Sungguhpun begitu, kedua-duanya masih lagi berada dalam radar seni memperjuangkan industri muzik sejak bakat mereka diperkenalkan kepada umum menerusi program realiti Akademi Fantasia (AF) kira-kira sekitar 14 tahun lalu. Apa yang pasti, hati mereka masih lagi bersemarak untuk terus berdiri sebagai anak seni.

Cuma, tahun ini, tuah lagu Tak Pernah Hilang mengembalikan semula dua nama penyanyi yang cukup berbakat besar itu. Semuanya, gara-gara penangan drama yang mencetuskan fenomena tersendiri, Nur yang mengangkat lagu nyanyian mereka sebagai runut bunyi dalam naskhah tersebut.

Seperti judul lagu hit mereka, Tak Pernah Hilang, realitinya, begitu juga menggambarkan situasi perjalanan hidup mereka.

Persahabatan

Semestinya, ada sesuatu yang cukup istimewa dalam penerbitan lagu yang sudah mencecah lebih 17 juta tontonan di YouTube itu. Ini kerana, lagu itu mempunyai nilai yang lebih bermakna buat kedua-dua mereka. Mana tidaknya, selepas bersahabat baik selama 13 tahun, lagu itu menjadi karya sulung kolaborasi mereka berdua buat pertama kali.

“Ibarat orang yang berkahwin sewaktu kami mula berkawan itu, kalau dikurniakan cahaya mata, anak itu sudah belajar di tingkatan satu,” seloroh pemuda berusia 33 tahun itu kepada Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Menurut Kaer dia tidak pernah teragak-agak selepas menerima tawaran untuk berduet bersama sahabat baiknya itu. Ini kerana, dia benar-benar yakin dengan kemampuan wanita berusia 32 tahun itu.

“Semasa Amylea di AF musim ketiga lagi, saya sudah melihat bakat yang dia miliki. Saya berasakan dia merupakan seorang penyanyi yang memang boleh pergi jauh. Cuma adakalanya, dia patah hati, bawa diri, namun tengoklah, dia masih ada lagi dalam industri kerana tidak pernah kekal putus asa.

“Bahkan, sewaktu menerima lagu itu ketika masih di Indonesia, saya sendiri sudah dapat merasakan lagu tersebut akan menjadi hit,” kongsi pelantun lagu Izinku Pergi itu yang pernah diangkat sebagai lagu terbaik Anugerah Industri Muzik pada tahun 2008.

Bagi Amylea pula, sewaktu memilih pasangan duet, dia tidak pernah terfikir nama lain selain Kaer. Bukan memperkecilkan bakat penyanyi lain, sebaliknya, kata Amylea, ia lebih kepada melihat kapasiti Kaer sebagai seorang sahabat yang cukup selesa untuk dia terus bekerjasama.

“Sebelum saya mengenali Kaer, saya merupakan peminatnya. Selepas itu barulah kami menjadi kawan baik. Saya cukup percaya dengan bakat yang dia miliki. Kalau tiada yang menghargai bakatnya itu, biarlah saya lakukan sesuatu.

“Selain daripada Kaer, saya belum berminat lagi nak berduet dengan orang lain. Bukan apa, saya lebih mementingkan keselesaan. Tidak semua orang boleh ada keserasian untuk menyanyi bersama,” luah Amylea yang juga merupakan penulis lirik lagu Tak Pernah Hilang itu.

Dek lagu itu jugalah, kedua-dua mereka ini mahu memberikan yang terbaik. Bahkan, sanggup mengenepikan bisnes lain demi memastikan karya komposer Farouk Roman itu terus menerima momentum yang baik dalam kalangan pendengar.

“Kami memang cuba berikan komitmen sepenuhnya kepada lagu ini. Jadi hal berkaitan peribadi dan bisnes, kami letak ke tepi seketika. Kami mahukan yang terbaik buat lagu ini kerana itulah ikrar. Lagu itu sedap, jadi kami mahu bawa ke tahap mana yang termampu,” tambah Kaer.

Tak bersaing

Sedar dengan kehadiran ramai pelapis baharu, situasi itu sedikit pun tidak meletakkan kedua-dua mereka berasa gusar untuk terus membawakan muzik mereka.

Bagi Amylea sendiri, sejak di awal pembabitan lagi, dia tidak pernah meletakkan istilah ‘bersaing’ dalam kamus hidupnya sebagai anak seni. Ini kerana, dia sentiasa dengan ketentuan rezeki yang ditetapkan-Nya. Katanya, masing-masing punya bahagian tersendiri.

“Dari zaman AF lagi yang semua orang tahu ia merupakan sebuah pertandingan yang patut bersaing, tetapi saya sudah ada pendirian yang tidak suka untuk bersaing. Bakat setiap orang itu dikurniakan berbeza-beza. Ia lebih kepada bagaimana kita mahu tonjolkan bakat sedia ada,” luah Amylea.

Bagaimana pendirian Amylea, begitu juga yang dirasakan Kaer. Menurutnya, setiap penghasilan karya lagu lebih kepada untuk kepuasan diri sendiri.

“Kami tidak pernah rasa mahu bersaing. Industri perlukan lebih banyak variasi. Kami tahu di mana kebolehan dan keistimewaan masing-masing. Jika fikir mahu bersaing, itu bukanlah seorang penyanyi yang sejati.

“Kami juga menghargai bakat penyanyi lain. Dari aspek nyanyian, suara seseorang itu sangat subjektif. Begitu juga dengan pendengar. Ada sesetengah orang suka suara bernada tinggi, ada juga yang suka nada biasa. Kalau kami, apa sahaja yang sedap, kami ‘telan’,” cerita Kaer yang turut memiliki perniagaan pakaian di bawah label Quhji.

Ternyata, kedua-dua mereka memang cukup mementingkan kualiti. Atas sebab itu jugalah, mereka berdua antara artis yang boleh dilabel sebagai kalis gosip.

“Kami berdua jenis penyanyi yang kalau boleh tidak mahu dikaitkan dengan gosip,” kata Amylea yang banyak terlibat dalam penulisan lirik yang kini sudah menghasilkan sebanyak 53 buah lagu.