Apatah lagi sudah menginjak usia 29 tahun, sudah pasti pertanyaan klise mengenai pasangan hidup yang diajukan kepadanya bagaikan sudah lali di telinganya. Sungguhpun begitu, pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff itu mahu meletakkan perjalanan kalendar 2018 bebas daripada episod cinta buat seketika.

Ini kerana, katanya, ada perkara penting yang mahu diberikan perhatian, khususnya mengenai perihal kerjaya seninya yang mahu dijadikan sebagai fokus utama. Pelantun lagu Bukan Hal Aku itu juga memberi gambaran bahawa dia kini selesa dengan status dirinya yang dilabel solo.

“SAYA tidak ada sesiapa pun. Tidak ada (pengganti) yang baharu. Sebenarnya, lagi seronok kerana sekarang tidak ada hati yang kena jaga. Kadang-kadang penat juga asyik nak kena jaga hati orang,” luahnya ketika membuka bicara sewaktu ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini..

 

Tak tertekan

Biarpun begitu, anak saudara kepada ratu rock terkenal, Ella itu juga mengakui ada kalanya dia juga inginkan kehidupan bahagia bersama insan tersayang dalam sebuah keluarga terutama apabila melihat kawan-kawan sekeliling satu persatu sudah mendirikan rumah tangga.

Cuma, katanya, buat masa ini, dia belum terfikir lagi untuk memasuki satu alam hidup baharu dalam masa terdekat.

“Saya tidak tertekan pun apabila orang asyik bertanya. Sebenarnya, saya merasakan soalan-soalan begitu adalah normal. Bahkan, kalau saya berjumpa dengan kenalan yang sudah berkahwin pun saya sibuk tanya bila nak ada cahaya mata pula.

“Apabila orang bertanya itu, maksudnya mereka kisah dan ambil tahu mengenai diri kita. Jadi, saya tidak kisah pun orang tanya mengenai pasangan hidup. Lagipun, ahli keluarga pun faham dengan situasi saya. Mama rileks sahaja melihat saya sibuk kerja. Dia faham yang saya memang seorang yang mengutamakan keluarga,” jelas pelakon filem Aliff Dalam 7 Dimensi itu.

Terbuka berkongsi cerita mengenai ciri lelaki idaman, kata Kaka semestinya individu tersebut mestilah seorang yang boleh menerima kerjayanya sebagai anak seni dan keluarganya.

“Biarlah lelaki itu betul-betul memahami karier saya dalam bidang seni ini. Lagi satu, kalau mahu kahwin dengan saya, kena ‘kahwin’ juga dengan keluarga saya sekali. Paras rupa itu bukan keutamaan, cuma, saya suka lelaki yang mempunyai penampilan yang bergaya. Kalau tidak bergaya itu, kurang sikit,” selorohnya.

Kata Kaka lagi, dia bimbang untuk berpacaran buat masa sekarang kerana khuatir tidak dapat memberikan komitmen kepada pasangan.

“Saya rasa lebih baik tidak memberi harapan kepada sesiapa sebab saya tidak boleh beri fokus kepada sesiapa pun buat masa ini. Maklumlah, saya sekarang memang sedang sibuk. Lagipun nak bercinta ini perlukan komitmen.

“Nanti kalau panggilan telefon tidak dijawab pun boleh mengundang pergaduhan. Ada teman lelaki nanti sikit-sikit nak gaduh sebab pernah lalui sebelum ini. Apabila bergaduh nanti kepala saya pula yang jadi semak. Tak fasal mood nak bekerja itu sudah terganggu. Saya pula jenis happy go lucky, apabila orang kacau mood, rasa tak seronok dah nanti,” ceritanya.

Kongsinya lagi, buat masa ini, dia mahu memberikan masa buat dirinya sendiri terlebih dulu.

“Sekarang ini saya perasan ada perangai yang mana saya tak mahu jawab sebarang mesej atau panggilan telefon. malas nak layan, dan tidak mahu cakap dengan sesiapa. Mahu masa untuk bersendiri. Inilah masa untuk fokus diri sendiri. Nanti kalau sudah ada pasangan, sudah tidak boleh begitu pula,” luahnya yang kini mempromosikan lagu berjudul Sibuk..

 

Album

Bercakap mengenai buah tangan baharu berjudul Sibuk itu, kata Kaka, lagu itu merupakan hasil ciptaan komposer yang cukup dikaguminya, Alif. Menurutnya, lagu itu merupakan sebuah karya yang benar-benar kenal dengan jiwa dan konsep muzik yang ingin diketengahkan selama ini.

“Alif beri saya dengar dalam lima hingga ke enam buah lagu, tetapi saya tertarik mendengar muzik lagu Sibuk pada masa itu. Lagu ini dibuat mengikut keperluan vokal penyanyi lelaki, tetapi saya mahu mencubanya.

“Tidak sangka pula selepas cuba masuk vokal, Alif merasakan suara saya sesuai dengan lagu yang dihasilkannya itu,” katanya yang turut bergandingan dengan komposer yang juga bekas ahli kumpulan Sleeq itu dalam lagu tersebut.

Menurut Kaka, lagu itu nanti akan dimuatkan dalam album sulungnya yang dirancang mahu diterbitkan pada awal tahun depan.

“Memang saya impikan untuk memiliki album sendiri. Maklumlah, album ini ibarat seperti pasport atau sijil kepada penyanyi. Ikut perancangan akan ada lima buah lagu lain lagi untuk menjadikan album itu memiliki 10 buah lagu kesemuanya.

“Saya memang selesa bekerja dengan Alif kerana dia sudah tahu hala tuju muzik yang saya bawakan selama ini. Sebelum ini pernah bekerja dengan Malique juga menerusi lagu Bawa Aku Pergi. Sekiranya ada peluang saya mahu Malique jadi produser untuk album saya nanti,” kongsinya yang menunggu hampir tujuh tahun untuk menerbitkan album pertamanya.