Maka, tidak hairanlah, sejak episod duka itu, belum ada lagi Dayana dilihat didekati mana-mana lelaki secara serius dalam hidupnya. Benar kata orang, soal jodoh dan pertemuan itu ditangan Tuhan.

Selepas lama tidak kedengaran kisah cintanya, pelakon yang popular dengan drama Asam Pedas Untuk Dia itu mengakui dirinya kini sedang mengenali hati budi seorang jejaka yang sudah berjaya mencuri hatinya ketika ini.

“Ya, saya memang sedang berkawan dengan seorang lelaki. Bagaimanapun, hubungan itu masih lagi baharu. Kami mula berkawan sekitar penghujung tahun lalu.

“Kami sebenarnya mengenali antara satu sama lain menerusi kawan. Pada masa itu, saya sedang bercuti di Langkawi. Daripada situlah kami mula bertukar nombor telefon. Kiranya, kawan atas kawan jugalah,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika dihubungi baru-baru ini.

Dayana memberitahu dia cukup tertarik dengan peribadi jejaka berusia 31 tahun yang dikenali dengan nama Ariff Ali itu. Katanya, sepanjang perkenalan dengan Ariff, lelaki tersebut berjaya mengubah dirinya ke arah lebih baik.

“Saya perkara yang saya sukakan pasal dirinya adalah dia membentuk saya untuk menjadi seorang yang lebih serius dalam hidup, kerja dan segala-galanya. Sekarang saya sudah baik ya (seloroh). Selepas habis penggambaran, terus balik ke rumah. Itu sahaja rutin saya,” kongsi Dayana yang sebelum ini acap kali dikaitkan dengan cerita-cerita kurang enak hingga dilabel pelakon kuat bersosial.

Dalam pada itu, Dayana menyifatkan hubungan cinta yang terjalin itu sudah diketahui oleh pihak keluarga kedua-dua belah pihak. Bahkan, pada masa sama, Dayana memberi gambaran bahawa dia berharap agar hubungan itu untuk pergi lebih jauh.

Mengakui lelaki tersebut berstatus duda, kata Dayana dia tidak pernah meletakkan syarat bujang sebagai pilihan hidupnya. Baginya, apa yang penting, lelaki tersebut bukanlah hak milik orang lain.

“Wah, cepat betul sampai tahu status dia. Pandai sahaja kalian korek cerita (ketawa). Lepas ini kena suruh dia letakkan mode privasi Instagramlah. Ya, memang dia seorang duda. Sudah ada anak seorang. Bagaimanapun, saya tidak pernah kisah dengan status duda atau bujang. Asalkan bukan suami orang sudahlah.

“Lagipun dia memang seorang yang penyayang dengan anak. Sifat penyayang dan kebapaan yang ada padanya itu buat saya tertarik dengannya. Apa yang saya boleh katakan, dia seorang lelaki yang mengutamakan keluarga,” kongsinya yang memberitahu lelaki tersebut merupakan seorang juruterbang di salah sebuah syarikat penerbangan di negara ini.

Menurut Dayana lagi, Ariff juga merupakan seorang yang sangat memahami kerjayanya.

“Dia pernah menghantar saya ke set penggambaran sekali sahaja. Itu sahajalah dia sengaja mengikut. Lagipun masing-masing ada tanggungjawab kerja,” katanya.

Dalam perkembangan lain menurut Dayana dia kini sedang menjalani penggambarana drama Cinta Fatamorgana yang bakal disiarkan di slot Akasia.

“Drama itu sebanyak 27 episod. Selepas ini, saya akan terlibat di set Cinta Bukan Kristal pula untuk slot yang sama,” katanya yang bakal muncul dengan telefilem berjudul Aku Nazmi pada 31 Mac ini.