Kartina, 64, berkata pada mulanya dia tidak mengalami sebarang simptom serangan yang jelas kecuali berasakan butiran percakapannya sedikit berterabur sewaktu tiba di rumah.

“Apabila saya bangun untuk solat Subuh, saya dapat rasakan bacaan saya seperti salah kerana mulut semakin berat dan sukar bertutur.

“Saya segera menelefon anak saya dan terus ke Hospital Sungai Buloh, Selangor sebelum disahkan oleh doktor bahawa saya mengalami serangan angin ahmar di peringkat paling awal,”katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Tambah pelakon filem Mami Jarum itu lagi, dia sudah dibenarkan pulang dari hospital pada petang Khamis dan kini perlu memakan ubat yang diberikan oleh pihak hospital secara konsisten.

“Saya masih ada lagi baki penggambaran sehingga 3 Julai ini, jadi saya berdoa semoga Allah kuatkan semangat kerana tidak mahu mengganggu jadual orang lain.

“Insya-Allah, selepas ini saya akan lebih peka dalam penjagaan kesihatan. Terima kasih saya ucapkan buat pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh yang pantas membuat pemeriksaan pada saya,”ujarnya lagi.

Kata Kartina, dia masih perlu ke hospital untuk pemeriksaan susulan mengikut tarikh yang telah diberikan. - K! ONLINE