaya seni masing-masing, Alvin berkata, dia tidak kisah kerjasama tersebut terjadi dengan artis yang masih baharu dalam industri.

“Mungkin ramai yang akan tanya, kenapa saya tidak mahu bergandingan dengan Noah atau Datuk Seri Siti Nurhaliza contohnya. Jika kerjasama sebegitu berlaku sekalipun, saya tetap akan dilihat sebagai penyanyi yang menumpang populariti artis senior.

“Jadi, lebih baik menjalinkan kerjasama dengan artis yang masih baharu tetapi mampu mencipta sesuatu yang berbeza,” tegas Alvin.

Selain sibuk mempromosikan single Mencintaimu 99%, Alvin turut berkongsi mengenai perancangannya dalam bidang nyanyian dan lakonan.

Menurut Alvin, dia sedang berbincang dengan syarikat rakaman untuk menerbitkan sebuah single Mandarin untuk dijadikan pengubat rindu buat peminat berbangsa Cina yang sentiasa menyokong kerjayanya.

“Jika diberikan peluang, saya mahu merakamkan lagu bahasa Mandarin, khas untuk peminat berbangsa Cina. Maklumlah, walaupun sudah hampir dua tahun sepi daripada radar hiburan, mereka tetap menyokong kerjaya saya.

 

Eksperimen

“Dalam masa sama, saya juga sedang menjalani penggambaran telefilem Aku Bukan Hantu dan pada September nanti, saya bakal memasuki set penggambaran sebuah drama bersiri. Kedua-dua telefilem dan drama tersebut diarahkan oleh Michael Ang,” katanya yang juga mengimpikan kerjaya di luar negara seperti di Taiwan atau China.

Berbalik kepada Dea, wanita berusia 26 tahun itu juga baru memasarkan single kedua berjudul Kau Pun Tau. Single tersebut menyaksikan kerjasama perdana Dea bersama komposer muda bernama Kenny Gabriel.

Menyifatkan Kau Pun Tau sebagai sebuah lagu pop yang dibalut elemen elektronik, Dea juga mengakui bersifat terbuka dalam mencuba sisi muzik berbeza untuk diskografinya.

“Sebetulnya, saya tidak mempunyai genre yang tetap dalam berkarya. Mungkin pada saat ini saya memilih untuk bereksperimen dengan muzik elektronik dan pada masa akan datang, siapa tahu saya akan menyanyi lagu-lagu balada seperti Alvin.

“Impian saya cuma mahukan sebuah album yang lagu-lagunya menjadi rantaian cerita mengenai perjalanan saya sebagai penyanyi,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Alvin dan Dea kini terlibat dalam kempen kesedaran anjuran Arthritis Foundation Malaysia bagi para pesakit Ankylosing Spondylitis (AS) di negara ini.

“Penyakit ini biasanya menyerang golongan muda pada bahagian belakang badan. Tidak ramai yang tahu tentang AS sehinggalah ia didiagnos oleh pakar.

“Untuk kempen ini, Dea telah mereka kemeja-T bertulis Mencintaimu 99% yang dijual kepada umum. Keuntungan jualan kemeja-T tersebut akan disalurkan kepada tabung khas yang digunakan untuk membantu pesakit AS,” kata mereka menutup perbualan.