Sorotan daripada itu, syarikat telekomunikasi, Mcalls sekali lagi menganjurkan Festival Muzik K-Wave siri kedua dengan membariskan artis popular yang terdiri daripada Super Junior, Halo, Tahiti, Mamamoo, Nu’est W dan Taeyeon.

Membuka tirai persembahan yang penuh bertenaga di Stadium Merdeka pada 13 Januari lalu, kerancakan alunan muzim EDM (Muzik Tarian Elektronik) yang dipersembahkan oleh kumpulan A.C.E berjaya memukau lebih 10,000 pengunjung pada malam itu.

Telah bersama festival itu pada tahun lalu, kehadiran A.C.E pada pentas Festival Muzik K-Wave 2 menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan peminat tempatan. Mereka mendendangkan tiga buah lagu iaitu Cactus, Playing With Fire dan Callin.

Acara kemudian diteruskan dengan persembahan daripada kumpulan Tahiti. Penonton menyambut kemunculan mereka dengan sorakan dan jeritan terutama saat mendendangkan lagu Oppa, You’re Mine. Dua lagu lain yang turut dipersembahkan adalah Phone Number dan Skip.

Seterusnya kumpulan Halo yang dianggotai oleh enam jejaka mendendangkan empat buah lagu popular mereka iaitu Fever, I’m Scared, While You’re Sleeping dan Here I Am.

Sebaik Halo mengundurkan diri, persembahan kemudian diteruskan dengan kelunakan suara salah seorang anggota kumpulan Girls’ Generation, Taeyeon.

Sokongan padu

Wanita berusia 28 tahun itu juga mengakui berasa teruja terhadap sambutan peminat yang tidak henti menyebut namanya sebagai tanda sokongan sepanjang membuat persembahan.

“Sokongan kalian membuatkan saya berasa terharu selain berhasrat untuk bertemu lagi dengan semua peminat di sini (Malaysia) sekiranya diberi peluang,” katanya.

Mempersembahkan lima buah lagu, kelunakan suara Taeyeon menerusi single pertama bertajuk I sebelum diteruskan kepada lagu 11:11, Fine, Make Me Love You dan Hands on Me.

Seterusnya, kumpulan Nu’est W, mengambil alih dan mendominasi pentas dengan persembahan hebat mereka yang turut mendendangkan lima buah lagu iaitu Just One Day, Overcome, Love Paint, Where You At dan Look.

Menjadikan persembahan lebih bertenaga, kumpulan Mamamoo mengambil posisi sekali gus mempersembahkan enam buah lagu bertajuk Yes I Am, Decalcomanie, Love Lane, Girl Crush, You’re The Best dan Um Oh Ah Yeh.

Bagaimanapun, salah seorang daripada anggota kumpulan tersebut, Solar terpaksa membuat persembahan dengan duduk di atas kerusi. Difahamkan, kecederaan tersebut berlaku sewaktu dia dan anggota lain sedang mengadakan latihan konsert terbabit.

“Saya memohon maaf kepada peminat kerana tidak dapat memberikan persembahan terbaik kepada kalian. Namun, saya berusaha lakukan yang terbaik agar kalian terhibur dengan persembahan kami. Terima kasih,” jelas Solar.

Menjadi persembahan kemuncak pada acara tersebut, kumpulan popular Super Junior atau popular dipanggil SUJU mendominasi pentas sekali gus membuatkan penonton berasa tidak keruan terutamanya golongan wanita.

Meskipun lebih sedekad mengorak langkah dalam industri, aura yang dimiliki oleh mereka tidak pernah pudar. Malah, mereka semakin diminati walaupun lapangan seni suara Korea Selatan dipenuhi dengan lambakan pendatang baharu.

“Saya cinta padamu dan terima kasih. Kami rasa bertuah berpeluang bertemu kalian semua dan membuat persembahan pada malam ini. Pastinya, setiap satu rasa cinta yang kalian berikan untuk dibawa pulang ke kampung halaman kami.

“Pada awalnya kami berasa bimbang kerana sepanjang tempoh latihan, hujan kerap turun dengan lebat tetapi syukur malam ini kita semua berpeluang berhibur tanpa perlu berasa dalam keadaan basah kuyup,” kata salah seorang anggota SUJU, Donghae.

Mendendangkan tujuh buah lagu, kehebatan SUJU menghipnosis penonton tidak mampu disangkal. Bermula dengan lagu Sorry Sorry, kerancakan muzik K-Pop diteruskan dengan lagu Bonamana.

Kemudian persembahan diteruskan dengan lagu berentak perlahan, Growing Pains. Mereka kemudian merancakkan suasana dengan irama EDM menerusi lagu Oppa Oppa.

Selain itu, Yesung mengambil alih pentas dengan persembahan solo menerusi lagu Here I Am. Tidak membiarkan emosi penonton terbuai dalam irama balada, mereka kemudian meneruskan acara dengan lagu Mamacita serta single terbaharu, Black Suit.